HUKUM membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib atau fardu
kifayah kepada pembacanya. Maksudnya mempelajari ilmu tajwid itu sebagai
fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat atau lokasi
itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai
rujukan bagi masyarakat setempatnya.
Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu
tajwid maka kesemua penduduk kawasan itu menanggung dosa. Walaupun
membaca al-Quran itu dikira sebagai sunat, al-Quran itu wajib dibaca
dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan.
Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa tajwid serta bacaannya boleh
mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan ini
dilaknati Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ramai orang
membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatinya." Juga rujuk
al-Baqarah ayat 121.
Zaid bin Thabit menyebutkan sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya
Allah Taala menyukai seseorang hamba-Nya membaca al-Quran secara tepat
sebagaimana ia diturunkan.
Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Sesungguhnya akan datang beberapa
golongan sesudahku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang
bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni
keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan
mahraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang
sahaja."
Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal daripada lagu Arab yang
diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat
huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan
seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat
melalaikan sebutan huruf.
Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah SAW
sehingga sekarang dalam menyatakan bahawa membaca al-Quran secara
bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib.
Menurut mazhab Syafi'i, bahawa memelihara pembacaan Kitab Allah Taala
iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli Qiraat adalah
suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu
adalah berdosa dan karut.
Perlu disampaikan bahawa ada beberapa hal yang sangat penting dalam
membaca seni al-Quran terutama dalam sesuatu majlis bacaan atau tilawah
menurut pendapat ulama yang antara lainnya sebagai berikut.
Pertama; setiap orang mesti membaca al-Quran dengan fasih dan
bertajwid. Sebab hal ini merupakan masalah pokok. Kalau kita hanya
mengejar lagu tanpa memerhatikan tajwid, ini merupakan satu kesalahan
yang sangat besar. Kedua-duanya harus berjalan secara harmonis. Membaca
dengan bertajwid, membaca dengan fasih, kemudian dilagukan secara
harmonis.
Kedua; kita harus mempunyai bakat dan juga minat. Kalau kita
mempunyai minat untuk membaca al-Quran, itu dapat memberikan satu
jaminan bahawa kita dapat berlatih secara istiqamah. Sedangkan dengan
bakat yang dimiliki bererti kita memiliki suara yang diperlukan dalam
membaca al-Quran dan juga kita memiliki pernafasan yang cukup baik.
Ketiga; sabar dan ikhlas. Setiap orang harus bersabar dan ikhlas
dalam membacakan al-Quran. Kerana dalam seni membaca al-Quran banyak
hal-hal yang berkaitan di dalamnya, dari segi tajwid, ataupun qiraatnya.
Kita perlu mempelajari bagaimana pernafsan yang baik, seluk beluk lagu,
dari lagu a, b, c, dan sebagainya. Semua ini betul-betul memerlukan
kesabaran dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.
IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^