AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi
Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di
zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum
menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran
terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.
Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini
menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru
dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah
diwarnakan dengan pewarna biru.
Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap
helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang
dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.
Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan
penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah
dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah
al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.
Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas
kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat
pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada
bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.
Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang
menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin
direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi
mendapatkan warna biru gelap.
Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses
menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang
diperlukan.
Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang.
Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan
ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.
Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk
menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis
khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna
emas.
Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih
kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris
dan titik.
Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti
Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan
kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang
dimiliki oleh seseorang pemerintah.
Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan
perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran
ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia
daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.
Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam
simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba.
Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki
oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium
Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian
al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam
Malaysia.
Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran
Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 - 10 Masihi di Afrika Utara. Ia
merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri
Al-Quran dan Manuskrip.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^