Isnin, 9 Julai 2012

Rugi jika tidak hayati al-Quran

Oleh: Ashraf Muslim
 
Keindahan ayat suci tenteramkan jiwa

Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang sedang berlangsung adalah medan terbaik untuk kita semua mendekatkan diri dengan al-Quran dan saya percaya, mereka yang sedang mendalami ilmu membaca al-Quran mengikuti siaran langsung dengan tekun. Rasanya, program realiti mempelajari al-Quran yang pernah diterbitkan juga mengambil iktibar daripada majlis yang diadakan setiap tahun itu kerana hakikatnya ramai yang suka mendengar alunan ayat suci al-Quran. 

Tambahan pula, ayat itu diperdengarkan dengan lagu yang merdu oleh qari serta qariah yang mempelajari serta menghayati ilmu pembacaan al-Quran secara bersistem.

Daripada keindahan alunan ayat al-Quran itu yang dapat mententeramkan jiwa siapa saja mendengarnya, tidak dapat kita sangkal betapa besarnya mukjizat al-Quran. Kita juga pasti biasa mendengar nasihat jika hati resah, bacalah al-Quran.

Sememangnya al-Quran boleh menenangkan jiwa. Anehkan, bagi yang tidak fasih bahasa Arab dan tahu makna perkataan Arab, masih mendapat manfaat daripada ayat suci diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW.

Itu baru saja mendengar ayat suci dibacakan qari dan qariah, jika bersama pula membacanya, kita bukan saja dapat belajar kaedah membaca al-Quran dengan berlagu malah diberikan ganjaran besar kerana membaca al-Quran walau satu ayat, dijanjikan ganjaran.
Hebat sungguh mukjizat al-Quran malangnya masih ada yang tidak mahu mendekatkan diri dengan kitab suci umat Islam ini. Sedangkan memandang al-Quran pun kita sudah diberi pahala. Rugi sungguh mereka yang sombong dengan al-Quran.

Maka berbahagialah mereka yang hadir mengikuti tilawah al-Quran serta yang menontonnya melalui televisyen.

Alhamdulillah, saya diberi rahmat oleh Allah dengan membuka ruang yang luas untuk mendekatkan diri dengan al-Quran melalui perkhidmatan rawatan disediakan di Pusat Rawatan Islam al-Hidayah. Hari-hari saya berpeluang membaca dan menyebarkan mukjizat al-Quran kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan.

Pelbagai cara Allah SWT mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya dan ada kalanya daripada sumber tidak pernah disangka. Contohnya, saya sendiri kerana tidak pernah menyangka akan melalui proses transformasi diri yang menjadikan al-Quran sahabat setia sepanjang hari.

Saya bersyukur kerana kaedah rawatan menggunakan ayat al-Quran juga sudah menggerakkan hati dan jiwa yang sebelum ini jauh dengan al-Quran akhirnya setiap hari meniti di bibir mereka ayat memuji kekuasaan Allah SWT.

Ada yang sebelum ini tidak pandai membaca al-Quran atau keras lidahnya menyebut firman Allah, kini sudah lancar malah ada yang boleh mengajarkan pula kepada ahli keluarga, saudara serta sahabat mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Justeru, marilah kita bersama menjadikan amalan membaca al-Quran sebahagian daripada aktiviti wajib di samping menunaikan tanggungjawab seharian untuk memenuhi tuntutan kehidupan di dunia ini.

Mereka yang dekat dengan al-Quran akan menikmati kebahagiaan yang hanya mereka saja dapat merasainya dan perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Info

Ayat untuk gangguan iblis atau dirasuk, surah al-A’raf, ayat 146-159

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...