AL-QURAN merupakan kitab suci yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad yang lalu. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia.
Kandungannya tidak berubah sehingga akhir zaman kerana Allah telah berjanji untuk memelihara kitab agung itu sehingga hari kiamat iaitu antaranya dengan meletakkannya di dalam hati-hati orang yang menghafal al-Quran.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)
Al-Quran merupakan mukjizat teragung untuk dipelajari, dijadikan panduan dan diamalkan seluruh umat manusia kerana ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan oleh manusia.
Isi kandungannya dapat menyelesaikan setiap masalah kehidupan yang ada di dunia ini bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan kepentingan dan kemuliaan tertinggi kepada golongan pencinta al-Quran itu, maka usaha-usaha dan bentuk galakan harus diberi kepada masyarakat Islam negara ini agar mereka mencintai al-Quran sekali gus dijadikan panduan untuk melayari kehidupan di dunia.
Oleh itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memulakan langkah ke arah matlamat itu dengan memperkenalkan skim bantuan galakan hafazan al-Quran. Ia bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan mencintai al-Quran.
Skim yang diperkenalkan sejak tahun 2007 itu ternyata berjaya memberi semangat dan dorongan kepada masyarakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menghafal al-Quran dengan menyaksikan peningkatan penyertaan tahun demi tahun.
Bermula hanya 400 penyertaan yang layak menerima bantuan itu pada tahun 2007, jumlah itu meningkat seramai 104 pada tahun berikutnya manakala tahun 2009 menyaksikan pertambahan kepada 128 penerima dan meningkat kepada 114 penerima tahun lalu.
Pertambahan jumlah penyertaan itu sekali gus meningkatkan jumlah peruntukan bantuan yang dikeluarkan MAIWP. Pada tahun 2007, majlis itu hanya mengeluarkan dana berjumlah RM44,000; RM295,000 (2008), RM427,000 (2009) dan RM428,500 (2010).
Baca artikel penuh di Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^