Sabtu, 28 Mei 2011
Tasawwur Rabbani Menurut Al-Qur'an dan Al-Sunnah
Penulis: Ustaz Ramli Awang (UTM)
Terbitan: Al-Hidayah
Cetakan: 2002
Harga: RM15.00
Istilah Tasawwur:
1. Memberikan tanggapan kepada rupa yang dapat dikhayalkan (bayangkan)
2. Cuba memberi gambaran sebenar terhadap sesuatu
Saya extract some content from this book:
Dunia dan nilainya
1. Tasawwur sebenar terhadap dunia ialah: dunia tidak dapat menguasainya, sebaliknya dialah yang menguasai dunia. Dunia tidak meresap ke hatinya, tetapi sekadar berada digenggaman tapak tangannya, akan dilepasi bila-bila masa sahaja tanpa rasa terkilan, asalkan dia mendapat keradhaan Allah SWT. Nilai utama kepada kehidupan muslim di dunia ialah mendapatkan keampunan Allah serta keredhaanNya, jauh dari kemurkaanNya. Mereka tidak akan menukar dunia yang sementara dengan akhirat yang kekal. (Mukasurat: 46)
Dunia bersifat sementara, tidak kekal dan akan mempesonakan sehingga akhir hayat. Ingat tak hadis Nabi yang menyebutkan ttg anak Adam bila diberikan 1 lembah harta, kang dia cari satu lagi.. dan tetap mengimpikan lembah ketiga?
Usaha memisah-misahkan Islam
1. Perkara yang begitu dikesalkan juga, terdapat di kalangan umat manusia yang hanya menjadikan agama ini satu ibadat tanpa akhlak, atau yang memilih akhlak tanpa ibadat sedangkan hakikat sebenar Islam adalah meliputi keseluruhan aspek hidup manusia. (Mukasurat: 79)
Rasanya tu yang sampai ada yang keluar statement: takpe tak sembahyang tapi hati baik/ takpelah tak pakai tudung tapi hati baik. *skg nih biasa sgt kita dgr ayat2 camnih..* Itu contoh memilih akhlak tanpa ibadat.
Rabbaniyyah dalam matlamat dan hala tuju
1. Sesungguhnya manusia tidak diciptakan semata-mata untuk makan, minum dan berseronok-seronok bermain, dan kemudian selepas itu ia mati.. (Mukasurat: 100)
Manusia dicipta bermatlamat.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Ad-Dhariyat, Ayat 56
Saya beli kat Yayasan Restu.. buleh beli online kat Al-Hidayah
Allah tumpaskan tentera bergajah
SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.
Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.
Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.
Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.
Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.
Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.
Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.
Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San'a.
Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:
i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.
ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.
iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.
Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?
Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:
i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra'.
ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.
Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju."
Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.
Tentera Allah dalam bentuk burung
Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.
Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:
i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud dan al-Akhfash.
ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.
iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.
iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh.
v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.
Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:
i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.
ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.
iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.
Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:
i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.
ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.
iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.
Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.
Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut."
Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.
Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.
Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.
Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.
Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.
Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.
Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah."
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.
Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).
Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.
Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.
Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.
Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.
Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Jumaat, 27 Mei 2011
Suami perah duit isteri
Tajuk perbincangan: Suami perah duit isteri
Ayat Doa 1:

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayat oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik. Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Al-An'am, Ayat 161 - 162
Ayat Doa 2:

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Al-Fatihah, Ayat 5-6Ayat Doa 3:

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Al-Fatir, Ayat 2
Jangan dok perah duit bini.. kang kena bilas, peh tu kena sidai.....
Khamis, 26 Mei 2011
Al-Quran 'sentuh' Dr. Miller
INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.
Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.
Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.
Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.
Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.
"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.
"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.
"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.
Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.
Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.
"Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.
"Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.
"Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.
"Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.
Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.
Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.
"Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.
"Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.
"Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.
"Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.
Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).
Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Perawi Imam al-Kisaei
DI kalangan qiraat tujuh terdapat qiraat yang tidak lagi diamalkan seperti Qiraat Ibn Kathir, Ibn 'Amir, Imam Hamzah dan Qiraat al-Kisai.
Namun Qiraat al-Kisai melalui dua perawinya Abu al-Harith dan al-Duri masih boleh dipelajari melalui talaqqi dengan guru yang mempunyai sanad.
Semua usul Qiraat Tujuh dan khilaf kalimah dalam surah atau disebut Farsy disenarai dan dicatat dalam bentuk nadham oleh tokoh ilmu qiraat iaitu Imam Syatibiy (meninggal pada tahun 590 hijrah) melalui kitabnya Hirz al-Amani wa wajh al-Tahani atau terkenal dengan Matan Syatibiy.
Metod pengajaran ilmu Qiraat pula mestilah menghafaz matan Syatibiy ini dan guru akan memperkenalkan kaedah membaca qiraat secara jamak.
Dengan maksud semua khilaf qiraat yang ada dalam sesuatu ayat akan dibaca pelajar bermula dengan Qiraat Nafei hingga Qari yang ketujuh iaitu Imam al-Kisai.
Maksud penulis, Qiraat al-Kisaei tidak diamalkan dalam sudut menjadikannya bacaan rasmi negara Islam sebagaimana riwayat Hafs daripada Imam 'Asim yang kebanyakan dunia Islam membacanya.
Begitu juga riwayat Warsy yang mendominasi negara Islam di utara Afrika atau riwayat Qalun yang menjadi bacaan umat Islam di Libya. Namun Qiraat al-Kisaei kini tidak dijadikan riwayat rasmi di mana-mana negara Islam.
Walaupun begitu, Qiraat al-Kisaei pada satu masa dahulu diamalkan di Kufah iaitu tempat Imam al-Kisaei bermukim. Ramai ulama meriwayat Qiraat al-Kisaei melalui perawinya Abu al-Harith dan al-Duri.
Secara umumnya bacaan al-Kisaei ada persamaan dengan bacaan gurunya Imam Hamzah khususnya pada imalah kalimah yang mempunyai huruf ya diakhirnya.
Kelainan Qiraat al-Kisaei berbanding Qiraat Tujuh yang lain adalah membaca imalah pada ha ta'nith yang berada pada akhir kalimah seperti al-malaikah.
Perawi pertama yang meriwayat Qiraat al-Kisaei ialah Abu al-Harith al-Baghdadi. Menurut Al-Dani, Abu al-Harith adalah murid terunggul al-Kisaei dan bertalaqqi dengannya.
Abu al-Harith menjadi penyambung penyebaran Qiraat al-Kisaei. Ramai yang bertalaqqi dengannya antaranya Salamah Ibn 'Asim, Muhammad Ibn Yahya al-Kisaei al-Soghir dan al-Fadhl Ibn Syazan Ya'qub Ibn Ahmad. Abu al-Harith meninggal dunia sekitar tahun 200 hijrah.
Perawi kedua al-Kisaei ialah Abu Umar al-Duri. Jika dilihat senarai para perawi Qiraat bermula dari perawi Imam Nafei' hinggalah perawi Imam Ketujuh Imam al-Kisaei kita dapati semuanya orang yang berbeza. Kecuali al-Duri yang menjadi perawi Imam Abu Amru dan al-Duri juga adalah perawi kepada Imam al-Kisaei.
Al-Duri meriwayat Qiraat Abu Amru melalui perantaraan yang merupakan murid kepada Abu Amru iaitu Yahya al-Yazidi. Manakala Qiraat al-Kisaei, beliau meriwayat secara talaqqi daripada gurunya al-Kisaei.
Justeru dalam buku Qiraat apabila menyatakan tentang bacaan al-Duri, mereka akan menyebut al-Duri al-Kisaei atau menyebut al-Duri Abu Amru bagi mengelak kekeliruan mana satukah al-Duri yang dikehendaki.
Dengan berakhirnya cerita Imam al-Kisaei dan perawinya maka sempurnalah pengenalan Qiraat Tujuh yang merupakan qiraat mutawatirah dan kesemuanya sah dibaca dalam sembahyang.
Sumber: Utusan Malaysia Online
