Khamis, 2 Ogos 2012

Gembira dengan kesusahan orang bukan sifat orang beriman

Firman Allah SWT:


Maksudnya: “Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan), maka yang demikian menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah SWT meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.” (Ali-Imran: 120)

HURAIAN

Allah SWT menjelaskan tentang keadaan dan sikap orang yang tidak beriman yang terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan munafik yang memusuhi orang-orang yang beriman. Apabila orang-orang Mukmin mendapat nikmat atau kebaikan seperti kemenangan dan kekayaan maka ia akan membuatkan orang kafir sakit hati dan gelisah. Namun apabila orang-orang Mukmin ditimpa bencana seperti kekalahan dan kesusahan mereka akan seronok dan gembira. Ini kerana mereka sentiasa iri hati dan dengki terhadap kesenangan orang Mukmin dan sentiasa merancang untuk kesusahan orang Mukmin.

Namun Allah SWT telah memberikan penawar yang berkesan kepada orang yang beriman dengan menyelamatkan mereka daripada kejahatan musuh melalui kesabaran, ketakwaan dan
bertawakkal kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa mengawasi musuh kerana semua perkara berada di bawah kehendak dan kekuasaan Allah SWT.

Oleh itu, apabila seseorang bersabar menunaikan setiap suruhan syariat seperti solat, puasa dan sebagainya dan bertakwa (takut) daripada segala larangan Allah SWT, maka segala rancangan musuh (orang kafir) tidak akan berjaya dan tidak akan memberi sebarang kesan kerana sabar dan takwa merupakan syarat kejayaan mengalahkan musuh.

KESIMPULAN

Musuh Islam sentiasa merancang untuk memperdayakan orang beriman agar terpesong dari landasan agama. Mereka akan gelisah apabila orang Islam mendapat kesenangan dan bergembira apabila orang Islam ditimpa kesusahan dan bencana. Dengan itu kita perlu
sentiasa bersabar dan bertakwa untuk menghadapi musuh kerana dengan sifat tersebut, semua rancangan musuh tidak akan berjaya.

Sumber: Koleksi Artikel Tafsir Jakim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...