Rabu, 24 Ogos 2011

Qiraat Syazah

MELENGKAPKAN lagi maklumat berkaitan Qiraat, perlu disempurnakan dengan maklumat berkaitan Qiraat Syazah. Jika memerhati dengan teliti penyusunan Qiraat Mutawatirah yang dibuat oleh ulama kelihatan bagaimana cantiknya kaedah yang dikemukakan termasuk susunan imam, susunan bab dalam usul dan farsy.

Susunan Qiraat Mutawatirah sepuluh Qiraat dimulai dengan tujuh Qurra iaitu Nafe' al-Madani, Ibn Kathir al-Makki, Abu Amru al-Basri, Ibn 'Amir al-Dimaysqi, 'Asim, Hamzah dan al-Kisai. Ditambah dengan tiga Qurra lagi iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir.

Setiap imam yang dikemukakan ini mempunyai dua perawi dan ittifaq di kalangan ulama ia adalah Qiraat mutawatirah.

Menurut al-Zarqani, empat Qurra yang dimaksudkan ialah Hasan al-Basri meninggal pada tahun 110 hijrah, Ibn Muhaisin meninggal pada tahun 123 hijrah, Yahya al-Yazidi meninggal pada tahun 202 hijrah dan Syanabuzi meninggal pada tahun 328 hijrah.

Ciri-ciri Qiraat Syazah menyalahi rasm uthmani walaupun menepati bahasa arab dan sanadnya sahih. Apabila sesuatu qiraat tidak memenuhi tiga rukun qiraat ia dinamakan Qiraat Syazah meskipun qiraat tersebut datangnya daripada Abu Darda', Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Mas'ud dan sahabat ra yang lain.

Qiraat Syazah yang tidak menepati rasm uthmani hukumnya tidak sah dibaca dalam sembahyang. Imam Abu Umar Ibn Abdul al-Bar melalui kitabnya Tamhid menyatakan telah berkata Imam Malik barang siapa membaca dalam solatnya qiraat Ibn Mas'ud atau qiraat lain di kalangan sahabat yang menyalahi mushaf maka tidak boleh sembahyang di belakangnya.

Dalam sejarah perkembangan Qiraat, berlaku kisah yang masyhur berkaitan penguatkuasaan membaca Qiraat mengikuti Mushaf Uthmani. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 323 hijrah antara Imam Ibn Syanbuz dengan Imam Ibn Mujahid.

Ibn Syanbuz ialah seorang yang alim dalam ilmu qiraat mempunyai guru yang ramai antaranya Ibrahim al-Harbi, Ahmad Ibn Ibrahim Waraq Khlaf, Ahmad ibn Basyar. Beliau banyak merantau ke kota Islam untuk mendalami ilmu qiraat.

Ibn Syanbuz beramal dengan qiraat yang tidak menepati Mushaf Uthmani. Pandanganya mendapat reaksi dari pemerintah ketika itu Abi Ali Ibn Muqlah. Beliau telah memanggil Ibn Syanbuz untuk dibicarakan dan majlis tersebut dihadiri Imam Ibn Mujahid, sekumpulan Qadhi dan ulamak.

Apabila beliau mengakui bacaannya yang menyalahi Mushaf Uthmani, beliau diminta bertaubat dan menarik balik pandangannya itu. Namun beliau berkeras dengan pandangannya sehingga dijatuhi hukuman rotan sebanyak 10 kali. Akhirnya beliau menarik balik pandangannya itu.

Walaupun begitu, ramai ulama yang memuji kealiman Ibn Syanbuz, antaranya, Abi Tahir Ibn Abi Hasyim yang ditanya manakah yang lebih afdal antara Ibn Mujahid dengan Ibn Syanbuz. Beliau menjawab: "Adapun Abu Bakar Ibn Mujahid akalnya mengatasi ilmunya dan Ibn Syanbuz pula ilmunya mengatasi akalnya".

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 18 Ogos 2011

Fahami peristiwa penurunan al-Quran

BULAN Ramadan melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Selain pensyariatan puasa, peristiwa lain yang ditulis dengan tinta emas adalah kemenangan Islam dalam Badar Kubra, pembukaan Kota Mekah, pertempuran Ain Jalut, Yom Kippur, intifadhah Palestin dan sebagainya.

Namun, peristiwa penting terbesar adalah penurunan al-Quran atau Nuzul al-Quran yang disambut oleh kita pada hari semalam.

Penurunan mukjizat ini dirakamkan dalam al-Quran dalam firman-Nya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara benar dengan salah). (al-Baqarah: 185)

Ayat ini jelas menunjukkan al-Quran sebagai suatu dokumen rujukan dan cahaya petunjuk kepada semua manusia. Pedoman melahirkan individu atau masyarakat Islam tulen juga terkandung dalam al-Quran.

Malah, penurunannya juga adalah suatu bukti kewujudan Allah SWT serta kerasulan Muhammad SAW dengan apa yang dibawanya.

Menurut Jalaluddin al-Suyuti, al-Quran diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus.

Penurunan sekaligus ini berlaku pada malam al-Qadar di bulan Ramadan yang dirakam dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Penurunan peringkat kedua pula daripada Baitul Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dalam tempoh lebih kurang 23 tahun.

Bermula daripada saat Baginda SAW diangkat sebagai rasul, ayat al-Quran mula diturunkan hinggalah berakhir sebelum kewafatannya iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Sifat penurunan al-Quran begini ini adalah suatu hikmah yang besar kepada umat Islam terdahulu.

Penurunan al-Quran secara beransur-ansur adalah mengikut persediaan Rasulullah SAW sendiri, keperluan situasi zaman dan menjawab persoalan semasa.

Kadang-kadang ayat diturunkan berdasarkan sesuatu masalah, menjawab pertanyaan Sahabat atau hasil sebab peristiwa yang berlaku dan kadang-kadang merupakan suatu perintah dalam sesuatu amalan syariat.

Sifat penurunan begini memberi banyak hikmahnya. Ia memudahkan Rasulullah SAW serta para Sahabat memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran al-Quran. Malah, adat jahiliah dan pengamalan bukan secara Islam juga dapat dibuang sedikit demi sedikit tanpa menimbulkan kejutan kepada masyarakat awal Islam.

Selain itu, kategori penurunan ayat-ayat juga melambangkan kemukjizatan al-Quran. Ini terserlah melalui penurunan kategori ayat sebelum hijrah dan selepasnya.

Ayat yang diturunkan sebelum hijrah disebutkan Makkiyah biasanya melibatkan ayat-ayat pembinaan akidah, akhlak di samping keterangan tentang sifat-sifat ketuhanan dan keesaan Allah SWT.

Kategori ayat ini berlainan dengan fasa selepas hijrah yang disebutkan ayat-ayat Madaniyah. Ayat dalam kategori kedua ini memberi perhatian kepada jihad, cara amal ibadat, hukum-hakam dan proses pengisian individu dan masyarakat Islam.

Proses penurunan al-Quran ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan malam al-Qadar, bulan Ramadan dan ibadat puasa seperti yang dinyatakan di atas.

Secara umum, ia mengandungi makna simbolik tentang kelebihannya dan kemuliaan al-Quran yang Allah SWT kurniakan pada kita.

Oleh itu, kita sebagai umat akhir zaman yang masih boleh menatap al-Quran sebelum kita dimatikan atau sebelum al-Quran diangkat ke langit hendaklah mengambil beberapa langkah perubahan.

Sumber: Utusan Malaysia

Sheikh Abdul Basit qari tersohor

TOKOH seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

Anak kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer.

Bakat dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf, waqf ibtida dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama al-Quran.

Bagi melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid, qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah.

Semasa talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di kampungnya.

Banyak pihak meminta Syeikh Abdul Basit membaca al-Quran dalam majlis. Namanya melonjak naik di kalangan masyarakat dan terkenal dengan cepat.

Pada tahun 1950, Sheikh Abdul Basit menghadiri satu majlis di Kaherah yang dihadiri Qurra terkenal seperti Sheikh Abdul Fattah Sha'sha', Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Azeem Zahir di Masjid Sayyidah Nafesah.

Kesemua Qurra ini adalah idola Sheikh Abdul Basit. Setelah beberapa ketika, saudaranya meminta penganjur memberi masa 10 minit kepada Sheikh Abdul Basit memperdengarkan bacaannya.

Ruang solat di Masjid Sayyidah Nafesah penuh sesak dengan pendengar yang setia menunggu bacaan qari yang terkenal. Selepas mendapat keizinan, Sheikh Abdul Basit mula mengalunkan bacaan surah al-Ahzab dengan suaranya yang lunak dan menarik.

Minit-minit awalnya, seluruh pendengar senyap sunyi dengan memberi perhatian kepada bacaannya. Beberapa ketika, kesunyian bertukar dengar laungan takbir dan doa untuk beliau.

Masa yang diberi kepadanya yang pada awalnya 10 minit dilanjutkan.

Ekoran itu, nama Sheikh Abdul Basit terkenal di Mesir. Kehebatan suaranya membaca al-Quran mendapat tawaran Radio Mesir melalui keizinan guru al-Quran terkenal ketika itu Sheikh Ali Dabba'. Pengaruhnya amat kuat, sehingga diceritakan ramai yang mula membeli radio semata-mata hendak mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit.

Sheikh Abdul Basit menjadi qari rasmi di Masjid Imam Syafie selama 15 tahun. Kemudian berpindah ke Masjid Husein ekoran kematian qarinya Sheikh Mahmud Ali al-Banna.

Beliau bertugas di Masjid Husein selama tiga tahun dan bacaan terakhirnya adalah pada 18 November 1988.

Antara jutaan peminatnya adalah Sheikh Mahmud Sayyid Tantawi iaitu bekas Sheikh al-Azhar.

Menceritakan hubungan dan kekagumannya terhadap Sheikh Abdul Basit, Tantawi berkata: "Semasa saya masih lagi pelajar, saya selalu bersama radio pada hari sabtu untuk mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit. Dan hari tersebut dianggap sebagai 'hari raya' bagi kami.

"Kemudian Allah SWT mentakdirkan kami menjadi sahabat dan beliau seorang yang mempunyai banyak maklumat. Secara jelasnya beliau guru yang hebat dalam tajwid dan makhraj, raut wajahnya ceria, suka kepada kebajikan dan memiliki karakter yang menarik."

Selepas menjadi khadam al-Quran dan berkhidmat untuknya, Sheikh Abdul Basit meninggal dunia pada 30 November 1988 pada usia 62 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

Nilai al-Quran Braille kepada OKU

Mereka tidak ada deria melihat, tetapi mereka ada deria sentuhan. Pandangan mereka gelap gelita. Keindahan alam ciptaan Allah tidak dapat dinikmati sebagaimana manusia lain.

Walaupun kekurangan salah satu nikmat terbesar itu, namun kewajipan mentaati perintah dan meninggalkan larangan Allah tetap sama seperti hamba yang lain, tidak ada apa yang membezakan mahu pun dikecualikan melaksanakan tugas itu.

Sebagaimana dikisahkan tentang seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibnu Makhtum. Beliau seorang buta dan tiada orang yang boleh menemaninya ke masjid. Namun, kewajipan solat jemaah di masjid tetap difardukan ke atasnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Seorang lelaki buta datang kepada nabi Muhammad SAW lalu berkata: ''Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mempunyai orang yang akan memimpinku ke masjid." Lelaki itu meminta Rasulullah memberi keringanan kepadanya supaya dia boleh melakukan solat di rumahnya. Maka baginda memberikan keringanan. Ketika lelaki buta itu mahu beredar pulang, nabi memanggilnya dan berkata: "Apakah kamu mendengar azan?" Lelaki itu menjawab: "Ya". Jawab baginda SAW: "Maka wajib kamu pergi solat jemaah di masjid".

Kisah di atas menunjukkan betapa setiap tuntutan Allah SWT harus dilaksanakan selagi mampu walau mempunyai kecacatan dan kekurangan diri. Apatah lagi kewajipan menunaikan rukun Islam yang lima itu. Tidak terkecuali kewajipan membaca al-Quran yang merupakan salah satu tuntutan fardu ain.

Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Faatir: 32)

Mengikut logik akal, adalah mustahil bagi orang buta membaca al-Quran. Sebabnya, mereka tidak mampu melihat keindahan ayat-ayat suci itu, kesenian huruf-hurufnya apatah lagi memahami isi kandungannya.

Namun, ia tidak bermakna mereka tidak boleh mendengar ayat-ayat suci itu. Sama ada diperdengarkan oleh individu normal atau melalui pemain kaset atau cakera padat (CD) hasil kepesatan teknologi terkini.

Kecanggihan teknologi juga kini memungkinkan orang buta membaca al-Quran Braille yang diciptakan khas untuk golongan itu.

Melalui sistem tulisan titik-titik timbul itu, kini masyarakat Islam cacat penglihatan mendapat manfaat daripadanya. Ramai antara mereka sudah mampu mempelajari al-Quran secara sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Bagaimanapun, impian membaca al-Quran Braille itu hanya dicapai oleh mereka yang mampu. Ini kerana kitab edisi itu memandangkan kos senaskhah mencecah RM240.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Braille Malaysia, Datuk Mah Hassan Omar yang mendedahkan kira-kira 13,000 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan beragama Islam negara ini memerlukan senaskhah al-Quran dalam tulisan itu bagi memudahkan mereka membaca dan mempelajari kitab suci itu.

Katanya, kesukaran mendapatkan teks al-Quran Braille di tempat-tempat awam seperti masjid serta kekangan kewangan menjadi punca masih ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

Katanya, hanya 536 naskhah al-Quran edisi itu diterbitkan sejak tahun 2006 apabila sistem percetakan secara mesin taip ditukarkan kepada sistem pengkomputeran. Ia bagi memendekkan tempoh menyiapkan senaskhah daripada setahun kepada lima jam sahaja.

"Harga senaskhah al-Quran berharga RM240, jadi ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

"Oleh itu, kita berharap dapat memberikan teks al-Quran Braille ini secara percuma kepada mereka sekurang-kurangnya senaskhah bagi setiap keluarga atau diletakkan setiap satu di semua masjid seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan kali pertama, di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mah Hassan yang buta sejak umur lima tahun itu berkata, ramai di kalangan golongan itu berkeinginan dan berminat mendalami ilmu al-Quran termasuk ilmu-ilmu keagamaan dan lapangan ilmu kehidupan supaya mereka tidak terpinggir dengan masyarakat normal.

Katanya, isu tersebut menjadi cabaran kepada kerajaan, pihak swasta dan masyarakat seluruhnya untuk memikirkan kedudukan mereka seterusnya membantu golongan istimewa itu mendapatkan ilmu secukupnya.

"Kita perlu sediakan program bersepadu kepada golongan ini supaya mereka dapat pelajaran yang betul agar tidak terdedah dengan anasir negatif dengan adanya ilmu dan bimbingan secukupnya kepada mereka.

"Jika impian ini tercapai termasuk menyediakan sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran untuk setiap masjid dengan peruntukan dana sebanyak RM50,000 atau RM2.4 juta untuk membolehkan setiap keluarga golongan ini memilikinya, Malaysia akan menjadi contoh kepada negara luar apabila menyediakan akses secukupnya untuk mereka mempelajari al-Quran," kata peguam buta pertama negara itu.

Bagaimanapun, usaha memartabatkan golongan OKU penglihatan ini membaca al-Quran dengan baik diperhebatkan melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Braille yang julung kali diadakan tahun ini.

Seramai lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang diadili sama seperti peserta tilawah normal lain. Mereka diuji dari segi suara, tarannum, tajwid dan fasahah.

Lapan peserta istimewa itu ialah Muhammad Taufik Azman daripada Johor, Nur Liyana Wahab (Johor); Muhammad Qayyim Nizar Sarim (Kelantan), Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini (Johor); Rasida Mohamed Zali (Kuala Lumpur); Nor Hidayah Mohd Yusof (Johor); Faiq Adnan (Kedah) dan seorang peserta saudara baru, Muhammad Adam Lee Abdullah (Kuala Lumpur).

Kemerduan suara dan kelancaran bacaan surah al-Anfal secara tarannum dan bertajwid oleh Muhammad Qayyim telah menambat hati barisan juri sekali gus dinobatkan juara pertama pertandingan tilawah itu.

Walaupun baru mencecah usia 13 tahun, ternyata kecacatan penglihatan sejak lahir tidak menghalang beliau mempelajari al-Quran dengan baik.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim menyaksikan Nor Hidayah diumumkan naib johan manakala Faiq di tempat ketiga.

Kejayaan membanggakan para peserta itu membuktikan bahawa al-Quran Braille mampu memberi kemudahan kepada golongan istimewa itu untuk mendapat ilmu dunia mahu pun akhirat.

Cuma, mereka tidak harus berasa terpinggir atau kecewa dengan kekurangan itu. Ini kerana Allah SWT meletakkan mereka pada kedudukan istimewa di samping ganjaran pahala berlipat ganda jika mereka ikhlas mengabdikan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Sebagaimana kisah Abdullah ibnu Makhtum yang diceritakan tadi, apabila Rasulullah SAW ditegur oleh Allah melalui surah 'Abasa sepanjang 16 ayat kerana tidak mempedulikan pertanyaan Abdullah ketika baginda SAW mengadakan dialog dengan para pemimpin Quraisy.

Diceritakan ketika itu baginda SAW bertatap muka dengan pemimpin-pemimpin Quraisy bernama 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, 'Amr bin Hisyam alias Abu Jahl, Umayyah bin Khalaf dan Walid bin Mughirah, ayah saifullah Khalid bin walid.

Rasulullah berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Baginda amat berharap pemimpin Quraisy itu menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat baginda SAW.

Sementara baginda SAW berunding dengan bersungguh-sungguh, tiba-tiba Abdullah ibnu Makhtum datang mengganggu minta dibacakan kepadanya ayat-ayat al-Quran.

Kata Abdullah: "Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepada Anda!" Rasul yang mulia terlengah mempedulikan permintaan Abdullah.

Lalu beliau membelakangi Abdullah dan melanjutkan perbicaraan dengan pemimpin Quraisy. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, Islam tambah kuat dan dakwah bertambah lancar.

Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah bermaksud hendak pulang. Tetapi tiba-tiba penglihatan baginda SAW menjadi gelap dan kepala beliau terasa sakit seperti kena pukul.

Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana seorang buta datang kepadanya, Tahukah kamu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau mereka tidak membersihkan diri (beriman). Adapun orang yang datang kepadamu dengan bergegas (untuk mendapatkan pengajaran), sedangkan ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sesungguhnya ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka siapa yang menghendaki tentulah ia memerhatikannya. (Ajaran-ajaran itu) terdapat di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para utusan yang mulia lagi (sentiasa) berbakti. ('Abasa: 1 - 16).

Sejak itu, Rasulullah SAW tidak lupa memberi tempat yang mulia kepada Abdullah apabila dia datang. Bahkan baginda SAW mempersilakan beliau duduk di tempat duduk baginda, bertanyakan khabar beliau dan sentiasa memenuhi permintaan beliau.

Begitu juga dengan saudara sesama Islam lain yang memiliki segala kesempurnaan menikmati hidup di dunia ini.

Hulurkan bantuan kepada mereka. Mudah-mudahan dengan secebis bantuan dapat meringankan beban untuk mereka menjalani kehidupan dan ibadah kepada yang Esa.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 16 Ogos 2011

Selamat meraikan Nuzul al-Quran

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan Nuzul al-Quran. Rasanya ramai yg tgh tadarus al-Quran bulan ini dan semestinya malam ini akan terasa lebih excited. Malam turunnya B.F.F (best friend forever) kita semua. Allahuakbar.

Mlm ini nak note skit tentang membaca/khatam Al-Quran di bulan Ramadan.

Bila kita observe sekeliling kita, ada kawan-kawan yang malu nak baca al-Quran kerana bulan2 lain dia tak baca. Ada yang marathon baca bulan nih sungguh-sungguh, tapi lepas tu tak sambung baca sampai ramadan tahun depan. Ada pulak yang perli2 kata ko ni main baca je tapi tak paham. Adoi.. janganlah perli2.. Hidayah itukan milik Allah.

Pendapat saya, galakan perlu diberikan supaya orang ramai membaca al-Quran pada bulan ini kerana ganjaran pahala bacaannya yang berlipat ganda. Tentang pemahaman dan penghayatan pula, bukanlah nak diketepikan tetapi ianya bukanlah sesuatu yang boleh dispeeding2 dan bukan boleh ditafsir suka-suka sorang-sorang. Ustaz2 pun ramai tak available bulan nih nak ajar tafsiran pasai depa pun busy nak khatam al-Quran dan tarawih.

Makanya, since Ramadan hanya sebulan, silakan tadarus khatam pada bulan ini dengan disertai niat untuk memahami dan menghayati pada bulan-bulan yang akan datang. Niat dipermudahkan dan istiqamah.

Percayalah, al-Quran ini walaupun kita takdan nak baca sekali terjemahannya, mukjizatnya akan membawa hati kita kepada ketenangan. Alunan bacaan al-Quran merupakan satu terapi jiwa. Kadang-kadang kita dengar saja orang mengaji, hati kita jadi sebak. Adakah masa itu kita ada terjemahannya? Most of the time mmg tak ada, dan kita taktau pun ayat surah apa yang tgh dibaca. Tapi hati akan tersentuh, hati akan tersenyum, hiba, sebak.. macam-macam perasaan timbul. Kalamullah akan membawa hati kita ingat padaNya, pada rahmatNya, pada peringatanNya, kasih sayangNya dan macam2 lagi. Magik kan?..

Haa.. Itulah dia, mukjizat dicombo dengan hidayah Allah dan hati kita yang terbuka menyambut fitrah. Al-Quranlah BFF kita yang paling hebat, BFF yang ini saja yang sudi nak teman kita dalam kubur (amalkan baca surah al-Mulk). Kawan2 lain mana ada yang sudi nak teman kita; depa pun pandai nak kata.. "I have my own tanah lot.."

So kawan2.. jangan malu jangan segan, marilah baca al-Quran. Bagi yang mahir, alhamdulillah, tinggi darjatnya. Yang kurang mahir pun alhamdulillah, double ganjarannya atas kesungguhan dan kepayahan. Tengok tu betapa yang Maha Pemurah, lagi Maha mengasihani Lagi Maha Mengetahui dan Bijaksana mengaturkan ganjaran bagi pembaca-pembaca al-Quran. Allahuakbar.

Maka rebutlah peluang, banyakkan bacaan. Dan seterusnya target untuk khatam & memperbaiki mutu penghayatan di masa akan datang.

Jadi panjang pula note ini. Oklah, saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah. selamat berpuasa, selamat tadarus. Semoga Ramadan ini kita mendapat keberkatan dariNya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhhh...

BFF saya kaler biru.. hehehe..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...