Isnin, 6 Jun 2011

Hidup lebih fokus apabila berdamping kitab suci

Oleh Ashraf Muslim

2011/06/06

Menghayati al-Quran bersama tafsirannya buatkan jiwa individu sentiasa disemai dengan ketakwaan

TERINGAT lagi ketika kecil, setiap kali selepas solat Maghrib, ibu akan mengajar saya membaca al-Quran. Ibu adalah ‘guru mengaji’ yang setia mengajarkan kami kalimah Allah bagi memastikan kami adik beradik celik al-Quran.

Walaupun ilmu membaca al-Quran memang sudah disemai di dada sejak kecil tetapi tidak dinafikan dari segi amalan memang ada cacat celanya. Apabila kembali mendekatkan diri dengan al-Quran, saya terasa perbezaannya.
Oleh itu, boleh saya katakan, perubahan yang saya lalui kini ada kaitannya dengan mukjizat al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW. Kesetiaan berdampingan dengan kitab Allah menjadikan saya kini lebih fokus dengan apa yang ingin dilakukan serta dicapai dalam hidup.

Selain menjadikan hati yang resah kembali tenang, wahyu Allah memiliki seribu satu kelebihan dan hanya mereka yang pernah merasai dapat menceritakan kemanisan pengalaman itu. Ini kerana semua mempunyai cerita masing-masing.

Kehidupan saya rasakan lebih mudah selepas berjinak-jinak kembali membaca al-Quran secara istiqamah, sekurang-kurangnya satu halaman sehari. Perancangan harian juga menjadi lebih teratur kerana fikiran lebih fokus.

Justeru, apabila melihat anak muda sekarang seakan menjauhkan diri daripada al-Quran, timbul rasa sedih. Seseorang itu tidak semestinya perlu berubah menjadi alim untuk membaca al-Quran kerana membaca al-Quran sepatutnya sebahagian daripada amalan harian.

Kita kata hendak semua tetapi bagaimana mungkin kita akan mendapat semuanya jika diri serta fikiran tidak fokus. Tetapi cuba dekatkan diri dengan al-Quran, Insya Allah ia akan membuka jalan untuk kita melangkah ke depan. Cubalah.

Saya sendiri tidak pandai membaca al-Quran secara berlagu seperti qari dan qariah hebat yang kita tonton di televisyen dan ilmu tajwid pun masih perlu diasah lagi supaya lebih mantap. Tetapi, kesan daripada amalan itu memang menakjubkan.

Malah, ganjaran yang dijanjikan juga begitu besar. Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)

Pengalaman saya sendiri, ada pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengakui hatinya lebih tenang selepas mengamalkan membaca surah yang diberi sebagai penawar untuk penyakit dihadapinya.

Ada juga mengakui, sebelum ini tidak tahu membaca al-Quran atau tergagap-gagap mengalunkan kalimah Allah tetapi kini sudah boleh membaca dengan lancar. Alangkah indahnya pengalaman serta nikmat diterima mereka.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Allah mengurnia rahmat

SURAH Quraisy mengandungi empat ayat. Ia termasuk dalam surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Tin. Inilah pendapat jumhur ulama.

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut pendapat yang mengatakan surah ini diturunkan di Madinah sebagaimana pendapat al-Dahhak dan Ibn al-Sa'ib.

Hubungan surah ini dengan surah al-Fil

Kedua-dua surah itu mengandungi perbincangan tentang nikmat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada penduduk Mekah. Dalam surah al-Fil dinyatakan tentang musuh Allah SWT yang dibinasakan kerana ingin merobohkan Baitu al-Haram yang menjadi asas ketinggian dan kemuliaan mereka.

Dalam surah Quraisy pula disebutkan nikmat lain iaitu kesatuan dalam urusan dan kekuatan mereka agar mudah mengadakan perjalanan pada musim panas dan musim dingin dalam menjalankan urusan perniagaan dan mendapatkan bahan makanan.

Sehubungan itu, dengan adanya pertalian yang kuat antara kedua-dua surah, Ubay Ibn Ka'ab memandang kedua-duanya sebagai satu surah sehingga diriwayatkan daripadanya bahawa dia tidak memisahkan antara kedua-dua surah tersebut dengan Basmallah.

Firman Allah SWT: Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Al-Mawardi berkata: Perkataan ilaf memberi maksud adat dan tafsiran ayat ini mempunyai empat pendapat:

i. Nikmat-Ku terhadap kaum Quraisy kerana nikmat Allah yang banyak dikurniakan kepada mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Mujahid.

ii. Allah menjadikan golongan Quraisy dalam kebiasaan yang baik, khususnya musafir. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.

iii. Keadaan nikmat orang Quraisy yang dapat menguasai Tanah Haram, di samping mengimarahkan rumah Allah. Inilah makna pendapat al-Hasan.

iv. Ia kembali kepada tradisi orang Quraisy melakukan pelayaran pada musim sejuk dan panas dalam mendapat kemewahan hasil perniagaan. Inilah pendapat Makhul.

Al-Maraghi berkata: Oleh yang demikian, hendaklah orang Quraisy menyembah Tuhannya sebagai tanda bersyukur terhadap nikmat dijadikan-Nya mereka sebagai kaum pedagang yang berkelana jauh ke negeri-negeri yang tidak mempunyai tumbuhan dan binatang ternakan.

Mereka mempunyai dua musim pengembaraan iaitu ke Yaman pada musim dingin untuk mencari minyak wangi dan rempah-rempah yang didatangkan dari negeri-negeri India dan Teluk Parsi ke Yaman dan negeri Syam pada musim panas untuk mencari hasil bumi yang akan dibawa pulang ke negeri mereka yang tidak mempunyai hasil bumi.

Orang Arab selalu menghormati mereka dalam perjalanannya kerana mereka jiran tetangga dan penduduk Tanah Haram-Nya serta para penguasa Kaabah. Disebabkan itu, mereka pergi dan pulang dengan aman dan pulang dengan selamat, tidak ada sebarang gangguan meskipun sering berlaku rampasan dan rompakan di kalangan orang Arab.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Khamis, 2 Jun 2011

Hatiku baran

Semanis Kurma: 2 Jun 2011
Tajuk perbincangan: Hatiku baran

Ayat doa 1


Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar. At-Taubah, Ayat 129

Ayat doa 2


Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman. Al-Baqarah, Ayat 88

Ayat Motivasi



Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. Ali-Imran, Ayat 134-136

Buat apa marah2.. nanti cepat tua.. muka kerut2 kedut2... heheeeeheee

Untuk himpunan doa-doa Semanis Kurma yg terdahulu, sila click category - Rancangan TV

Tafsir Ayat: Pelihara halal, haram dalam pemakanan

ALLAH berfirman maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Islam adalah satu-satunya ad-din diredai Allah yang menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan di akhirat. Malah Islam juga satu agama yang memelihara kehidupan umatnya daripada perkara-perkara yang mudarat dan merosakkan. Oleh sebab itu, Islam mensyariatkan hukum halal dan haramnya dalam setiap aspek kehidupan umatnya.

Justeru, setiap Muslim wajib memelihara setiap perkara yang halal dan haram dalam pemakanannya. Dalam kata lain, setiap Muslim wajib memerhatikan apa yang dimakan supaya tidak termasuk bahan haram yang akhirnya menjadi isi dagingnya. Daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka api nerakalah bahan pembakarnya. Ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap daging badannya yang tumbuh daripada benda yang haram (yang menghilangkan berkat), maka nerakalah yang lebih utama bagi orang itu.” (Hadis riwayat Ahmad & Tirmizi) Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati terhadap pemakanannya agar bersih daripada sumber yang haram. Dari segi hukum menurut perspektif Islam, semua jenis makanan yang ada di atas muka bumi ini adalah halal dimakan kecuali beberapa jenis yang terang-terang diharamkan Allah dan Rasul-Nya. Berdasarkan prinsip ini, sebenarnya makanan halal itu banyak dan wujud dengan meluas di muka bumi. Bagaimanapun, oleh kerana industri makanan dikuasai orang bukan Islam, maka pengeluaran dan pengedaran makanan tidak halal itu melimpah di pasaran dunia dan menenggelamkan makanan halal.

Baca artikel penuh di Berita Harian

Rabu, 1 Jun 2011

Syeikh Mustafa Qari Diraja Mesir

MESIR adalah satu negara yang mempunyai ramai qari yang masyhur. Secara umumnya negara Mesir yang dibuka oleh Amru Ibn al-As ra di zaman Umar Ibn al-Khattab ra adalah tempat pengajian al-Quran yang terulung.

Ramai ulama al-Quran yang menghasilkan penulisan berkaitan Tajwid, Qiraat dari Mesir antaranya; Syeikh al-Mutawalli, Syeikh Ali Dabba', Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi, Syeikh Amir Sayyid Uthman dan lain-lain.

Dalam bidang pengajian al-Quran secara bertarannum pula Mesir mendahului negara Islam. Ramai qarinya yang masyhur dan mampu mempersembahkan bacaan yang menarik dan memukau.

Jika ditanya bagaimana sedapnya suara yang membaca al-Quran ini cukuplah dengan fakta di mana terdapat mereka yang mengucap dua kalimah syahadah selepas mendengar bacaan al-Quran mereka.

Ramai di kalangan qari Mesir mempunyai pakej lengkap. Suara yang merdu, tajwid yang kemas, fasahah yang mantap, memahami makna al-Quran, menghafaz al-Quran dan gaya persembahan yang menarik telah menjadikan bacaan al-Quran mereka terus masuk ke dalam kalbu pendengar.

Salah seorang qari yang menempa namanya di peringkat antarabangsa dan mempunyai suara merdu dan mempunyai legenda tersendiri ialah Syeikh Mustafa Ismail. Beliau dilahirkan pada 17 Jun 1905. Mendapat pendidikan al-Quran daripada ramai guru antaranya; Syeikh AbduRahman Abu al-Aynain, Syeikh Muhammad Hashis dan Syeikh Idris Fakhir. Sebagai makluman kepada qari di Malaysia, Syeikh Mustafa Ismail khatam al-Quran di hadapan gurunya Syeikh Fakhir sebanyak 30 kali.

Gaya bacaan yang dibawa oleh Syeikh Mustafa dan suaranya yang unik menjadikan bacaannya berlainan dengan bacaan qari lain ketika itu. Ketika gurunya, Syeikh Mustafa Murawwaj mendengar bacaannya, beliau terpegun dan berkata itu adalah ilmu berkaitan bacaan al-Quran, suara kamu amat merdu. sejak dari itu, setiap kali bermulanya pengajaran gurunya akan mengarahkannya membaca al-Quran.

Nama Syeikh Mustafa menjadi sebutan di kalangan masyarakat Mesir apabila beliau membaca al-Quran di majlis ma'tam (bacaan al-Quran selepas pengkebumian jenazah).

Beliau menceritakan kisah tersebut berlaku di mana qari utama yang mulakan bacaan al-Quran ialah Syeikh Muhammad Salamah. Ramai pendengar yang menjadi peminat Syeikh Salamah dan mereka akan beredar meninggalkan majlis sejurus selepas tamatnya bacaan Syeikh Salamah.

Sudah menjadi kebiasaan, qari yang membaca al-Quran selepas Syeikh Salamah, pendengarnya hanya kerusi sahaja. Malam pertama, bacaan al-Quran dimulai pada jam 8 malam oleh Syeikh Salamah dan bacaanya berakhir pada pertengahan malam. Sejurus selesai bacaannya, tanpa berlengah Syeikh Mustafa memulakan bacaan di waktu sudah ramai pendengar berlalu meninggalkan majlis.

Apabila mereka mendengar suara Syeikh Mustafa ada yang kembali ke tempat duduk dan ada yang berdiri. Semakin tinggi suara Syeikh Mustafa mengalunkan ayat al-Quran semakin ramai yang datang dan mula memenuhi tempat duduk.

Akhirnya ramai yang datang dan semua tempat duduk dipenuhi. Alunan suaranya yang unik dan kemantapannya membaca al-Quran mampu mengekalkan pendengar berada di tempat duduk sehingga ke jam 4.30 pagi.

Seterusnya, Syeikh Mustafa menjadi qari di Radio Quran Mesir. Surah pertama yang dibaca ialah surah al-Tahrim. Namanya melonjak naik dan menjadi sebutan penduduk Mesir. Setiap Ramadan, dari tahun 1943 hingga tahun 1952, Syeikh Mustafa bersama Syeikh Abu al-Aynayn dijemput membaca al-Quran di hadapan Raja Mesir, King Fuad dan para menterinya. Bacaannya disiar secara langsung melalui Radio Al-Quran Mesir.

Banyak kisah menarik berkaitan qari legenda ini yang telah dibukukan untuk menjadi panduan kepada qari selepasnya. Selepas menjadi khadam kepada al-Quran dan menyebar al-Quran melalui kelunakan suaranya pada tahun 1978, Syeikh Mustafa Ismail kembali menghadap Allah SWT.

Berita kematiannya mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Seorang mufasir terkenal Syeikh Mutawali Sya'rawi telah menyampaikan ucapan sebelum jenazah Syeikh Mustafa Ismail disemadikan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...