SOALAN: Bolehkah terjemahan al-Quran dihadiahkan kepada golongan bukan Islam yang ingin mempelajari mengenai al-Quran dan Islam?
Jawapan:
Islam agama yang mementingkan kepada keikhlasan dalam mengamalkan
segala arahan dan meninggalkan segala larangan. Bagi umat Islam, mereka
akan mendapat pahala atas perbuatan itu, manakala bagi golongan bukan
Islam, mereka dibenarkan untuk mempelajari Islam selama mana yang
diinginkan.
Tiada
istilah paksaan dalam Islam untuk golongan bukan Muslim menerima Islam.
Mereka berhak memilih agama ini jika mereka sudah benar-benar bersedia
menerima segala arahan dan meninggalkan larangan dalam Islam.
Firman
Allah SWT bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana
sesungguhnya telah nyata akan kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).
Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman
kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan
(tali agama) yang teguh dan tidak akan putus. (Ingatlah), Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 256)
Al-Quran
diturunkan sebagai hidayah bagi mereka yang menginginkannya dengan
ikhlas. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: "Wahai umat
manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi
penasihat dan pengajaran dari Tuhan kamu, ia menjadi penawar bagi
penyakit batin yang ada dalam dadamu, ia juga menjadi hidayah dan
petunjuk untuk keselamatan bagi membawa rahmat kepada orang beriman."
(Surah Yunus, ayat 57)
Berasaskan
kepada ayat itu, maka tidak salah bahkan dibenarkan jika ada umat Islam
yang ingin berdakwah menerusi kaedah menghadiahkan al-Quran terjemahan
kepada sahabat bukan Islam.
Namun,
perbuatan itu mestilah menepati beberapa syarat supaya kesucian Islam
tidak tercalar akibat sikap golongan yang tidak menghormati kesucian
Kalamullah dan Islam.
Syarat
yang dimaksudkan ialah diyakini bahawa orang bukan Islam itu memang
benar-benar ikhlas mempelajari dan mendalami ajaran Islam sebelum
membuat keputusan untuk memeluk agama Islam.
Diyakini
orang bukan Islam itu tidak akan menghina kitab suci al-Quran dengan
cara yang tidak sepatutnya seperti meletakkannya di tempat tidak
sewajarnya, menconteng, menjadikannya sebagai bahan lawak atau sindiran
dan sebagainya.
Memaklumkan
kepada penerima terjemahan al-Quran bahawa penggunaannya mestilah dalam
keadaan sopan dan berakhlak. Niat pemberian mestilah untuk dakwah dan
bukan memaksa seseorang yang bukan Muslim menerima Islam secara paksaan.
Pilih surah beri kesan negatif
SOALAN:
Isteri saya sedang mengandung. Jadi, saya dinasihatkan oleh rakan yang
lebih berumur menggalakkan isteri mengamalkan dua surah penting untuk
wanita mengandung dalam al-Quran iaitu surah Yusuf dan Maryam. Surah
Yusof boleh menyebabkan anak kita itu menjadi cantik dan kacak bagaikan
Nabi Yusof, manakala surah Maryam bertujuan memudahkan ibu mengandung
bersalin bagaikan ketika Maryam melahirkan Nabi Isa AS. Adakah dakwaan
itu benar?
Untuk pengetahuan saudara,
semua surah dan ayat dalam al-Quran adalah terbaik untuk diamalkan oleh
umat Islam. Tiada sebarang dalil sama ada daripada al-Quran dan sunah
yang menjelaskan bahawa dua surah dimaksudkan itu terbaik untuk
diamalkan oleh ibu mengandung.
Lebih
bahaya lagi apabila terdapat golongan yang pandai-pandai mengkhususkan
keistimewaan tertentu terhadap surah Yusof dan Maryam seperti cantik
atau mudah bersalin apabila dua surah berkenaan dibaca oleh ibu
mengandung.
Pengkhususan
seperti ini sebenarnya memberi impak negatif kepada umat Islam atas
beberapa sebab. Pertama, ia akan menyebabkan umat Islam terpengaruh
kepada perkara khurafat yang langsung tiada asas daripada al-Quran dan
al-sunah berhubung keistimewaan anak cantik atau mudah bersalin.
Kedua,
ia akan menyebabkan sebahagian umat Islam menuduh al-Quran sebagai
penipu atau menyalahkan al-Quran apabila anak lahir tidak seperti sifat
yang dihajati.
Ketiga,
ia mendidik sifat malas dalam diri umat Islam untuk membaca keseluruhan
al-Quran kerana mereka akan membaca surah atau ayat tertentu sahaja
bagi mengejar keistimewaan yang didakwa memberi kesan kepada isteri
serta anak mereka. Ia sama sekali bercanggah dengan kehendak Islam.
Sehubungan
itu, ingin saya tegaskan bahawa al-Quran dituntut untuk dibaca
keseluruhan surah yang terdapat di dalamnya. Ia perlu dibaca dan
dihayati bermula daripada surah al-Fatihah hingga surah al-Nas.
Percayalah,
sesiapa yang membacanya untuk mendapat keredaan Allah SWT, mereka akan
diberkati hidup di dunia dan akhirat. Lebih menggembirakan lagi, apabila
setiap ayat dibaca daripada al-Quran akan datang di akhirat kelak
sebagai syafaat untuk memasuki syurga Allah SWT yang kekal abadi.
Sabda
Nabi SAW: "Puasa dan al-Quran akan datang menjadi syafaat kepada
manusia di akhirat kelak. Puasa akan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya
aku telah melarang orang ini daripada makan dan minum di waktu siang,
jadikanlah aku (puasa) sebagai syafaat untuknya.
Berkata
pula al-Quran: Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah melarang orang ini
daripada tidur di waktu malam (untuk membaca al-Quran), jadikanlah aku
(al-Quran) sebagai pemberi syafaat untuknya. Lantas Allah menerima
keduanya menjadi syafaat kepada tuannya." (Riwayat Ahmad, darjat hadis
hasan)
Berasaskan kepada hadis ini, maka semua yang bergelar Muslim dan Muslimah perlu membaca al-Quran sebanyak mungkin.
Tidak
perlu memilih surah tertentu kecuali yang memang sah terdapat riwayat
daripada Nabi SAW akan kelebihan membacanya seperti surah al-Kahfi,
al-Mulk dan sebagainya.
Walau
bagaimanapun, membaca keseluruhan surah yang terkandung dalam al-Quran
adalah yang terbaik dan Insya-Allah ia akan memberi kesan positif kepada
kita di dunia serta akhirat.
Sumber: Berita Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^