Rabu, 19 Oktober 2011
Perkembangan ilmu tajwid
MENURUT Imam Ibn al-Jazari hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu ain. Bermakna setiap muslim yang mukalaf mesti memahami hukum asas dalam ilmu tajwid untuk membaca al-Quran dengan sebutan yang tepat.
Hasil daripada penjagaan hukum tajwid ialah al-Quran akan terus dibaca dengan bacaan yang tepat, keunggulan kalam Allah akan terpancar, mukjizat al-Quran terus terpahat dalam sanubari umat Islam.
Persoalannya, bilakah ilmu tajwid ini berkembang sehingga sempurna seperti pada hari ini dan adakah umat Islam terdahulu mengetahui semua istilah seperti izhar, idgham, mad wajib, mad jaiz dan lain-lain?
Kajian ulama mendapati ilmu tajwid mula sempurna adalah sekitar kurun 4 hijrah. Namun sebelum itu telah wujud hasil penulisan yang ditulis dalam bentuk bersama dengan ilmu Ulum al-Quran atau ditulis dengan menghurai bab-bab tertentu sahaja seperti bab makhraj huruf.
Merujuk kepada huraian Ali Ibn Abi Talib r.a tentang maksud tartil adalah mengelok sebutan huruf dan mengetahui wakaf. Ini mempengaruhi ulama terdahulu dalam penulisan ilmu tajwid dengan mereka menekankan bab makhraj huruf dan sifatnya.
Asas utama dalam ilmu tajwid ialah makhraj huruf dan sifatnya. Jika mendalaminya dengan baik daripada guru yang mahir tentang makhraj huruf dan sifatnya akan menghasilkan bacaan al-Quran yang tepat.
Berlainan dengan sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang melebihkan hukum nun sakinah sama ada izhar, idgham atau hukum mad wajib dan mad jaiz dengan mengabaikan kaedah sebutan huruf dan mendalami sifat huruf. Dan amat sedikit yang mahir dalam bab wakaf (berhenti) dan ibtida' (memulakan bacaan).
Perintis penulisan ilmu tajwid bermula pada kurun 4 hijrah yang ditulis oleh Abi Muzahim al-Khaqani (meninggal pada tahun 325 hijrah). Penulisannya yang dinamakan Qasidah Ra'iyyah itu mengandungi 51 rangkap syair dan membicarakan beberapa tajuk dalam ilmu tajwid.
Qasidah Ra'iyyah menjadi pengaruh kepada penulisan ilmu tajwid pada zaman selepasnya dengan ramai ulama yang menaqalkan pendapatnya dalam penulisan mereka, menghurai dengan metod yang lebih mudah atau mengkritik pendapatnya.
Menariknya, Abi Muzahim tidak menggunakan istilah tajwid dalam kitabnya itu tetapi menggunakan kalimah Husnu al-Ada'.
Menurut Dr. Ghanim Qadduri, faktor kenapa tidak digunakan istilah tajwid adalah kerana istilah tersebut tidak masyhur ketika itu dan hanya sebahagian ulama sahaja yang menggunakannya.
Pada kurun berikutnya penulisan tajwid makin berkembang dan kesinambungan ini dilakukan beberapa ulama terkenal seperti Makki Ibn Abi Talib al-Qisi (meninggal pada tahun 437 hijrah) kitabnya adalah al-Ri'ayah, Abu Amru al-Dani (meninggal pada tahun 444 hijrah) kitabnya adalah al-Tajwid Fi al-Itqan wa al-Tajwid, Abdul Wahab al-Qurtubi (meninggal pada tahun 462 hijrah) yang mengarang kitab al-Muwaddah fi al-Tajwid.
Dr. Ghanim Qadduri telah mengkaji secara teliti penulisan dalam ilmu tajwid yang meliputi kitab atau risalah dan sama ada dicetak atau masih manuskrip.
Beliau menyusun mengikut urutan tahun sehingga kurun 13 hijrah mendapati lebih dari 100 karya yang dihasilkan ulama.
Sumber: Utusan Malaysia
Imbang ilmu dunia, akhirat
MELAHIRKAN masyarakat yang berpegang kepada al-Quran melalui pembudayaan ilmu antara agenda utama membawa kepada penubuhan Institut al-Quran (IQ) Terengganu kira-kira 27 tahun lalu.
Bermula sebagai Maahad Tahfiz al-Quran (MTAQ) pada 1984 dengan hanya 15 pelajar yang dibimbing lima tenaga pengajar, ia berkembang dan menjadi pilihan utama rakyat Darul Iman yang mahu mendalami al-Quran sebelum dinaikkan taraf kepada IQ Terengganu pada 2 Januari 2007.Antara tokoh pernah berkhidmat di pusat pengajian ini ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang menjadi pengasas dan pengetua pertama MTAQ dari 1984 hingga 1993.
Pengarahnya, Dr Ahmad Bazli Shafie, berkata kenaikan taraf MTAQ kepada IQ menunjukkan kerajaan negeri Terengganu memberikan sokongan padu kepada usaha murni pusat pengajian itu bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran.
Baca artikel penuh di myMetro
Al-Quran dalam telefon bimbit hukumnya harus
Fikrah Dr Salam - Harian Metro
SAYA ada kemusykilan mengenai aplikasi al-Quran di dalam telefon bimbit. Saya baru menggunakan telefon bimbit Samsung Galaxy dan ada memuat turun aplikasi al-Quran dari perisian Andriod Market.
Aplikasi al-Quran itu percuma. Adakah menjadi kesalahan jika saya meletak telefon saya di dalam poket seluar dan sering membawa telefon berkenaan ke dalam tandas?
Selangor
HUKUMNYA adalah harus untuk mempunyai telefon bimbit yang mempunyai aplikasi al-Quran.
Bagi menjaga kesucian al-Quran, aplikasi al-Quran tidak dibuka ketika berada di tempat kotor seperti tandas.
Membawa telefon berkenaan bersama-sama ke dalam tandas dibenarkan apabila ia tidak dibuka atau diakses ketika itu. Ini kerana aplikasi al-Quran dikira tidak wujud ketika masa itu.
Kita boleh ibaratkan ia seperti seorang hafiz memasuki tandas, tidak menjadi kesalahan asalkan dia tidak membaca al-Quran dalam tandas kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kesucian al-Quran.
Khamis, 6 Oktober 2011
TD johan keseluruhan tilawah ATM
PERDANA Menteri Britain pada abad ke 18, William Gladstone pernah berkata: "Selagi kaum Muslimin masih memegang al-Quran di tangan mereka, maka Eropah tidak akan mampu mengembangkan kekuasaannya di negeri-negeri Timur."
Hujah yang penuh makna tersirat itu menunjukkan betapa kentalnya semangat orang barat untuk menguasai negara timur yang dimiliki oleh majoriti umat Islam.
Pengakuan itu juga membuktikan bahawa kehebatan dan keagungan al-Quran sebagai pelindung bagi umat Islam yang benar-benar menghayati serta mengamalkan ayat suci kalamullah.
Al-Quran merupakan wahyu yang juga mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat. Ia dijadikan sebagai pegangan dan petunjuk hidup umat manusia ke jalan kebenaran.
Firman Allah yang bermaksud: Diturunkan kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan pada isinya dan menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)
Sifat al-Quran yang menyeluruh sekali gus menyempurnakan segala kitab yang diturunkan oleh Allah kepada rasul yang sebelumnya iaitu Taurat kepada Nabi Musa, Zabur kepada Nabi Daud dan Injil kepada Nabi Isa.
Keistimewaan dan keajaiban al-Quran tidak dapat diukur dengan logik akal fikiran. Oleh itu, penghayatan al-Quran amat penting kepada setiap muslim bagi membawa hidup ke arah yang lebih syumul (sempurna).
Tidak ketinggalan mengambil peluang memartabatkan al-Quran adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sekali lagi menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat ATM kali ke-62 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Baca artikel penuh di Utusan Malaysia
Pertubuhan IRM rai pelajar tahfiz, anak yatim
Pun begitu, umat Islam diperintahkan Allah agar sentiasa terdorong dan gemar berbuat baik serta mengasihi semua orang tanpa mengira keturunan, agama, darjat, kebudayaan dan warna kulit.
Tambahan pula, Islam menghendaki semua manusia hidup bersatu padu, penuh keakraban dan dalam suasana aman harmoni. Dengan perkataan lain, Islam sangat membenci kacau bilau, perpecahan, perbalahan dan pertumpahan darah sesama manusia.
Islam menyeru umatnya mengambil berat, memberi perhatian, berbuat baik, menyayangi dan prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik yang memerlukan pembelaan demi menjalani kehidupan lebih bermakna.
Ia seperti mana firman Allah yang bermaksud: Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin serta berbicara dengan kata yang baik. (al-Baqarah: 83).
Mereka yang berkelakuan baik terhadap golongan ini terhindar daripada sifat sombong dan mementingkan diri serta dipandang mulia oleh Allah seperti sabda Rasulullah bermaksud: "Berlaku rendah hati, duduklah bersama orang miskin, nescaya kalian menjadi pembesar Allah dan keluar daripada sifat sombong." Islam tidak menghendaki umat membeza golongan berada dengan fakir miskin.
Sabda baginda yang bermaksud: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pesta (jamuan) yang mengundang orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang fakir. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca artikel penuh di Utusan Malaysia