Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan yang bertakwa kepada Allah.
Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perutnya dan memimpin nafsunya ke arah darjat kesucian dan fitrah.
Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah telah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu ibadat puasa.
Puasa adalah senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang Nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulakan dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.
Puasa Ramadan adalah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah dan perintah Ilahi yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini bahawa ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa mengenai pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik dan ketika.
Lebih penting dari itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah saja. Puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud ‘beribadat tanpa bekerja’.
Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan.
Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apapun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat, haji dan sebagainya.
Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja yang layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa saja adalah satu-satunya ibadat yang tidak bisa dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah saja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”
Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar, dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain sabar itu separuh daripada iman.
Selanjutnya, puasa Ramadan adalah kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian; iaitu:
Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik.
Bulan Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.
Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah saja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan menggambarkan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim.
Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^