Ahad, 16 Februari 2014

Hakikat kehidupan dunia

SETIAP orang di dunia ini diberi peluang untuk berbuat kebaikan, bersegera mencapai keredaan Allah SWT dan bertaubat sebelum terlambat.

Sehubungan dengan itu Allah SWT membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hamba-hamba-Nya iaitu pendekatan berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan juga pembalasan syurga.

Firman Allah SWT: Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (al-Hadid: 21)

Perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Allah SWT juga menceritakan tentang sikap Nabi Zakaria a.s melalui firman-Nya: Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (al-Anbiya’: 90)

Siang dan malam silih berganti menurut pusingan cakerawala yang sentiasa bergerak dan pasti Allah SWT tidak menjadikannya dengan sia-sia. Kehidupan ini adalah ibarat gelanggang yang disediakan untuk pertandingan di mana orang yang berjaya mencapai kemenangan adalah orang yang mengenal Tuhan dan melaksanakan hak yang wajib ditunaikan serta bersegera memanfaatkan waktu yang ada.

Tokoh tasawuf terkenal, Hassan Al Basri menyebut, “Tiada satu hari yang fajarnya menyinsing melainkan diseru. Wahai anak Adam, aku satu makhluk yang baharu (suatu hari yang baharu) dan menyaksikan semua amalanmu maka ambillah bekalan daripadaku. Sesungguhnya apabila aku berlalu pergi, aku tidak akan kembali lagi sehingga hari kiamat."

Bersandarkan kata-kata Hassan Al Basri di atas, adalah suatu perkara yang menyedihkan bila kita melihat orang yang tidak menghiraukan kehilangan waktu dan pada masa yang sama menambah dosa mereka dengan mengajak orang lain mengikuti mereka dalam kerja-kerja yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Islam menyarankan agar setiap Muslim mengambil faedah daripada ruang masa tersebut supaya tekun dalam melaksanakan kerjanya walaupun kerja itu kecil dan dipandang ringan. Sabda Rasulullah SAW, Wahai manusia, ambillah kerja-kerja itu mengikut keupayaanmu. Sesungguhnya, Allah tidak jemu sehingga kamu terlebih dahulu merasa jemu. Dan sesungguhnya, sekasih-kasih amalan di sisi Allah adalah melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan berterusan walaupun sedikit. (riwayat Bukhari)

Mencari pahala
Dalam konteks perlumbaan mencari pahala, Rasulullah SAW menjelaskan betapa kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah SAW, Bersegeralah kamu mengerjakan amal soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah paginya kafir, dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit. (riwayat Bukhari)

Keampunan Allah adalah matlamat yang ingin dicapai oleh setiap mukmin dan ia hanya boleh dicapai dengan perlumbaan mencari kebaikan, di samping usaha yang sungguh-sungguh bagi mencapainya dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia tidak diperoleh jika sikap malas dan mengambil mudah menyelubungi diri.


Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd 

Karya pertama ilmu tajwid



ILMU tajwid adalah ilmu yang terawal wujud berbanding dengan ilmu yang lain. Ini kerana ilmu tajwid mengiringi penurunan al-Quran dan peranannya ialah menjaga bacaan al-Quran. Dalam prinsip disiplin ilmu tajwid, dinyatakan bahawa kepentingannya ialah untuk memastikan al-Quran dibaca dengan betul dan menjaga lidah daripada melakukan kesalahan.

Pada mulanya, ilmu tajwid diamalkan dalam pembacaan tanpa dicatat di dalam penulisan. Semua hukum-hakamnya, sama ada izhar, idgham, iqlab, mad wajib, mad lazim dan lain-lain diamalkan walaupun ketika itu belum diistilah dengan nama tertentu.

Jika qari salah membaca al-Quran, guru akan memberi teguran sebagaimana berlaku kepada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a.
Al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir meriwayatkan kisah Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengajar seorang lelaki membaca al-Quran. Lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara’ dengan memendekkan sebutannya. Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud r.a memberi teguran dengan berkata, “Bukan begitu Rasulullah SAW mengajar ku membacanya.” Lelaki itu bertanya.
 â€œBagaimanakah Rasulullah SAW mengajar kamu membacanya wahai Abu Abdul Rahman? Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud membacanya dengan memanjangkan suara pada al-Fuqara’.
Karya pertama dalam ilmu tajwid ditulis oleh Abi Muzahim Musa al-Khaqani dari Baghdad yang meninggal dunia pada 325 Hijrah. Penulisan pertama ini mencetus idea ulama selepasnya untuk lebih teliti dan kemas dalam penulisan tajwid. Kitab tersebut ditulis dalam bentuk syair sebanyak 51 rangkap.

Kandunganya antara lain menyebut tujuh imam Qiraat Nafei’, Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibn ‘Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaie. Dinyatakan juga beberapa kelebihan membaca al-Quran. Dalam perbahasan tajwid, penulisnya mengulas tentang huruf yang dibaca dengan tebal dan huruf yang dibaca dengan nipis.

Kaedah yang penting juga ialah keperluan pembaca al-Quran menjaga bacaannya supaya tidak berlaku penambahan dan selalulah meminta petunjuk daripada Allah SWT. Beliau juga menyebut tentang perlunya menyebut huruf mengikut kadarnya dan jangan melebihkan sebutannya kerana ia adalah sebaik-baik amalan.

Walaupun karya pertama tajwid ini ringkas tetapi kandungannya adalah berkaitan prinsip membaca al-Quran. Abu Amru yang meninggal dunia pada 444 Hijrah adalah merupakan seorang yang alim dalam ilmu tajwid dan qiraat telah membuat huraian terhadap karya Abu Muzahim tersebut.

Dalam syarahnya, Abu Amru membawa pendapat atau pandangan yang lebih luas. Dalam isu mengajar al-Quran umpamanya, Abu Muzahim menyarankan agar mengajar murid tidak melebihi 10 ayat. Namun begitu, dalam syarahnya Abu Umru al-Dani menyebut bahawa jika guru mendapati muridnya menguasai kaedah bacaan dan lidahnya lembut untuk membaca al-Quran maka diizinkan untuk membaca lebih daripada 10 ayat.

Beliau membawa sejarah ulama sebelumnya belajar al-Quran. Imam Hamzah mengajar al-Quran kepada Sufian al-Thauri. Setiap kali membaca di hadapan Imam Hamzah, Sufian al-Thauri membaca dengan 50 ayat, diikuti dengan Sulaim Ibnu Isa, al-Kisai dan rakan-rakanya yang membaca sebanyak 30 ayat dan seterusnya al-Yasykuri membaca 10 ayat. Warsy seorang perawi kepada Imam Nafie’ meriwayatkan bahawa gurunya itu mengajar al-Quran dengan 30 ayat kepada setiap seseorang.


Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...