Rabu, 2 Februari 2011

Elakkan diri daripada kelalaian yang membinasakan

Firman Allah SWT yang bermaksud:



"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" Al-An'am, Ayat 32

Huraian:
Antara tanda-tanda orang yang beriman ialah mereka sentiasa menjaga diri daripada perkara-perkara yang melalaikan. Islam melarang umatnya melakukan perkara yang melalaikan yang boleh membawa kemusnahan pada diri sendiri sama ada ketika di dunia atau di akhirat.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa jadual kehidupan harian orang beriman adalah meliputi empat waktu iaitu masa ia berzikir dan mengingati Allah SWT, masa ia merenung dan mengkaji ciptaan Allah SWT sehingga terserlah kekuasaanNya, masa ia bermuhasabah terhadap dirinya dan masa ia mencari keperluan hidup seperti belajar dan bekerja.

Orang yang menjadikan kehidupan dunia sebagai fokus utamanya tanpa langsung memikirkan untung nasibnya di akhirat bukanlah contoh umat Islam yang terbaik. Keseimbangan mencari tuntutan kehidupan di dunia dan di akhirat adalah menepati kehendak ajaran Islam. Mereka yang membangunkan kehidupan dunia demi mendapatkan keredhaan Allah SWT pasti akan mendapat ganjaran yang lebih baik di akhirat kelak sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Kesimpulan:
Umat Islam jangan sekali-kali dilalaikan oleh kehidupan dunia sehingga terlupa amal kebajikan sebagai bekalannya di akhirat. Bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat maka setiap umat Islam perlu mengikhlaskan diri beribadah kepadaNya, taat kepada ajaran agama dan berbuat baik sesama insan.

Sumber: Koleksi Artikel Tafsir Siri 2, JAKIM (Edaran percuma)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...