ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan orang yang mendustakan-Nya,
para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab pada hari keputusan
dan pembalasan.
Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai seksaan itu dengan segala
kengeriaannya yang membingungkan orang yang berfikiran dan menundukkan
setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya.
Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa mereka diperintahkan untuk
pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang bercabang-cabang kerana
banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga cabang besar
yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.
Padahal naungan yang sedemikian tidak sedikitpun melindungi dan
menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri di atas api yang
memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan istana.
Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning yang bertebaran dan
bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak menentu.
Tidak diragukan lagi perkara yang demikian ini adalah persamaan yang
diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu dengan kebesaran.
Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang besar dengan
istana sebagaimana yang dikatakan: "Maka untaku pun berdiri di situ,
seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang menunggu."
Firman Allah SWT: Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)
Al-Maraghi berkata: "Gunung-ganang ini berhubungan dengan lapisan
batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling jauh daripada
permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang bernyala-nyala
yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan kulit bumi
yang kita berada padanya."
Air tawar itu pula berasal dari awan yang dijaga oleh gunung-ganang
yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air yang turun dari
gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir perlahan-perlahan
di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut bumi menuju ke
puncak mata air yang mengalir.
Ibnu Kathir berkata: "Yakni gunung-ganang yang ditanamkan di bumi
agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan air tawar yang diturunkan dari
langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata air bumi."
Sayid Qutub berkata: "Dan di bumi Kami ciptakan bukit-bakau dan
gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi itulah
berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air
tawar yang nyaman."
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)
Al-Maraghi berkata: "Azab yang besar di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.'
Ibnu Kathir berkata: "Celaka bagi orang yang merenungi berbagai macam
makhluk yang menunjukkan keagungan Penciptanya tetapi setelah itu dia
terus-menerus dalam kedustaan dan kekufuran."
Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)
Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam berkata kepada mereka:
"Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu telah dustakan."
Firman Allah SWT: Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:
l Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi
kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu
cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia
bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.
l Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.
Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api semakin tinggi dan naik
bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan kekuatannya ia mempunyai
tiga cabang.
Sayid Qutub berkata: "Iaitu bayangan asap api neraka yang pucuknya
menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah bayangan teduh yang mencekik
pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan bayangan teduh sebagai
lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi angan-angan
mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api neraka
Jahanam.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^