Khamis, 30 Jun 2011

Cintaku tak kenal usia

Semanis Kurma: 30 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Cintaku tak kenal usia

Ayat doa 1: Doa keselamatan


Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara hari kiamat itu. An-Najmi, Ayat 58

Ayat doa 2: Doa ketika berhajat


(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. Yassin, Ayat 58

Point-point:
  • Doakan kebahagiaan untuk orang lain.
  • Cinta berdasarkan iman dan takwa.
  • Cintai Allah.
  • Baiki penampilan diri.
  • Buang pemikiran yang negatif.
  • Terimalah jodoh penuh keredhaan, itu satu bentuk rezeki.
  • Bersifat lemah lembut.
  • Ingat bahawa perkahwinan ialah perkongsian hidup. Susah senang bersama.

Tafsir Ayat: Solat dekatkan dengan Pencipta, erat silaturahim

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril, berbeza dengan ibadat lain. Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah.
Solat, kewajipan secara langsung dari Allah kepada Rasulullah dan umatnya adalah komunikasi yang menghubungkan antara manusia dengan Allah. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tanpa pengisian jiwa tetapi ibadah yang menuntut keikhlasan, ketakwaan dan rasa khusyuk ketika menghadap Allah.

Muslim beriman ialah yang menghadapkan seluruh kalbunya ke hadrat Ilahi ketika mendirikan solat dengan disaksikan deria ketakwaan di samping keinginan mencari petunjuk dan memohon taufik demi meraih kebahagiaan hidup dunia akhirat.

Muslim yang benar-benar beriman adalah yang berasa dirinya kerdil lagi daif di hadapan Allah yang Maha Besar.

Selain mendekatkan diri kepada Allah, ibadat solat adalah manifestasi kesamarataan antara hamba kerana semua wajib menunaikan solat tidak kira status sosial. Oleh itu, persaudaraan dianjurkan Islam didasari takwa, hormat menghormati dan menghargai demi keredaan Allah semata-mata.
Kesempatan Rasulullah menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi tanpa perlu kepada sebarang alat komunikasi yang canggih.

Memadailah seorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga melalui solat. Melalui solat jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya dengan katanya: “Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting pada pandanganku ialah mendirikan solat.
Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai. Sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaik-baiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia telah mensia-siakan urusan lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan, kemelesetan ekonomi dan sebagainya mempunyai sebab musabab yang saling berkaitan. Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam itu kerana lemahnya iman malas beribadat.

Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertemu satu kaum yang memecahkan kepala dengan batu. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka akan mengulangi perbuatan itu.

Rasulullah bertanya kepada Jibril berkenaan golongan itu, lalu dijelaskan mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk bersolat fardu.

Zaman ini penuh cabaran dan ujian. Sesiapa saja boleh terpengaruh melakukan perkara dilarang Allah. Jika dibiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa, akan ada yang sanggup menggadaikan akidah demi mengejar kemewahan dan kesenangan dunia yang sementara.

Jika amal ibadah masih sedikit, maka berusahalah untuk meningkatkannya.

Jika ada salah dan silap, mohonlah keampunan serta bertaubatlah kepada Allah. Muslim wajib menginsafi dan mengambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj untuk menjana persaudaraan unggul sekali gus mengorak langkah memahat sejarah mencipta tamadun diimpikan.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: Berita harian

Rabu, 29 Jun 2011

Ijtihad Ibn al-Jazari

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PERKARA penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.

Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.

Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.

Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.

Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.

Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.

Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.

Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.

Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.

Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.

Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab'ah.

Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani(444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy(591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.

Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.

Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.

Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.

Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: "Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah".

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 25 Jun 2011

Ketegasan nabi kepada kaum kafir

SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan dan jumhur. Sedangkan pendapat Qatadah, ia adalah termasuk surah Madaniyyah. Surah ini terdiri daripada enam ayat dan diturunkan selepas surah al-Ma'un.

Hubungan surah ini dengan surah al-Kauthar

Dalam surah terdahulu, Allah SWT memerintahkan kepada rasul-Nya agar beribadat kepada-Nya, mensyukuri nikmat anugerah-Nya yang banyak dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya. Maka dalam surah ini dijelaskan apa yang ditunjuk surah sebelumnya.

Sebab turunnya surah ini

Diriwayatkan bahawa al-Walid Ibn al-Mughirah, al-'As Ibn Wa'il al-Sahmi, al-Aswad Ibn Abdul Mutallib, Umayyah Ibn Khalaf dan jemaah yang lain daripada tokoh-tokoh Quraisy menemui Nabi SAW seraya berkata: "Wahai Muhammad, ikutilah agama kami, nanti kami akan mengikuti agamamu, kami akan menyertakanmu dalam urusan kami seluruhnya, kamu sembah tuhan kami selama setahun lalu kami pun menyembah tuhanmu selama setahun, sekiranya ajaranmu itu baik, maka kami akan mengikutimu dan kami akan turut sama aktif, sebaliknya jika ajaran yang ada pada kami baik, maka hendaknya engkau mengikuti ajaran kami dan engkau turut sama di dalamnya".

Bagi menghadapi permintaan itu, maka Baginda menjawab: "Aku mohon perlindungan Allah SWT daripada menyekutukan-Nya dengan yang selain-Nya". Lalu Allah SWT menurunkan surah ini untuk menolak ajakan mereka.

Maka pada pagi-paginya Rasulullah SAW pergi ke Masjid al-Haram. Di sana berkumpul pemimpin-pemimpin Quraisy. Lalu Baginda berdiri di hadapan mereka seraya membacakan surah ini sampai selesai.

Ketika itu mereka berputus asa dan mula memusuhi baginda dan para sahabatnya sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah.

Ibn al-Jauzi menyebut pendapat yang lain berkenaan sebab turunnya surah ini:

l Utbah bin Rabi'ah dan Umayyah bin Khalaf bertemu dengan Nabi untuk membincangkan berkenaan dengan tawar menawar dan bertolak ansur di mana masing-masing mengikut agama secara bergilir-gilir, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ubaid bin Umair.

l Orang Quraisy berkata kepada Nabi SAW: Jika kamu suka, supaya kami mengikut agama kamu setahun, dan selepas itu kamu kembali mengikut agama kami setahun pula, lalu turunlah ayat ini. Inilah pendapat Wahab.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-'Uyun menyebut: Allah SWT menurunkan ayat ini dengan perintah "Katakanlah" pada permulaan surah, sama seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas. Ini kerana diturunkan sebagai menjawab pertanyaan orang kafir.

Sayid Qutub berkata: Allah menyeru dengan hakikat diri mereka yang sebenar dan menyifatkan dengan sifat-sifat yang sebenar iaitu mereka bukan berada di atas agama yang benar, mereka bukan orang-orang mukmin dan sebenarnya mereka orang kafir.

Tiada titik pertemuan antara engkau dengan mereka. Ayat ini menerangkan hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu.

Firman Allah SWT: Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

Hanya Allah sahaja yang bersifat Esa. Mungkin persoalan timbul, apakah faedahnya pengulangan ini. Al-Mawardi menjawab dengan dua wajah:

l Ucapan tersebut pada kali yang pertama menggambarkan keadaan dan pada kali yang kedua pula menggambarkan masa akan datang. Inilah pendapat al-Akhfash.

l Yang pertama pada ucapannya aku tidak sembah dan tidak pula kamu memberi makna hal akan datang, sedangkan yang kedua adalah perkhabaran tentangnya dan diri mereka pada masa yang lalu.

Al-Maraghi berkata: Kamu bukanlah penyembah Tuhanku tempat aku berdoa kerana perbezaan sifat-Nya dengan Tuhan yang kamu sembah, maka sekali-kali tidak mungkin dipertemukan antara kedua-duanya.

Setelah baginda menafikan perbezaan pada Tuhan yang disembah, maka baginda pun menafikan persamaan cara penyembahan, kerana mereka menyangka bahawa peribadatan yang mereka lakukan di hadapan penolong-penolong mereka itu, atau di tempat-tempat ibadat yang mereka dirikan, atau tempat-tempat mereka berkhalwat (menyepi) dengan penuh rasa kepercayaan kepada para pemberi syafaat bahawa peribadatan mereka itu murni kerana Allah SWT kerana pada pandangan mereka, Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai apa-apa kelebihan.

Sumber: Utusan Online

Khamis, 23 Jun 2011

Majlis pertunangan atau perkahwinan?

Semanis Kurma: 23 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Majlis pertunangan atau perkahwinan?

Ayat doa untuk kebahagiaan, ketenteraman:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". Surah Yusuf, Ayat 101

dan amalkan baca surah al-Ikhlas x3.

Ayat peringatan dalam berbelanja:

Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. al-Furqan, Ayat 67

Untuk doa-doa semanis kurma yang terdahulu, sila browse kategori Rancangan TV. Tq.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...