Khamis, 8 September 2011

Doa khatam al-Quran di Mekah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

MASJID utama di seluruh negara Islam mengakhiri bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan dengan membaca doa khatam al-Quran.

Tetapi masjid yang paling menjadi tumpuan ialah Masjid al-Haram di Mekah yang menjadi destinasi umat Islam di bulan Ramadan untuk mendapat kelebihan mengerjakan umrah di samping solat tarawih yang mempunyai banyak kelebihannya.

Setiap malam, dua imam akan bergilir-gilir mengimamkan solat tarawih dan witir.

Mereka membaca lebih satu juzuk setiap malam dengan tujuan khatam al-Quran pada malam 29 Ramadan.

Sejak kebelakangan ini, imam yang membaca doa khatam al-Quran di Masjid al-Haram ialah Dr. Sheikh Abdul Rahman al-Sudaisi.

Saat khatam al-Quran dalam solat tarawih di Mekah menjadi satu perkara yang amat ditunggu-tunggu umat Islam.

Kehadiran mereka ke Mekah lebih satu juta sama ada dari negara arab, benua Afrika atau umat Islam di sebelah Asia terutama di minggu terakhir Ramadan. Ia semata-mata menunggu saat khatam al-Quran.

Dr. Sheikh Abdul Rahman memulakan doa khatam al-Quran dengan memuji Allah SWT dan membaca beberapa potongan ayat yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, Maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim. (ali-'Imran: 95)

Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (al-Nisa': 87)

Doa yang beliau baca lebih setengah jam itu mengandungi pujian kepada Allah SWT dan Nabi Muhamad SAW yang merupakan sebaik-baik rasul yang diutuskan.

Juga pujian kepada al-Quran yang merupakan sebaik-baik kitab Allah yang diturunkan, mempunyai hukum hakam, syariat perundangan, halal dan haramnya amat jelas.

Kandungan doa untuk al-Quran adalah memohon kepada Allah supaya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan hati setiap orang Islam selain memberi penerang duka kepada mereka di samping memberikan keceriaan ketika murung dan penunjuk yang memandu umat Islam ke ke syurga Allah.

Doa itu juga memohon agar Allah sentiasa mengingatkan umat Islam supaya tidak lupa kepa al-Quran dan ajarkan kepada mereka yang jahil tentangnya yang dapat dijadikan panduan dan dijadikan pedoman di hari akhirat.

Semua makmum yang mengaminkan doa tersebut amat tersentuh hati dengan doa yang dibacakan Imam Sudais.

Beliau turut memohon supaya Allah mengurniakan umat Islam seluruhnya dapat bersolat di Baitul Maqdis sebelum meninggal dunia sebagaimana ramainya bersembahyang di Mekah ketika ini.

Semoga doa yang dibaca di hadapan kaabah dan diaminkan oleh jutaan makmum ini dengan bersulam air mata, rintihan akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...