Sabtu, 28 Julai 2012

Al-Quran Biru

AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.

Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah diwarnakan dengan pewarna biru. 

Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.

Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.

Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.
Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi mendapatkan warna biru gelap.

Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan. 

Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang. Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.
Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna emas. 

Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris dan titik. 

Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah.

Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.

Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba. Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 - 10 Masihi di Afrika Utara. Ia merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri Al-Quran dan Manuskrip.

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 26 Julai 2012

AL-Quran bukan bait-bait syair


Firman Allah SWT:



Maksudnya: “(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang kami wahyukan kepadanya ini tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan kitab suci yang memberi penerangan. (Yasin: 69)


HURAIAN
Menerusi ayat ini Allah SWT menafikan dengan tegas bahawa Rasulullah SAW diajar syair. Jika Allah tidak mengajarnya, maka sudah tentu baginda tidak akan tahu, kerana seseorang rasul itu tidak mengetahui sesuatu melainkan apa yang diajarkan Allah kepadanya. Allah turut menafikan kesesuaian syair dengan Rasulullah SAW. 


Syair mempunyai metodologi yang berlainan daripada nubuwah. Syair mengandungi perasaan keharuan(emosi) sedangkan perasaan itu berubah-ubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Sebaliknya nubuwah merupakan wahyu yang berlandaskan metodologi yang tetap dan jalan yang lurus. Ia tidak berubah-ubah mengikut hawa nafsu berbanding syair yang sifatnya sentiasa berubah berlandaskan pelbagai cetusan emosi.


KESIMPULAN
Al-Quran bukanlah bait-bait syair bahkan merupakan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang penyair. Dakwaan kaum Musyrikin yang menyifatkan Nabi SAW sebagai seorang penyair adalah tuduhan yang tidak berasas kerana sejarah membuktikan bahawa kaum musyrikin (manusia) tidak mampu menyusun atau membawa ayatayat yang sebanding dengannya.


Sumber: Artikel Tafsir Jakim

Selasa, 24 Julai 2012

Khamis, 19 Julai 2012

Al-Quran lengkap tanda berhenti


Rauf bersama bapanya Hassan menunjukkan al-Quran 
dihasilkan dengan panduan waqaf dan ibtiqa’ dengan betul. - Berita Harian


Pensyarah perkenal kaedah baca kalamullah 

Saya minum susu. Kambing dalam cawan. Inilah akibatnya jika tidak tahu di mana hendak berhenti dan memulakan ayat. Ayat sebenarnya ialah ‘saya minum susu kambing dalam cawan’. Akhirnya, ayat itu tergantung atau tidak menyampaikan maksud sebenarnya. Sama jugalah apabila kita salah berhenti ketika membaca ayat al-Quran hingga mengubah makna ayat. Lebih bahaya jika ayat itu membabitkan iktikad dan jika dibaca salah maknanya boleh jadi haram serta merosakkan iktikad. Contohnya, ayat ‘Masih anak Allah’, tidak boleh berhenti di situ. 

Oleh itu, selain mengetahui cara membaca dengan hukum tajwid yang betul, umat Islam perlu berhati-hati dengan tempat berhenti (waqaf) dan hendak memulakan ayat (ibtida’) apabila membaca ayat suci al-Quran. 

Pentingnya ilmu waqaf ini mencetuskan idea kepada pensyarah Jabatan Bahasa Asing Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Tan Sri Hassan, menghasilkan Al-Quran Al-Karim Dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’. 

“Dulu saya pernah lihat al-Quran kakak saya, Mastura, ada tanda kurungan pada ayat tertentu yang membawa maksud tempat berhenti dan di mana dia hendak memulakan ayat. Itu cara beliau memastikan tidak melakukan kesilapan ketika berhenti dan dari mana pula hendak mula. 
“Oleh itu, saya terfikir alangkah baiknya jika ada al-Quran mempunyai tanda tempat berhenti dan memulakan bacaan. Al-Quran sedia ada memang mempunyai tanda berhenti, tetapi pada ayat panjang, ia menyukarkan mereka yang bernafas pendek. 

“Itu juga antara sebabnya mendorong saya menghasilkan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’. Tambahan, kebanyakan umat Islam tidak fasih berbahasa Arab dan mengetahui makna perkataan Bahasa Arab. 

“Cuma tiga tahun lalu, perkara itu mendapat perhatian serius dan saya mula memikirkan kaedah terbaik menghasilkan al-Quran yang mempunyai tanda tempat berhenti serta memulakan bacaan,” katanya. 

Warna kepada ayat sesuai waqaf 

Pendekatan terbaik difikirkan ialah dengan memberi warna kepada ayat sesuai untuk berhenti membaca dan ayat sesuai memulakan semula bacaan. Beliau melakukan percubaan pada 20 ayat dalam surah al-Baqarah. 

Warna merah menunjukkan boleh berhenti pada akhir ayat dan memulakan bacaan pada awal ayat berwarna merah. Warna hijau adalah perhentian kedua dan bagi yang nafas panjang boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna hijau, memulakan bacaan pada awal perkataan berwarna hijau. 

Warna biru pula, boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna biru dan memulakan bacaan pada perkataan selepasnya. Ketiga-tiga warna itu menjadi petunjuk kepada pembaca supaya memberhentikan bacaan di tempat yang betul. 

Selepas itu, hasilnya ditunjukkan kepada beberapa rakan yang teruja dengan kaedah itu serta mengalu-alukan penghasilan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtiqa’. Hanya selepas yakin, barulah ditunjukkan kepada ayahandanya, tokoh ilmu al-Quran terkemuka, Tan Sri Hassan Azhari. 

Hassan yang turut hadir pada sesi pertemuan itu memberitahu, awalnya beliau menentang hasrat anaknya itu dengan alasan tidak akan mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Bagaimanapun, selepas diterangkan bahawa warna digunakan untuk menunjukkan tempat berhenti dan memulakan bacaan itu tidak akan menjejaskan langsung tulisan huruf al-Quran, barulah cadangan dikemukakan anak bongsunya dipersetujui. 

Hassan jadi rujukan 

Malah, Hassan yang menjadi tempat rujukan memberi sepenuh komitmen membantu merealisasikan penghasilan al-Quran waqaf dan ibtida’ kerana sebagai salah satu cabang ilmu al-Quran, ia boleh dikatakan yang paling sukar dikuasai. 

“Orang belajar mengaji akan tanya nak berhenti dan ambil dari mana. Hendak jawab secara spontan pun susah juga. Malah, hakim tilawah ramai yang tidak mahu jadi hakim waqaf ibtida’,” katanya yang berpengalaman selama 52 tahun sebagai hakim tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



Sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...