Allah SWT berfirman:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Al-A'raf, Ayat 26
Huraian
Islam ialah agama fitrah. Oleh kerana itu, dalam segala urusan kehidupan manusia yang bersifat duniawi, Islam lebih banyak mengatur ketentuan yang sesuai dengan fitrah manusia yang sempurna, termasuklah di urusan pakaian. Syariat Islam menetapkan beberapa peraturan dan panduan. Pakaian mestilah tidak terlalu sempit atau ketat, tidak terlalu nipis, warnanya pula tidak boleh terlalu terang. Pakaian wanita dilarang bagi laki-laki, begitulah sebaliknya. Selanjutnya, baik lelaki mahupun wanita dilarang mengenakan pakaian yang mendatangkan rasa berbangga-bangga, bermegah-megah, takabur dan menonjolkan kemewahan yang melampaui batas.
Umat Islam seharusnya bijak membuat pilihan dalam berpakaian. Elakkan daripada memilih pakaian yang mencemar ketinggian budaya Islam seperti memakai baju-T yang tertera jenama minuman keras, perkataan-perkataan kotor dan kurang sopan serta mendedahkan tubuh yang kononnya dianggap up-to-date. Ini kerana pakaian boleh dijadikan kayu ukur kepada ketaqwaan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa meninggalkan pakaian yang mewah-mewah kerana tawadhuk kepada Allah, padahal ia mampu membelinya, maka Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekelian manusia untuk disuruh memilih sendiri pakaian iman yang mana ia sukai untuk dipakainya" (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Kesimpulan
Garis panduan berpakaian yang disediakan oleh Islam adalah untuk kebaikan umatnya. Selain membentuk peribadi mulia, ia juga dapat memelihara masyarakat daripada cenderung kepada maksiat. Mereka yang berpakaian sopan bukan sahaja dihormati malah menjadi contoh ikutan kepada orang lain.
Sumber: Koleksi Artikel Tafsir JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^