RAMADAN semakin tiba ke penghujung.
Beruntung sesiapa yang bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah SWT
kerana mengetahui pahala dijanjikan berbeza dengan golongan yang
menganggap tiada keistimewaan pada bulan ini berbanding bulan lain.
Antara
keistimewaannya adalah diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada
manusia sejajar dengan firman Allah SWT bermaksud: "Beberapa hari
yang ditentukan itu ialah Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan
(permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan
membezakan (antara hak dan batil)." (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Kita
perlu mengetahui kemahiran membaca atau menghafaz al-Quran semata-mata
bukan matlamat utama. Sebaliknya, al-Quran yang menjadi mukjizat
teragung Nabi Muhammad SAW diturunkan Allah SWT secara berperingkat
melalui Jibril bertujuan untuk dihayati dan diamalkan semua manusia
terutama umat Islam.
Namun, kita mesti
mempunyai azam dan semangat untuk berusaha mempelajari, membaca serta
menghafaz kitab suci itu kerana membaca al-Quran dapat membersihkan
jiwa, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Apatah
lagi jika membaca al-Quran hingga khatam sepanjang Ramadan kerana
keistimewaan ganjaran amal ibadat pada bulan mulia ini. Kita mesti
berusaha memperbanyakkan membaca ayat suci dan mempelajari jika tidak
mengetahuinya.
Bahagia dunia, akhirat
Ada
tiga golongan manusia dapat dilihat dan dikaitkan dengan al-Quran
ketika Ramadan. Golongan pertama, memanfaatkan setiap masa terluang
dengan membaca al-Quran dan memahami maknanya.
Golongan
kedua, membaca kitab suci mengikut waktu tertentu, manakala golongan
ketiga langsung tiada masa kerana kesibukan hal dunia.
Islam
bukan hanya menggalakkan umatnya membaca al-Quran, juga memahami dan
mematuhi larangan serta suruhan yang dinyatakan di dalamnya. Dari zaman
Rasulullah SAW sehingga kini, al-Quran menjadi rujukan dan sumber utama
umat Islam.
Peristiwa Nuzul al-Quran
pada malam 17 Ramadan wajarsentiasa diingati umat Islam. Ia membuktikan
Ramadan sebagai bulan al-Quran yang perlu dimanfaatkan sebagai sumber
hidayah bagi kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Membaca
al-Quran juga tidak mengira usia muda atau tua, siang atau malam, pagi
atau petang dan waktu lapang atau sempit kerana kitab suci itu akan
memberi syafaat seperti sabda Rasulullah SAW: "Bacalah al-Quran,
sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada
pembacanya." (Riwayat Muslim)
Amat rugi
bagi mereka yang langsung tidak membuka apatah lagi membaca al-Quran
sedangkan Ramadan adalah bulan amal dan rahmat. Allah SWT menurunkan
al-Quran supaya manusia tidak terjerumus ke lembah maksiat dan tergolong
dalam kalangan yang sesat.
Pegangan hidup
Sebagai
hamba Allah, kita wajib bersyukur kepada-Nya kerana diberikan al-Quran
sebagai petunjuk kehidupan di dunia dalam meniti perjalanan ke akhirat.
Kita perlu berusaha menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Kita
perlu memanfaat dan mengamalkan segala kandungan al-Quran kerana ia
faedah paling utama serta besar yang akan dinikmati, apatah lagi setelah
kita memahami kandungannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Maka apakah
mereka sengaja tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran? Atau
ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada
menerima ajaran Al-Quran." (Surah Muhammad, ayat 24)
Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Kanan, Unit Hal Ehwal Islam UiTM cawangan Johor
Sumber: Berita Harian Online