Kehebatan mukjizat ayat suci hanya dapat dirasai bagi umat mahu mengkaji, menghayati
MUKJIZAT al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah SAW yang lain kerana mukjizat itu hanya boleh disaksikan mereka yang hidup pada zaman Baginda saja sedangkan mukjizat al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.
Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia tersembunyi dan hikmah yang boleh diselidiki dan diterokai manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat. Membaca al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati keras bertukar lembut. Ramai tokoh menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.
Contohnya, Saidina Umar al-Khattab pada zaman Rasulullah SAW, manakala pada zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.
Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril dalam dua peringkat. Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam penuh keberkatan pada Ramadan.
Peringkat kedua, al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun. Oleh kerana Allah menurunkan al-Quran, maka Dia berhak memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari pengubahsuaian manusia.
Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Buktinya dari dulu hingga sekarang dan sampai hari kiamat, tidak ada seorang manusia yang sanggup mencipta satu ayat setanding al-Quran. Sedangkan jika dilihat dari sudut sejarah ketika al-Quran diturunkan, masyarakat Arab jahiliah mahir mengarang sajak serta bersyair.
Mereka tidak mampu membuat satu ayat setanding al-Quran. Maka benarlah firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu ada menaruh syak mengenai apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 23-24)
Baca artikel penuh di Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^