FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang mengehendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya daripada balasan dunia itu dan sesiapa yang mengehendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya daripada balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (Surah Ali Imran, ayat 145)
Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Demikianlah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala yang menghiasi pentas kehidupan dunia ini. Namun, ada hikmat yang tersembunyi di sebalik proses kehidupan dan kematian yang mewarnai hidup ini. Allah menegaskan bahawa setiap makhluk yang menghuni bumi Allah ini akan binasa bila tiba masanya nanti termasuklah nabi dan rasul yang terpilih dan juga malaikat sendiri seperti Jibril, Mikail dan Malaikat Maut melainkan Allah saja yang kekal hidup sampai bila-bila.
Apa yang jelas daripada wujudnya kematian dan kehidupan yang bersilih ganti dalam perjalanan hidup ini ialah betapa dunia yang didiami ini sebenarnya bersifat sementara dan begitulah juga kehidupan manusia di dunia ini juga bersifat sementara. Oleh sebab itu, Islam datang menjelaskan kepada umatnya mengenai hakikat penciptaan dan kejadian manusia ialah berdasarkan kepada soalan: Dari manakah kita datang? Untuk apa kita datang? Ke mana pula kita akan pergi? Jawapan ini ialah daripada Allah kita datang, untuk Allah kita hidup dan kepada Allah jualah kita akan kembali. Oleh yang demikian, persepsi seorang Muslim amat jelas mengenai matlamat sebenar kehidupan dan kematian yang mewarnai pentas kehidupan ini.
Profesor Hamka menyatakan bahawa ayat ini bertindak sebagai perangsang motivasi buat meneguhkan hati orang yang beriman dalam menghadapi cabaran kehidupan sehariannya, sama ada membina dan memajukan agamanya, mahu pun dalam menangkis serangan musuh-musuhnya. Setiap insan tidak usah ragu dan takut menghadapi kematian kerana kematian itu adalah suratan yang sudah pun tertulis di Luh Mahfuz.
Menurut Raghib al-Asfahani, kematian itu dengan maksud berpisahnya roh dari badan, sekali gus adalah sebab yang membawa manusia menuju kenikmatan abadi. Kematian adalah perpindahan dari satu negeri ke negeri yang lain, seperti dinukilkan oleh Abdul Karim al-Khatib bahawa sesungguhnya kalian diciptakan untuk hidup abadi, tetapi kalian harus berpindah dari satu negeri ke negeri (yang lain) sehingga kalian menetap di satu tempat.
Baca artikel penuh di Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^