SATU ketika, saya berbual dengan seorang rakan yang arif dalam bab
fikah dan amat berminat dengan dunia al-Quran. Saya selalu menjadikan
dia rujukan untuk menyelesai permasalahan fikah dan sebaliknya, dia
selalu bertanya kepada saya tentang qiraat, tajwid dan al-Quran.
Antara soalan yang ditanya ialah siapakah qari yang terbaik
bacaannya? Adakah Syeikh Mahmud Khalil al-Husari, Syeikh Abdul Basit,
Syeikh Jibril?
Soalan itu bersifat umum dan jawapannya boleh diberi dalam pelbagai
bentuk. Jika dibuat sorotan kepada zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri
mempunyai suara yang amat baik.
Al-Bara' Ibnu Azib meriwayatkan dalam satu perjalanan, Rasulullah SAW
bersembahyang Isyak dan membaca dalam satu rakaatnya surah al-Tin.
Al-Bara menyatakan: "Tidak pernah aku mendengar seorang pun mempunyai
suara dan bacaan yang lebih baik daripada baginda." Kehebatan suara
Rasulullah SAW tidak boleh dibanding dengan kelunakan suara yang wujud
pada masa ini. Alunan suaranya menyusuk kalbu dan boleh menarik
seseorang kepada Islam.
Perkara itu berlaku kepada Jubair Ibnu Mut'im. Kisah beliau memeluk Islam ialah kerana mendengar bacaan Rasulullah SAW.
Semasa Jubair sampai di Madinah untuk urusan tertentu, ketika itu
Rasulullah SAW sedang bersembahyang Maghrib dan baginda membaca surah
al-Tur.
Kemerduan suara Rasulullah membuatkan Jubair mengikuti dengan penuh
minat bacaan tersebut. Apabila sampai kepada ayat 35 yang bermaksud: Apakah mereka dicipta tanpa tujuan atau mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
Bacaan yang amat baik, diadun dengan suara yang merdu, dibaca dengan
kefahaman mendalam maksudnya, dibaca dengan hati yang tulus telah
menerjah masuk ke dalam sanubari Jubair sehingga beliau menyatakan demi
Allah hatiku melayang. Sejurus Rasulullah SAW memberi salam, Jubair
mendapatkan baginda dan mengucap dua kalimah syahadah.
Jabir meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana pernah
satu ketika baginda ditanya tentang siapakah yang terbaik suaranya
membaca al-Quran. Baginda menjawab: "Mereka ialah orang yang apabila
kamu mendengar bacaannya, kamu memikirkan ia takut kepada Allah."
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^