Khamis, 17 November 2011

Rasm al-Quran terpelihara

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PENINGGALAN Nabi Muhammad SAW yang paling bernilai kepada umat Islam adalah al-Quran dan sunnahnya. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah membaca satu kitab pun sebelum dibangkitkan menjadi Rasul atau menulis satu kalimah tetapi baginda menggalakkan umatnya mempelajari ilmu tulisan dan bacaan.

Ia sebagaimana tindakan baginda kepada tawanan Perang Badar. Lebih utama lagi adalah membuktikan bahawa al-Quran yang dibawanya bukan ciptaan baginda tetapi diturunkan oleh Allah SWT.

Perkembangan teknologi yang berlaku sepanjang tahun hingga ke hari ini juga memberi kesan kepada Mushaf.

Jika dulu al-Quran ditulis dengan tangan tetapi pada hari ini ia dicetak dengan mesin menggunakan teknologi terkini. Al-Quran juga kini boleh dimuat turun dalam bentuk digital.

Cetakan al-Quran dan al-Quran digital masih lagi menggunakan kaedah tulisan yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.

Penjagaan yang rapi untuk memastikan bacaan al-Quran tidak berubah dan nilai warisan daripada Rasulullah SAW terus terpelihara.

Keunikan rasm al-Quran ini terus terpelihara kerana ulama selalu memberi fatwa dan nasihat kepada umat Islam supaya menjaga nas al-Quran.

Imam Ahmad umpamanya berkata, haram menyalahi khat mushaf Uthman walaupun pada huruf wau, ya, alif dan yang lain.

Imam Baihaqi pula berkata sesiapa yang menulis Quran maka hendaklah menjaga ejaannya yang telah ditulis para sahabat dan jangan menyalahi atau merubah apa yang telah mereka tulis.

Ini kerana sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah orang yang paling banyak ilmu, yang paling betul hati dan lidah, yang paling beramanah berbanding kita maka tidak selayaknyalah kita merasa sangsi untuk mencari kesalahan mereka.

Selain itu, pengekalan rasm al-Quran terus terjaga kerana ia memberi kesan kepada bacaan kitab suci tersebut.

Umpamanya, kalimah rahmat yang ditulis dengan dua bentuk sama ada berakhir dengan ta' marbutah atau ta' maftuhah.

Jika kalimah rahmat ditulis dengan ta' marbutah di akhirnya, ketika wakaf ia dibaca dengan ha dan jika akhirnya ialah ta' maftuhah, ketika wakaf ia dibaca dengan ta.

Segala tanda dalam al-Quran meliputi baris, tasydid, tanda mad (panjang), sukun (mati) dibincangkan ulama terdahulu dengan teliti.

Setiap satunya ditanda dengan ulama bersepakat berdasarkan kepada kejelasan dan hujah.

Umpamanya tanda fathah (baris atas), asalnya adalah alif yang dicondongkan. Tanda dhommah (hadapan) asalnya wau yang dikecilkan dan semuanya itu amat bersesuaian dengan bacaan fathah di mana mulut pembaca akan terbuka dan jika pembaca membaca dhommah mulut si pembaca akan muncung.

Hasil sepakat ulama dan hujah yang kuat ini menjadikan masyarakat Islam seluruh dunia boleh membaca al-Quran tanpa ada kekeliruan.

Namun ada juga setengah pihak yang ingin menandakan al-Quran dengan alamat yang baru.

Walhal mereka tidak menghafaz al-Quran sebagaimana ulama terdahulu, kitab-kitab Dabt dan Rasm tidak pernah mempelajari bahkan tidak ada dalam simpanan mereka sebagai rujukan.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...