DALAM situasi semasa kita sedia maklum banyak gejala sosial negatif melanda generasi muda khususnya remaja.
Jadi, sebagai ibu bapa aspek pendidikan untuk anak-anak seharusnya menjadi keutamaan yang tidak boleh diabaikan sama sekali.
Ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap segala tingkah laku dan gerak-geri anak-anak mereka.
Pada tahap usia muda anak-anak sudah mula mengenal dunia luas yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Pengabaian dalam mengambil tahu gerak-geri anak-anak boleh mengakibatkan mereka menjadi tidak terkawal dan bergaul bebas.
Selain itu, kita sebagai ibu bapa seharusnya juga mencuba sedaya boleh meluangkan masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Cubalah wujudkan majlis ilmu bagi membincangkan bersama anak mengenai sirah Nabi s.a.w dan perjalanan sejarah Islam.
Insya-Allah dengan pendekatan dan metodologi seperti ini jiwa anak remaja kita akan terisi dengan roh Islam yang mantap.
Wujudkan pengajian al-Quran bersama anak-anak dan sentiasalah mengajak mereka mencintai kitab suci itu.
Inilah strategi dalam mengukuhkan kekuatan iman dan takwa dalam diri anak remaja.
Remaja yang mematuhi segala perintah syarak akan mewujudkan realiti kehidupan yang sempurna. Allah menegaskan mengenai pentingnya kehidupan ini dipaut pada al-Quran. Allah berfirman: “Sesungguhnya al-Quran itu membimbing kita ke jalan yang lurus (benar).” (Surah Al-Isra’ ayat 9)
Remaja yang rajin membaca ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan sentiasa merenung isi maknanya, sudah tentu akan mampu menghidup dan menjernihkan hatinya.
Kata Saidina Ali: “Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.
“Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan khusyuk.”
Justeru, wahai saudaraku yang dirahmati Allah, untuk memperoleh nur dan hidayah Allah itu satu mekanismenya ialah melalui pembacaan al-Quran.
Jinakkanlah hati dan jiwa anak-anak kita dengan al-Quran. Jadikan mereka ‘bermesra’ dengan lebih erat dan ‘jatuh cinta’ kepada al-Quran.
Bukan setakat mengajar anak-anak membaca al-Quran, sekiranya berkesempatan (Insya-Allah ada kesempatan) cubalah membaca tafsir ayat al-Quran yang dibacakan itu.
Baca artikel penuh di myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^