Ahad, 7 Ogos 2011

Hayati maksud sebenar tadarus

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 4 Ogos 2011

Pasangan menodai Ramadan

Semanis Kurma: 4 Ogos 2011
Tajuk: Pasangan menodai Ramadan

Ayat doa:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Al-Kahfi, Ayat 10

Rumusan
1. Bawa hati dan jasad dalam beribadah
2. Kembali ke jalan Allah, bertaubat
3. Banyakkan lakukan amal ibadah
4. Usahakan agar hati kembali kepada fitrah, menjadi hati yang sejahtera, mahmudah, qanaah dan ikhlas

Banyakkan berdoa di bulan Ramadan yang padanya terdapat banyak waktu-waktu mustajab.

Rabu, 3 Ogos 2011

Galakkan beribadat di malam hari

Firman Allah SWT yang bermaksud:

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. Al-Muzzammil, Ayat 7

Huraian
Allah SWT memberikan kita masa 24 jam sehari untuk kita bekerja bagi menyara kehidupan dan beribadat kepadaNya. Sungguhpun setiap yang kita lakukan dalam tempoh tersebut dikira sebagai ibadat, terdapat beberapa ibadat khusus yang memerlukan tumpuan yang lebih. Oleh itu Allah SWT menggalakkan kita beribadat di malam hari (qiamullail). Antara ibadat yang digalakkan ialah seperti solat tahajjud, solat hajat, solat tasbih, solat taubat, zikir dan membaca al-Quran.

Ibadat-ibadat khusus tersebut amat sesuai dengan kejadian malam yang penuh ketenangan dan bebas dari hiruk pikuk kesibukan. Pada waktu tersebut, terutama sepertiga malam, kita dapat menunaikan ibadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk. Kita juga dapat bermuhasabah (menilai diri sendiri) dan merenung amal perbuatan kita yang lalu hingga boleh mendatangkan rasa insaf dalam diri kita.

Kesan ibadat malam pada jiwa amatlah besar sekali. Ia memberi kita semangat baru dan motivasi ke arah menjadi insan yang lebih baik lagi. Ia dapat mendidik jiwa dengan sifat-sifat mulia seperti tulus ikhlas, rendah diri dan sebagainya. Ia dapat menjinakkan jiwa daripada bersifat pemarah, degil dan keras hati.

Kesimpulan
Ibadat malam patut dijadikan amalan dalam kehidupan seorang muslim. Jika di siang hari kita sibuk dengan kehidupan dunia, pada malam hari eloklah kita khaskan untuk kehidupan akhirat yang menanti kita dihadapan. Mudah-mudahan ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Sumber: Siri Tafsir, Jakim

Tafsir Ayat: Puasa tingkatkan kualiti kekuatan dalaman, jiwa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan yang bertakwa kepada Allah.

Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah ruah seluas samudera raya.

Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perutnya dan memimpin nafsunya ke arah darjat kesucian dan fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah telah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu ibadat puasa.

Puasa adalah senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang Nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulakan dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Puasa Ramadan adalah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah dan perintah Ilahi yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini bahawa ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa mengenai pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik dan ketika.

Lebih penting dari itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah saja. Puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud ‘beribadat tanpa bekerja’.

Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan.
Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apapun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat, haji dan sebagainya.

Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja yang layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa saja adalah satu-satunya ibadat yang tidak bisa dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah saja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar, dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain sabar itu separuh daripada iman.

Selanjutnya, puasa Ramadan adalah kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian; iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik.

Bulan Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah saja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan menggambarkan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim.

Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

Sumber: Berita Harian

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan tiba lagi

Assalammualaikum,

Alhamdulillah. Ramadhan menjengah kita lagi. Dialah penghulu segala bulan yang penuh keberkatan dan rahmat. Pada bulan yang special ini terdapat ganjaran pahala ibadah yang berganda. ^_^

Kepada semua, saya ingin mengucapkan Selamat berpuasa dan raikanlah Ramadhan dengan ibadah. Semoga senantiasa dilindungi, diredhai dan diberkatiNya. Selamat tadarus al-Quran ye. Semoga selamat sampai ke surah an-Nas. Amin ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...