Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.
Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat.
Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.
Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.
Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.
Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril
Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.
Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.
Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.
Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.
Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^