PADA setiap kali Ramadan, Global Peace Mission (GPM) Malaysia pasti akan menghantar rombongannya ke Kemboja untuk menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada mereka yang memerlukan.
Berbeza daripada tahun lepas, keperluan yang diutamakan pada tahun ini bukan lagi baju kurung atau baju Melayu. Muqaddam dan al-Quran adalah keperluan mendesak yang didambakan oleh kebanyakan generasi muda yang cintakan agama.
Madrasah-madrasah sekitar Kemboja tidak begitu banyak perubahan sejak awal GPM mula berkunjung ke sana. Meskipun sesetengahnya telah mendapat bantuan pembinaan bangunan baru, keperluan asas pengajian masih tidak mencukupi.
Sememangnya bulan Ramadan yang baru lalu, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan tilawah al-Quran selain menunaikan ibadah-ibadah sunat yang lain. Begitu jugalah harapan masyarakat Islam Kemboja yang dahagakan amalan sebegini khususnya golongan pelajar madrasah.
Namun, kekurangan sumber rujukan seperti muqaddam dan al-Quran membataskan pelaksanaan ibadah itu.
Senaskhah muqaddam terpaksa dikongsi antara empat ke lima orang untuk dibaca.
Al-Quran pula hanya dapat dirujuk ustaz yang mengajar. Sedangkan para pelajar terpaksa membacanya secara hafalan langsung daripada apa yang dibacakan ustaz.
Selain membaca al-Quran, pemahaman atas makna ayat-ayat Kalamullah itu juga amat penting. Ini hanya dapat difahami melalui penerangan makna oleh ustaz dan ustazah yang mengajar.
Keadaan itu amat membimbangkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Sosial Kemboja yang juga Presiden Pembangunan Komuniti Muslim Kemboja (CMCD), Ahmad Yahya yang merasakan keperluan menyediakan naskhah al-Quran dengan terjemahannya dalam bahasa Khmer dan Cham.
Katanya, usaha itu digerakkan selepas mendapat usul peserta seminar Penyatuan Umat Islam demi Pembangunan Nasional yang diadakan pada 15 Februari 2009 di Phnom Penh.
Kewujudan al-Quran terjemahan bukan saja dapat memberi peluang kepada para pelajar mempelajari al-Quran dengan bacaan tajwid yang betul, bahkan dapat memberi faham akan makna di sebalik bait indah yang dibaca.
Tambah Ahmad, usaha terjemahan itu telah mendapat sokongan kerajaan Kuwait dan para penterjemah warga Kemboja yang tamat pengajian di negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Mesir dan Libya. Namun, tiada peruntukan lagi untuk kos percetakan.
Hasrat itu diusahakan sejak dua tahun lalu apabila CMCD menubuhkan satu kumpulan petugas khas dalam usaha merealisasikan impian murni ini.
Semakan demi semakan telah dibuat bagi memastikan terjemahannya menepati makna sebenar selain kesilapan ejaan cuba dielakkan.
Sehingga kini, masih belum terdapat al-Quran terjemahan dalam bahasa Khmer atau Cham diterbitkan oleh mana-mana pihak untuk rujukan umat Islam di Kemboja.
Ini adalah julung-julung kali al-Quran terjemahan dalam bahasa Khmer diterbitkan di Kemboja.
Pada tahun ini, proses suntingan sudah selesai dibuat dan kejayaan projek ini mulai menampakkan hasil. Namun, kekangan dana mengehadkan proses percetakan al-Quran terjemahan ini dengan lebih banyak.
Al-Quran terjemahan bahasa Cham antara lain bertujuan mengembalikan jati diri Melayu orang Kemboja yang berasal dari Champa. Ini dilakukan dengan penggunaan semula karakter tulisan Jawi dalam terjemahan bagi mempopularkan semula bahasa Cham.
Berbekalkan azam yang sama, iaitu ingin melihat lebih ramai umat Islam di Kemboja dapat mempelajari al-Quran dengan pembacaan dan pemahaman yang lebih baik, GPM dengan kerjasama Future Global Network (FGN) telah menubuhkan tabung Projek Percetakan al-Quran terjemahan bahasa Khmer dan Cham bermula Ramadan tahun ini.
Al-Quran terjemahan
Setakat ini, hanya 1,000 naskhah al-Quran terjemahan dapat diterbitkan iaitu 10 peratus daripada sasaran awal penerbitan sebanyak 10,000 naskhah. CMCD memerlukan dana sekurang-kurangnya RM200,000 untuk merealisasi hasrat tersebut.
Serentak dengan itu, GPM dan FGN melancarkan Projek Muqaddam untuk Kemboja melalui penjualan kupon. Sekeping kupon bernilai RM5 dapat menaja senaskhah muqaddam dan dana pendidikan anak-anak di Kemboja.
Justeru, dengan penglibatan masyarakat antarabangsa khususnya umat Islam Malaysia yang prihatin dengan keperluan mereka, percetakan muqaddam dan al-Quran terjemahan itu dapat dipertingkatkan.
Ia sekali gus dapat menambahkan keceriaan para pelajar yang berpeluang belajar dalam keadaan yang lebih selesa apabila masing-masing memiliki senaskhah muqaddam atau al-Quran terjemahan.
Sumbangan yang dikumpulkan pihak GPM dan FGN sebahagiannya diserahkan semasa lawatan kerja pada 10 hingga 12 Ogos lalu. Ia untuk membayar kos percetakan yang dibuat di Kemboja.
Hasilnya sejumlah 10,000 naskhah muqaddam telah dan sedang diedarkan di beberapa madrasah seperti di daerah Kendal, Kg Cham dan Kampot.
Rombongan GPM dan FGN dapat menyaksikan sendiri kegembiraan anak-anak kecil apabila setiap daripada mereka menerima senaskhah muqaddam.
Muqaddam sebagai asas pengenalan huruf-huruf al-Quran adalah sumber rujukan ilmu yang penting bagi kanak-kanak komuniti Islam di Kemboja.
Hasrat membaca al-Quran dengan baik terbuku kuat di hati mereka yang berharap dapat menguasai pembacaan muqaddam dengan betul.
Rakan kerjasama GPM dan FGN di Kemboja iaitu Kesatuan Intelektual Muslim Kemboja (CMIA) adalah pelaksana bagi projek-projek yang dianjurkan GPM.
CMIA sebagai badan tempatan lebih mengetahui keperluan semasa dan dapat mengatur strategi pengagihan bantuan dengan lebih efektif berbanding badan-badan luar yang kurang arif tentang situasi sebenar yang berlaku.
GPM memandang tinggi usaha ini dalam proses membangun generasi muda demi memartabat kehidupan umat Islam di Kemboja. Usaha ini dilihat bukan persis memberikan ikan semata-mata tetapi lebih kepada mengajar mereka cara untuk memancing.
Umum mengetahui bahawa Kemboja merupakan negara pilihan kebanyakan organisasi antarabangsa dalam menyalurkan sumbangan kebajikan kepada umat Islam di sana.
Namun, lambakan itu tidak bermakna keperluan mereka sudah mencukupi.
Pengalaman GPM sendiri dalam menganjurkan pelbagai projek dan misi kemanusiaan ke Kemboja, GPM belum pernah menemui mana-mana organisasi yang menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran yang sama dalam projek dan misi mereka.
Ini membuktikan betapa ramainya umat Islam di Kemboja yang masih hidup serba kekurangan.
Sehubungan itu, GPM merayu umat Islam di Malaysia untuk terus menyumbang bagi menampung keperluan muqaddam dan al-Quran terjemahan di Kemboja.
Sumbangan boleh dibuat secara tunai, cek atau pindahan atas talian ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12-113-01-003041-2 atas nama Future Global Network Foundation atau hubungi 03-61877020 dan www.futureglobalnetwork.com untuk keterangan lanjut.
GPM dan FGN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah dan akan menginfak sebahagian hartanya untuk kepentingan umat Islam yang sangat memerlukan.
Semoga amalan dalam bulan yang penuh keberkatan ini diberi ganjaran berlipat kali ganda.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^