AL-QURAN sebagai mukjizat Allah turun dalam bulan Ramadan. Ia menjadi sumber petunjuk kepada manusia dan juga orang yang bertakwa (hudan linnas hudan lilmuttaqeen). Manusia sebagai ciptaan Allah memerlukan pedoman bagaimana hidup ini harus dijalani.
Lebih-lebih lagi orang yang bertakwa menjadikan Allah sebagai sumber keyakinan dengan menghubungkan al-Quran sebagai sumber kebenaran. Manusia dengan kekuatan akal semata-mata tidak mampu memahami faktor kejadian, penciptaan apalagi faktor ghaibiyyah.
Akibat keterbatasan fikir manusia, alam yang tidak terbatas ini tidak dapat diteroka dan difahami kerana ia berkait langsung dengan faktor ghaibiyyah iaitu Allah SWT.
Bagi manusia yang bergantung kepada kekuatan akal semata-mata, hidupnya bersifat duniawi, fahamnya menjadi sekular, nafsu-nafsi menjadi pedomannya dan keyakinannya terhadap akhirat tidak ada.
Kehidupannya seumpama haiwan yang melata dimuka bumi. Bezanya mereka ada sistem dan hidup dalam masyarakat yang mencari kesejahteraan hidup dunia semata-mata.
Justeru remaja perlu faham bahawa petunjuk yang dibawa oleh al-Quran tidak sekadar mengajak manusia memahami faktor nyata yang sifatnya duniawi tetapi juga faktor ghaib yang berkait dengan ukhrawi.
Al-Quran membawa risalah tauhid kepada manusia supaya pancaran iman antara hamba dan Khaliq bertaut erat. Al-Quran juga memberikan landasan syariah dan fekah dan pedoman ibadah di samping kisah-kisah untuk dijadikan sumber ibrah atau ikutan.
Risalah tauhid yang dibawa oleh al-Quran adalah tunjangan dalam beragama seseorang Islam. Ia menjadi landasan penting tegaknya hubungan hamba dan pencipta.
Al-Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan memberi makna yang cukup besar kepada orang-orang Islam dan umat manusia. Ia turun ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Surah Yaasin ayat dua memberi asas bahawa al-Quran itu terhubung dengan hikmah (wal quranil hakiim). Hikmah inilah yang ingin dicari oleh manusia. Hikmah inilah juga yang selalu hilang daripada manusia.
Hikmah ini terungkap dalam surah awal al-Quran. Surah al-Alaq memberi makna yang amat istimewa untuk manusia. Maksud bacalah di situ tidak saja melambangkan budaya ilmu yang menghubungkan al-Quran dan pemikiran manusia atau membaca secara harfiah atau kalimah untuk mendapatkan pahala atau fadilat tetapi maksud bacalah menghubungkan bacaan yang tersurat dengan maksud yang tersirat.
Membaca juga sifatnya tekstual (kitab) dan juga kontekstual (menghubungkannya dengan realiti keadaan dan peristiwa yang berlaku). Baca juga menghubungkan faktor alamiah dan manusia sebagai ayat-ayat Allah. Apa yang terjadi dihubungkan dengan kudrat dan iradat dari Allah.
Di bulan Ramadan budaya Quran dihidupkan dengan tadarrus, halaqah dan tazkirah. Ia menghidupkan hati-hati dan fikir insan. Fikrah Islami adalah sesuatu yang amat penting bagi manusia Islam kerana ia terkandung hikmah dan membawa pencerahan kepada insan.
Pencerahan tidak saja kepada akal tetapi juga kepada hati. Aspek fikir dan zikir amat penting bertaut supaya ianya melahirkan tasawwur yang lebih jelas terhadap sesuatu. Darinya fikrah Islami bakal terbina.
Ayat kedua dalam surah al-Alaq (khalaqal insan namin ‘alaq) memberikan manusia asas ilmu yang amat menakjubkan iaitu kejadian manusia bermula dari darah beku (‘alaqa).
Pandangan saintifik juga sedemikian. Bagaimana seketul darah yang membentuk dan bersusuk dan sempurna menjadi manusia dan ditiupkan roh supaya bermula kehidupan adalah sesuatu di luar dari kuasa manusia untuk melakukannya.
Ia membawa pengiktirafan bahawa manusia adalah makhluk yang dijadikan bukan terjadi secara kebetulan atau sifatnya semulajadi.
Pemikiran Quran ini amat penting difahami dan diyakini oleh orang-orang Islam supaya landasan akidah terbina kukuh dan darinya menghasilkan jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah benteng yang amat ampuh mendepani apa saja cabaran yang cuba menggugat keyakinan insan.
Faktor keyakinan adalah sesuatu yang asasi atau utama kerana darinya terpancar kekuatan akidah, iman dan ihsan.
Al-Quran memberikan pedoman dalam surah al-Asr – illallazi na’amanu waa’milaussa lihat – orang-orang beriman ciri-cirinya adalah amal soleh menjadi sempadan yang memperlihatkan pemikiran, keyakinan dan juga amal. Ini kerana akhirnya gambaran orang-orang beriman harus terlihat pada pekerti, tingkah laku dan amal buatnya. Di situlah datangnya keindahan Islam yang terpancar dari watak dan peribadi mithali.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^