KUALA LUMPUR 12 Julai - Seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara akan menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 yang akan berlangsung selama lapan hari mulai Sabtu ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, penganjuran acara itu menggambarkan komitmen kerajaan untuk menerapkan budaya minat terhadap al-Quran serta memahami intipatinya di samping mengeratkan persaudaraan antara negara-negara Islam.
"Malaysia akan diwakili oleh johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 baru-baru ini iaitu Amirahman Abas dari Negeri Sembilan dan Suraya Abu Hassan dari Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Othman, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pembukaan tilawah tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor akan turut hadir pada majlis perasmian tilawah yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" itu.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^