ASSALAMUALAIKUM.
Saya telah membaca beberapa artikel tuan di Mingguan
Malaysia tetapi saya dan mungkin ada pembaca lain masih tertanya-tanya
adakah hanya dengan membaca ayat al-Quran, penyakit kronik seperti
kanser atau sakit jantung boleh sembuh. Saya berpendapat di zaman moden
sekarang, penyakit mesti dirawat dengan cara mengambil ubat, pembedahan
atau terapi khusus. Bolehkah tuan terangkan bagaimana ayat al-Quran
boleh menjadi penyembuh. Terima kasih.
- Abdul Wahid Bukhari,
Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
MINGGU ini saya akan berkongsi mengenai rahsia kehebatan al-Quran sebagai ejen penyembuh penyakit.
Ramai pesakit yang datang berubat bertanya, mampukah al-Quran
mengubati penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian ayat
al-Quran, sakit dihidapi mampu sembuh?
Percayalah! Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan kepada kita sebagai umat baginda.
Al-Quran merupakan kalam Allah dan sememangnya kuasa penyembuh itu adalah milik Allah.
Bukanlah sesuatu yang janggal apabila al-Quran dikatakan mampu
menjadi ejen penyembuh penyakit. Firman Allah di dalam surah Al-Israa’,
ayat 82: “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan
rahmat bagi orang yang beriman."
Umum mengetahui bahawa kaedah perubatan yang diamalkan oleh saya dan
perawat di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah 100 peratus menggunakan ayat
al-Quran.
Kami di Al Hidayah, sangat meyakini mukjizat al-Quran sebagai ejen
penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai orang Islam, siapa lagi
mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini.
Di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama rawatan di Al Hidayah.
Secara umum, rawatan bermula dengan melafazkan dua kalimah syahadah.
Kalimah mulia ini sebagai ‘pembuka pintu’ kepada setiap sesi rawatan
bagi pesakit. Kalimah ini membezakan muslim dan bukan muslim.
Kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu lahir dan sebelum kematian.
Maka, saya memulakan rawatan dengan lafaz dua kalimah syahadah. Ini
menunjukkan tawakal dan kebergantungan kita kepada zat yang Maha
Penyembuh, iaitu Allah.
Seterusnya, saya akan membaca surah Al-Fatihah. Surah ini bukanlah
hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya surah Al-Fatihah turut
terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa mujarabnya.
Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan menjadi
surah pembukaan di dalam mushaf al-Quran.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia
menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah keluar bermusafir.
Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.
Mereka meminta makanan, tetapi penduduk kampung enggan memberinya.
Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung disengat binatang
berbisa.
Salah seorang sahabat Rasulullah bersedia untuk mengubatinya. Lalu
membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki tadi. Dengan kuasa
Allah, lelaki itu sembuh.
Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh sahabat
tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan seorang tabib atau pernah mengubati
penyakit. Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah.
Berita ini sampai kepada Nabi Muhammad dan baginda mengesahkan perbuatan
lelaki tersebut.
Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah.
Kalau difikirkan dari sudut logik akal, mustahil hanya dengan membaca ayat, bisa daripada binatang boleh sembuh.
Ini yang dikatakan kuasa penyembuh milik mutlak Allah dan kita harus berikhtiar.
Apa yang pasti, kisah ini membawa pengajaran berguna, bahawa ayat
suci al-Quran bukan sahaja bertindak sebagai panduan hidup, malah
sebagai ejen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.
Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia, ramai meyakini
ayat suci al-Quran mampu menjadi penawar, namun hanya bagi penyakit
bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau,
saka, rasukan, jin dan lain-lain.
Masyarakat kita masih ramai yang kurang yakin bahawa ayat suci
al-Quran mampu malah berkesan merawat penyakit bersifat fizikal seperti
kencing manis, darah tinggi, tiroid, ketumbuhan dalam otak dan kanser.
Contohnya surah Al-Isra’ ayat 40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit
berkaitan jantung, surah Qaf ayat 16 hingga 45 untuk menyembuhkan
penyakit berkaitan urat saraf dan tulang manakala surah Muhammad ayat 21
hingga 32 untuk menurunkan stres pesakit.
Rata-rata kita tidak melihat “proses" penyembuhan melalui ayat
al-Quran. Sukar diterima akal, hanya dengan membaca ayat suci al-Quran,
penyakit fizikal sembuh tanpa ubat atau pembedahan.
Ramai di antara kita lebih mempercayai perubatan moden, yang jelas
kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti pembedahan, ubat,
suntikan dan sebagainya.
Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan moden, malah menggalakkan
pesakit merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan moden.
Namun, apa yang mahu saya tekankan adalah, al-Quran juga mampu menjadi penawar penyakit fizikal.
Firman Allah; “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu
pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam
dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..." (Surah
Yunus, ayat 57)
Bagaimana al-Quran boleh bertindak sebagai ejen penyembuh? Persoalan
ini tidak dapat dijelaskan oleh logik akal manusia, namun sebagai
sedikit gambaran kepada pembaca, pertama sekali kita harus yakin bahawa
al-Quran adalah mukjizat agung dan firman Allah sendiri menyatakan di
dalamnya mempunyai syifa atau penyembuh. Ayat al-Quran mempunyai aura
tersendiri yang sepadan dengan jenis penyakit.
Misalnya, sakit kanser, ayat al-Quran yang selari dengannya adalah
surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj ayat 31 hingga
55. Ada lagi ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.
Begitu juga dengan sakit lain, terdapat ayat al-Quran, yang fungsinya
sebagai penyembuh untuk sakit tersebut. Apabila ayat ini dibaca oleh
pesakit, maka aura ayat suci ini akan bertindak terhadap penyakit yang
dihidapi dengan izin Allah.
Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat suci al-Quran ini
bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat
dengan mata kasar dan dijelaskan dengan logik akal.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, sudah ramai pesakit Al-Hidayah
sembuh daripada penyakit seperti jantung, buah pinggang, saraf, kanser,
gangguan sihir dan saka dan sebagainya, selepas pesakit tekun
mengamalkan ayat al-Quran yang diberikan mengikut jenis penyakit.
Selain amalan pembacaan al-Quran secara istiqamah dan konsisten, doa
kepada Allah dan keyakinan tinggi terhadap mukjizat agung al-Quran
sebagai ejen penyembuh turut diamalkan oleh pesakit.
Dalam pengalaman saya mengubati pesakit kanser selama 13 tahun, saya
telah mengumpulkan testimoni pesakit yang telah sembuh dengan izin
Allah, untuk tujuan memberi contoh dan bukti kepada pesakit kanser lain
akan kemujaraban ayat suci al-Quran dalam menyembuhkan kanser.
Kisah pesakit menceritakan cabaran dan dugaan mereka dalam
mengharungi hidup. Kisah tersebut pasti menyentuh sanubari pembaca dan
memberi motivasi kepada pesakit kanser untuk terus mencari penawar.
Untuk pengetahuan, kisah tersebut beserta penerangan mengenai
mukjizat al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser telah dibukukan
dalam buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser (Quranic Medicine
in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn. Bhd.) yang boleh didapati di
kedai buku bermula 1 Mac 2013.
Buku tersebut juga boleh dibeli di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Kesimpulannya, al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan Allah
untuk umat Nabi Muhammad dan kalau bukan kita, siapa lagi yang patut
mendaulatkan al-Quran?
Rugi besar jika orang Islam mensesiakan al-Quran dan tidak
meyakininya. Yakinlah dengan al-Quran, bukan sahaja sebagai kitab yang
dibaca sebagai pertunjuk, tetapi sebagai ubat yang diamal setiap hari
sebagai penyembuh.
Akhir sekali, harapan saya agar suatu hari nanti, ramai doktor Muslim
dapat menerima al-Quran sebagai medium penyembuh penyakit serta
menggunakannya bersama rawatan perubatan moden mereka.
- bersama Haji Lokman Abdul Hamid
TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal
atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke
lokman.alhidayah@gmail.com www.alhidayah-medic.com
Sumber: Utusan Malaysia