Isnin, 6 Jun 2011

Hidup lebih fokus apabila berdamping kitab suci

Oleh Ashraf Muslim

2011/06/06

Menghayati al-Quran bersama tafsirannya buatkan jiwa individu sentiasa disemai dengan ketakwaan

TERINGAT lagi ketika kecil, setiap kali selepas solat Maghrib, ibu akan mengajar saya membaca al-Quran. Ibu adalah ‘guru mengaji’ yang setia mengajarkan kami kalimah Allah bagi memastikan kami adik beradik celik al-Quran.

Walaupun ilmu membaca al-Quran memang sudah disemai di dada sejak kecil tetapi tidak dinafikan dari segi amalan memang ada cacat celanya. Apabila kembali mendekatkan diri dengan al-Quran, saya terasa perbezaannya.
Oleh itu, boleh saya katakan, perubahan yang saya lalui kini ada kaitannya dengan mukjizat al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. Kesetiaan berdampingan dengan kitab Allah menjadikan saya kini lebih fokus dengan apa yang ingin dilakukan serta dicapai dalam hidup.

Selain menjadikan hati yang resah kembali tenang, wahyu Allah memiliki seribu satu kelebihan dan hanya mereka yang pernah merasai dapat menceritakan kemanisan pengalaman itu. Ini kerana semua mempunyai cerita masing-masing.

Kehidupan saya rasakan lebih mudah selepas berjinak-jinak kembali membaca al-Quran secara istiqamah, sekurang-kurangnya satu halaman sehari. Perancangan harian juga menjadi lebih teratur kerana fikiran lebih fokus.

Justeru, apabila melihat anak muda sekarang seakan menjauhkan diri daripada al-Quran, timbul rasa sedih. Seseorang itu tidak semestinya perlu berubah menjadi alim untuk membaca al-Quran kerana membaca al-Quran sepatutnya sebahagian daripada amalan harian.

Kita kata hendak semua tetapi bagaimana mungkin kita akan mendapat semuanya jika diri serta fikiran tidak fokus. Tetapi cuba dekatkan diri dengan al-Quran, Insya Allah ia akan membuka jalan untuk kita melangkah ke depan. Cubalah.

Saya sendiri tidak pandai membaca al-Quran secara berlagu seperti qari dan qariah hebat yang kita tonton di televisyen dan ilmu tajwid pun masih perlu diasah lagi supaya lebih mantap. Tetapi, kesan daripada amalan itu memang menakjubkan.

Malah, ganjaran yang dijanjikan juga begitu besar. Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)

Pengalaman saya sendiri, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengakui hatinya lebih tenang selepas mengamalkan membaca surah yang diberi sebagai penawar untuk penyakit dihadapinya.

Ada juga mengakui, sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran atau tergagap-gagap mengalunkan kalimah Allah tetapi kini sudah boleh membaca dengan lancar. Alangkah indahnya pengalaman serta nikmat diterima mereka.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...