Satu-satunya penyelamat manusia pada hari
akhirat kelak ialah kitab suci al-Quran. Malangnya, kerana terlalu
cintakan dunia, ramai yang lari atau agak keterlaluan memisahkan
al-Quran daripada kehidupan masing-masing.
Nafsu
duniawi yang terlalu kuat juga mendorong ramai umat Islam terlupa akan
muncul kiamat, sedangkan gambaran keadaan manusia dijelaskan secara
terperinci dalam surah Abasa, ayat 33 hingga 37.
Antaranya,
ia menghuraikan bagaimana setiap manusia perlu bergelut untuk
menyelamatkan diri hingga tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk
membantu termasuk ahli keluarga seperti ibu bapa, isteri dan anak yang
ketika di dunia sentiasa berada di sisi.
Mereka tidak sesekali berupaya membantu, malah sibuk dengan urusan diri masing-masing pada hari pembalasan kelak.
Dalam
keadaan itu, sudah tentu kita akan mengharapkan ‘pendamping’ yang dapat
menyelamatkan diri daripada huru-hara yang berlaku di Padang Mahsyar.
Antara
yang dapat membantu ialah al-Quran yang kekal mendampingi orang
mengimaninya dalam bentuk syafaat, iaitu menjadi perantara ketika
dihisab segala amal dan perbuatan yang pernah dilaksanakannya.
Daripada
Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca
al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada kiamat memberi syafaat
kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.” (HR
Bukhari dan Muslim)
Wajib dalami al-Quran
Justeru, mendalami al-Quran hukumnya wajib, sekali gus perlu mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.
Pendakwah,
Dr Mohd Ali Saripan al-Hafiz, berkata al-Quran juga kunci untuk menjadi
seorang insan yang sempurna di sisi Allah SWT.
“Hari
ini, ramai yang mengakui secara lisan beriman dengan al-Quran tetapi
hatinya tidak memahami, mata tidak merenung dan telinga pula tidak
mendengarnya.
“Apa yang terjadi kepada
orang yang kurang mendengar atau mengalunkan ayat suci al-Quran ini
antaranya mereka bersifat tidak responsif kepada setiap kalimah-Nya.
“Ramai
yang ada telinga untuk mendengar tetapi tidak dianugerahkan sifat Allah
SWT, iaitu as-Sama’ kerana ia khusus bagi mereka yang mengimani
al-Quran sahaja,” katanya ketika menyampaikan kuliah khas di Surau NSTP,
Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur.
Sentiasa hayati al-Quran
Allah
SWT berfirman: “Dan mereka berkata: Hati kami tertutup daripada apa
yang engkau seru kami kepadanya dan pada telinga kami ada penyumbat
serta di antara kami denganmu ada sekatan; oleh itu, bekerjalah engkau
untuk agamamu, sesungguhnya kami juga tetap bekerja mempertahankan
kepercayaan kami.” (Fussilat: 5)
“Batu
di dalam telinga manusia disebut sebagai Waqr yang apabila kita membaca
dan mendengar ayat al-Quran, barulah akan pecahlah batu penyumbat ini.
“Setiap
Muslim perlu sentiasa menggunakan telinga untuk menghayati al-Quran,
barulah batu ini dapat dipecahkan, sekali gus jauh daripada sifat pekak
dan tuli terhadap keagungan kitab Allah SWT,” katanya.
Beliau
berkata, manusia yang mata hati dan fikirannya selalu mengingati
al-Quran, sekali gus akan sentiasa dirahmati Allah SWT dalam pelbagai
cara.
“Antaranya, orang yang dekat dengan al-Quran akalnya akan terjaga dan tidak mudah menjadi majnun atau gila.
Terhindar sifat mazmumah
“Apabila
al-Quran sentiasa tersemat di hati, terhindar daripada sifat mazmumah
seperti mudah berprasangka buruk, risau tidak menentu, hasad, kufur dan
riak.
“Rasulullah SAW bersabda: Manusia terbaik adalah yang mempelajari dan menyampaikan kandungan al-Quran,” katanya.
Firman
Allah SWT: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah)
umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada
Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi
mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan
mereka orang yang fasik.” (Aali Imran: 110)
Beliau
berkata, antara bukti kemuliaan al-Quran adalah ia terus terpelihara
hatta selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga sampai kepada umat Islam
hari ini.
“Al-Quran ialah kalam yang diturunkan dan tetap dijaga oleh Allah SWT tidak seperti kitab lain seperti Taurat dan Injil.
“Apabila
wafat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, kedua-dua kandungan kitab suci ini
diubah. Antaranya, seperti disebut dalam surah at-Taubah mengenai orang
Yahudi memasukkan satu kalimah dalam Taurat dengan menyatakan Nabi
Khidir adalah anak lelaki Allah.
“Hakikatnya,
Nabi Khidir yang ditemui Nabi Musa semata-mata untuk mencari ilmu,
hatta dicari sehingga ke lautan, sekali gus menjadi ibrah kepada umat
islam akan kewajipan untuk mencintai orang alim,” katanya.
Beliau
menambah, kitab Injil turut diubah seperti terkandung dalam surah
al-Maidah ayat 18 yang menyebut orang Nasrani mendakwa Nabi Isa anak
lelaki Allah SWT.
Katanya, apabila wahyu Allah SWT dalam kitab sebelum turunnya al-Quran diubah, ia tidak lagi wajib ditaati oleh umat Islam.
Justeru
beliau berkata, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan
menjadikannya rujukan utama untuk memastikan beroleh kejayaan yang
bersifat kekal khususnya di akhirat kelak.
Bahkan,
mencintai dan memahami setiap isi kandungan al-Quran juga adalah tanda
ketaatan kepada insan paling dimuliakan Allah SWT, iaitu Nabi Muhammad
SAW.
Menjadikan Rasulullah SAW sebagai
qudwah hasanah (suri tauladan) perlu disertai dengan merujuk dan beramal
dengan wahyu iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Baginda.
INFO
Adab sebelum membaca al-Quran
*Berwuduk
*Duduk dengan tertib
*Niat kerana Allah SWT
*Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi dan bersih
*Mengharapkan pahala dan syafaat
*Mengadap kiblat
*Berpakaian bersih dan menutup aurat
Sumber: Berita Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^