Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang membaca al-Quran dan menghayatinya.
Ramai yang beranggapan ketenangan boleh dicari dan mudah diperolehi seperti menikmati keindahan semulajadi atau melawati kawasan yang indah dengan suasana yang permai.
Namun, sejauh mana ketenangan itu dikecapi dan berkekalan dalam diri seseorang, atau ia hanya bersifat sementara.
Pendakwah bebas, Asni Mansor berkata, ketenangan sebenar adalah apabila seseorang itu dapat menikmati nikmat hidup tanpa dibelenggu perasaan keluh kesah.
Seseorang itu belum dikatakan mendapat ketenangan sebenar jika sentiasa resah dan tidak tenteram memikirkan masalah harian walaupun memiliki pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia.
Beliau berkata, salah satu kaedah untuk mengecapi ketenangan itu adalah dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.
"Jiwa manusia memerlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai penyucian jiwa. Oleh itu, mukjizat al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar yang mampu dikecapi oleh setiap insan.
"Tanpa ketenangan jiwa maka akan mengakibatkan berlakunya pelbagai keruntuhan akhlak, perkembangan gejala sosial dan perbuatan tidak sihat dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda," katanya ketika ditemui di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.
Beliau berkata, pendidikan al-Quran perlu diterapkan oleh setiap kanak-kanak bagi mendidik mereka menjadi generasi al-Quran pada masa depan.
Tambahnya, setelah hampir 11 bulan murid diberikan dengan pelbagai pendedahan ilmu akademik, maka sedikit ruang perlu disediakan bagi memenuhi hati dan fikiran dengan santapan nurani iaitu menggunakan ayat suci al-Quran.
"Hati dan jiwa kita juga memerlukan sesuatu sebagai landasan penyucian rohani yang dapat memberikan ketenangan. Dengan menghayati kalam Allah itu, secara tidak langsung mampu membersihkan sifat buruk seseorang dan mengubah sikap mereka kepada lebih baik," katanya.
Seorang peserta kem Tahsin al-Quran, Adib Fikri Jamil, 17, berkata, timbul satu perasaan dalam dirinya yang sebelum ini belum pernah dirasakan apabila dapat memberi fokus sepenuhnya kepada al-Quran.
"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi apa yang mampu saya katakan adalah jiwa saya terasa tenang dan gembira apabila mengikuti kem ini yang menekankan pendekatan ala madrasah.
"Tidak sangka, kelapangan jiwa dan fikiran yang dianugerahkan ini membuatkan saya mampu menghafal hampir sembilan juzuk selama dua minggu berada di kem Tahsin al-Quran ini," katanya.
Anak pertama daripada empat adik beradik itu bercita-cita untuk menjadi tukang masak profesional yang mengamalkan prinsip al-Quran dalam perniagaan dan masakan.
Baca artikel penuh di Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^