ALLAH SWT telah menetapkan bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Tuhan Semesta alam dan ia bukannya syair atau ramalan.
Lalu Allah SWT mengukuhkan bahawa bila Nabi Muhammad SAW melakukan perkara yang demikian (syair dan ramal), tentulah Kami akan membatalkan hujahnya. Begitu juga Kami akan hentikan dakwahnya dengan mencabut kekuatan bayan (bicara)nya sehingga Baginda SAW tidak dapat berbicara dengan melakukan pendustaan ini. Atau Kami akan membunuh Baginda SAW sehingga tidak dapat menyebarkan pendustaan. Menurut sunnah Kami, setiap orang yang sengaja mengada-adakan pembicaraan pasti tidak akan diterima dan ucapannya tidak akan di dengar orang.
Firman Allah SWT: Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebagian perkataan atas (nama) kami. Nescaya benar-benar kami pegang dia pada tangan kanannya. (al-Haqqah: 44-45)
Ibnu al-Jauzi berkata: Kalau Muhammad mereka-reka dan berdusta atas kami apa yang kami tidak firman kepadanya, nescaya kami hukum ke atasnya dengan sekuat-kuatnya. Inilah pendapat al-Farra, al-Mubarrad dan al-Zajjaj. Sedangkan Ibn Qutaibah pula berkata: Allah akan mendirikan sebelah kanan-Nya sebagai tempat kekuatan. Ini kerana kekuatan pada setiap sesuatu pada pihak kanannya.
Yang paling buruk
Al-Maghari berkata: Jika Nabi Muhammad SAW sengaja mengadakan perkataan yang batil dan menisbahkannya kepada Kami, pasti Kami akan segerakan seksaan kepadanya dan Kami pula akan membalasnya dengan balasan amat dahsyat. Maksud memegang tangan kanannya itu ialah pegangan ketika memancung leher dan melenyapkan nyawa. Oleh yang demikian ia disebut sebagai tamsil (kiasan) tentang apa yang dilakukan para raja terhadap orang yang mendustakan mereka. Lalu mereka tidak lagi memberikan tempoh kepadanya, bahkan mereka memenggal leher orang itu dengan segera.
Firman Allah SWT: Kemudian benar-benar kami potong urat tali jantungnya. (al-Haqqah: 46)
Perkataan watin dalam ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Ikrimah, Sa'id bin Jubair, Qatadah dan al-Dahak dengan saraf dan urat-urat yang bersambung pada hati.
Al-Maghari berkata: Watin adalah urat besar yang merupakan tempat dikenakan pisau oleh orang yang melakukan sembelihan. Al-Shimah Ibn Dirar berkata: Apabila kamu telah menghantar aku, dan membawa barangan muatanku ke atas kenderaan, maka alirkan darah di urat jantungmu.
Ayat di atas bermaksud apabila dia mendustakan Kami, tentu Kami akan menghilangkan nyawanya sehingga dia bagaikan orang yang menghiris urat jantungnya. Ini adalah gambaran tentang kebinasaan yang paling buruk dilakukan para raja terhadap yang mereka murka. Ini disebabkan tangan kanan orang itu akan dipegang oleh tukang penyembelih lalu dipukul dengan pedang dan dipancung lehernya.
Firman Allah SWT: Maka sekali-kali tidak ada seorangpun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu. (al-Haqqah: 47)
Ibn Kathir berkata: Tiada seorang pun yang mampu untuk menghalang kami dan tindakan kami jika kami mahu melaksanakannya.
Memberi peringatan
Syed Qutub berkata: Maksud ayat ini dari sudut laporan ialah untuk menyatakan Nabi Muhammad SAW itu benar dalam segala yang disampaikan kepada mereka. Andainya Baginda mereka perkataan yang tidak diwahyukan Allah kepadanya, tentulah Allah SWT akan membunuhnya dengan cara yang diterangkan oleh ayat itu.
Oleh kerana seksaan Allah SWT tidak berlaku, maka inilah bukti bahawa Baginda seorang yang benar.
Inilah kedudukan isu ini dari sudut laporan tetapi pemandangan hidup yang dikemukakan untuk memberi bayangan yang ngeri dan menakutkan. Pemandangan ini bergerak dan hidup menyampaikan saranan, isyarat dan nada. Pemandangan itu menggambarkan penyeksaan Allah yang bertindak memotong saluran jantungnya. Ini suatu tindakan yang keras dan mengerikan dan di sebaliknya menyarankan betapa besarnya kudrat Allah dan lemahnya manusia di hadapan-Nya walaupun Nabi SAW itu disayangi dan dimuliakan Allah SWT. Dan di sebalik semuanya ini terdapat nada pernyataan yang membayangkan perasaan takut, cemas dan khusyuk.
Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Haqqah: 48)
Al-Sobuni berkata: Ini kerana al-Quran boleh memberi peringatan kepada yang beriman lagi bertakwa yang takut kepada Allah khususnya golongan yang bertakwa disebut di sini kerana merekalah yang banyak mengambil manfaat dengan al-Quran.
Al-Maghari berkata: Al-Quran ini menjadi peringatan kepada orang yang takut terhadap seksaan Allah SWT sehingga dia mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Peringatan dan nasihat itu dikhususkan kepada para muttaqin kerana mereka terdiri daripada orang yang dapat memanfaatkannya.
Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami benar-benar mengetahui bahwa di antara kamu ada orang yang mendustakan(nya). (al-Haqqah: 49)
Ibnu Kathir berkata: Sekalipun keterangan dalam al-Quran amat jelas lagi nyata tetapi akan ada di kalangan kamu yang mendustakan al-Quran.
Al-Maghari berkata: Di antara kamu ada yang mendustakannya kerana cintakan dunia dan dengki terhadap pendakwah itu. Atas dasar itu, Kami akan membalasmu dengan sesuatu yang lebih adil. Kesimpulannya, antara kamu itu ada orang yang bertakwa kepada Allah SWT sehingga dia mengingati al-Quran dan dapat memanfaatkannya. Di antara kamu pula ada orang yang cenderung kepada dunia sehingga dia mendustakan dan berpaling dari al-Quran.
Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang-orang kafir (di akhirat). Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini. (al-Haqqah: 50-51)
Syed Qutub berkata: Mereka menyesal kerana al-Quran telah mengangkatkan darjah orang yang beriman dan menjatuhkan orang kafir yang berdusta. Ini kerana al-Quran berjaya menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan yang dipegang oleh orang-orang kafir. Di samping itu, al-Quran menjadi hujah yang menentang mereka di hadapan Allah pada hari Akhirat kelak, di mana mereka akan diazab kerana al-Quran dan menyesal kerana menentang-Nya. Oleh itu al-Quran akan menjadi punca penyesalan kepada orang kafir dunia dan akhirat.
Walaupun didustakan oleh pendusta, al-Quran bukan semata-mata keyakinan tetapi kebenaran yang wujud dalam setiap keyakinan itu. Kata-kata Haqqul Yakin adalah ungkapan istimewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu al-Quran amat mendalam dari segi kebenaran dan keyakinan. Al-Quran mengemukakan kebenaran yang tulen dalam setiap ayatnya membuktikan sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati serta telus.
Firman Allah SWT: Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Besar. (al-Haqqah: 52)
Al-Maghari berkata: Bertasbihlah kamu kepada Allah SWT dengan menyebut nama-Nya dan sebagai tanda membersihkan diri daripada mendakwa ia adalah suatu rekaan dan untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana penganugerahan al-Quran yang agung ini telah diwahyukan kepadamu.
Penutup
Berdasarkan kepada ayat-ayat yang dibahaskan, antara yang ditekankan di sini berkenaan dengan al-Quran. Justeru, sewajarnya kita beriman dengannya dengan maksud membaca tadabbur ayat-ayat al-Quran, mengamali ayat al-Quran, merasa kebesaran ayat Allah dan menjadikan kalam Allah sebagai pedoman hidayah dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini. Hendaklah kita jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Amin.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^