SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan dan jumhur. Sedangkan pendapat Qatadah, ia adalah termasuk surah Madaniyyah. Surah ini terdiri daripada enam ayat dan diturunkan selepas surah al-Ma'un.
Hubungan surah ini dengan surah al-Kauthar
Dalam surah terdahulu, Allah SWT memerintahkan kepada rasul-Nya agar beribadat kepada-Nya, mensyukuri nikmat anugerah-Nya yang banyak dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya. Maka dalam surah ini dijelaskan apa yang ditunjuk surah sebelumnya.
Sebab turunnya surah ini
Diriwayatkan bahawa al-Walid Ibn al-Mughirah, al-'As Ibn Wa'il al-Sahmi, al-Aswad Ibn Abdul Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan jemaah yang lain daripada tokoh-tokoh Quraisy menemui Nabi SAW seraya berkata: "Wahai Muhammad, ikutilah agama kami, nanti kami akan mengikuti agamamu, kami akan menyertakanmu dalam urusan kami seluruhnya, kamu sembah tuhan kami selama setahun lalu kami pun menyembah tuhanmu selama setahun, sekiranya ajaranmu itu baik, maka kami akan mengikutimu dan kami akan turut sama aktif, sebaliknya jika ajaran yang ada pada kami baik, maka hendaknya engkau mengikuti ajaran kami dan engkau turut sama di dalamnya".
Bagi menghadapi permintaan itu, maka Baginda menjawab: "Aku mohon perlindungan Allah SWT daripada menyekutukan-Nya dengan yang selain-Nya". Lalu Allah SWT menurunkan surah ini untuk menolak ajakan mereka.
Maka pada pagi-paginya Rasulullah SAW pergi ke Masjid al-Haram. Di sana berkumpul pemimpin-pemimpin Quraisy. Lalu Baginda berdiri di hadapan mereka seraya membacakan surah ini sampai selesai.
Ketika itu mereka berputus asa dan mula memusuhi baginda dan para sahabatnya sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah.
Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan sebab turunnya surah ini:
l Utbah bin Rabi'ah dan Umayyah bin Khalaf bertemu dengan Nabi untuk membincangkan berkenaan dengan tawar menawar dan bertolak ansur di mana masing-masing mengikut agama secara bergilir-gilir, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ubaid bin Umair.
l Orang Quraisy berkata kepada Nabi SAW: Jika kamu suka, supaya kami mengikut agama kamu setahun, dan selepas itu kamu kembali mengikut agama kami setahun pula, lalu turunlah ayat ini. Inilah pendapat Wahab.
Firman Allah SWT: Katakanlah: Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-'Uyun menyebut: Allah SWT menurunkan ayat ini dengan perintah "Katakanlah" pada permulaan surah, sama seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas. Ini kerana diturunkan sebagai menjawab pertanyaan orang kafir.
Sayid Qutub berkata: Allah menyeru dengan hakikat diri mereka yang sebenar dan menyifatkan dengan sifat-sifat yang sebenar iaitu mereka bukan berada di atas agama yang benar, mereka bukan orang-orang mukmin dan sebenarnya mereka orang kafir.
Tiada titik pertemuan antara engkau dengan mereka. Ayat ini menerangkan hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu.
Firman Allah SWT: Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.
Hanya Allah sahaja yang bersifat Esa. Mungkin persoalan timbul, apakah faedahnya pengulangan ini. Al-Mawardi menjawab dengan dua wajah:
l Ucapan tersebut pada kali yang pertama menggambarkan keadaan dan pada kali yang kedua pula menggambarkan masa akan datang. Inilah pendapat al-Akhfash.
l Yang pertama pada ucapannya aku tidak sembah dan tidak pula kamu memberi makna hal akan datang, sedangkan yang kedua adalah perkhabaran tentangnya dan diri mereka pada masa yang lalu.
Al-Maraghi berkata: Kamu bukanlah penyembah Tuhanku tempat aku berdoa kerana perbezaan sifat-Nya dengan Tuhan yang kamu sembah, maka sekali-kali tidak mungkin dipertemukan antara kedua-duanya.
Setelah baginda menafikan perbezaan pada Tuhan yang disembah, maka baginda pun menafikan persamaan cara penyembahan, kerana mereka menyangka bahawa peribadatan yang mereka lakukan di hadapan penolong-penolong mereka itu, atau di tempat-tempat ibadat yang mereka dirikan, atau tempat-tempat mereka berkhalwat (menyepi) dengan penuh rasa kepercayaan kepada para pemberi syafaat bahawa peribadatan mereka itu murni kerana Allah SWT kerana pada pandangan mereka, Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai apa-apa kelebihan.
Sumber: Utusan Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^