Sabtu, 13 Oktober 2012

Keistimewaan Yasin

ALHAMDULILLAH, selepas kita selesai membincangkan Juzuk 29, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.

Surah ini termasuk dalam golongan surah Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang termasuk dalam ayat Madaniyyah.

Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah SWT berfirman: .......Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42) 

Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.

Dalam surah yang lepas, Allah SWT berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah S.W.T. berfirman: Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38), dan firman-Nya juga: Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat… (Yasin: 39)

Sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya roh.

Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121012/ba_04/Keistimewaan-Yasin#ixzz29BjGA4u2
Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...