Isnin, 23 Disember 2013

Sumbangan Al Quran diperlukan

Share dari FB IKRAM Johor:

Sumbangan Al Quran diperlukan untuk sebuah sekolah yang menjalankan kelas fardhu ain di Kg Batu 14, Kemaman yang teruk dilanda banjir baru-baru ni. Hampir kesemua Al Quran di sekolah tersebut telah musnah sama sekali. Oleh itu, i-Bantu IKRAM Johor membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menyumbang dalam bentuk wang yang akan digunakan untuk membeli Al-Quran. Sumbangan boleh dibuat melalui akaun BIMB 01014010051379 atas Pertubuhan Ikram Malaysia. Sila maklumkan pada Dr Ruslan di talian 013 7990753.




Rabu, 11 Disember 2013

Pendaftaran Pelajar Baru Kelas Pengajian di MTMZA

Kelas pengajian al-quran 2014


Sila ke laman web MTMZA untuk maklumat lanjut.

Kelas Pengajian Dewasa Masjid Putra

Kelas pengajian al-quran 2014


Untuk maklumat yuran serta jadual pengajian, 

Masjid Putra, Putrajaya

Gigih dalami al-Quran


SUDAH menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, subjek pendidikan Islam pertama yang diajar kepada anak-anak ialah membaca al-Quran. Perkara ini akan berterusan sehingga mereka khatam al-Quran bermula dengan mengajar membaca al-Quran samada melalui kaedah Iqra’, kaedah Qiraati, kaedah Baghdadi dan seterusnya membaca al-Quran. Setelah khatam Quran kebiasaanya mereka tidak lagi membaca di hadapan guru.

Berlainan dengan pendidikan al-Quran di Tanah Arab. Mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya di peringkat rendah. Di peringkat menengah mereka terus mendalami ilmu bacaan al-Quran dengan bertalaqqi daripada guru. Realitinya, hukum-hakam tajwid mudah difahami dan dikuasai dengan sebutan yang tepat ketika dewasa. 


Perjalanan hidup

Meneliti perjalanan hidup guru-guru al-Quran dan cabaran yang mereka hadapi dalam mendalami ilmu al-Quran boleh memberi semangat kepada kita. Seorang tokoh al-Quran yang bernama Abdul Rahman al-Yamani yang meninggal dunia pada 1050 Hijrah menerima pendidikan al-Quran daripada beberapa guru yang hebat pada zamannya. Guru yang banyak mencurahkan ilmu kepadanya ialah ayahnya sendiri.

Beliau membaca juzuk demi juzuk sehingga sampai kepada ayat 41 surah al-Nisa yang bermaksud: Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri manjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umat ini? 

Selepas membaca ayat ini, ayahnya meninggal dunia. Namun beliau tidak patah semangat. Abdul Rahman al-Yamani meneruskan talaqqi al-Quran dengan memulakan surah al-Fatihah hingga khatam al-Quran kepada murid ayahnya iaitu al-Syihab Ahmad Ibnu Abdul Haq al-Sinbati. 

Hakikatnya, kematian guru bukan penghalang untuk terus mencari ilmu. Cabaran seperti ini banyak hikmah bukannya menjadi penghalang untuk mereka menjadi ulama yang tersohor.


Talaqqi

Bagi Syeikh Qurra Mesir iaitu Syeikh Amir Uthman meninggal pada1988 di Madinah. Antara guru yang banyak berjasa kepadanya ialah Syeikh Ali Ibnu Abdul Rahman al-Subayyi’. Syeikh Amir membaca al-Quran di hadapannya secara talaqqi dari awal al-Quran hingga ke surah Hud, ayat 41 yang bermaksud: Dan ketika itu berkata lah Nabi Nuh kepada pengikut-pengikutnya yang beriman: Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata, Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya, sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Sampai ke ayat ini, gurunya Syeikh Subayyi’ meninggal dunia. 

Syeikh Amir meneruskan talaqqi al-Quran dengan memulakan surah al-Fatihah kepada murid gurunya iaitu Syeikh Humam Qutb Abdul Hadi. Beliau juga talaqqi Qiraat Sepuluh sehingga berjaya khatam dan dianugerahkan sanad. 

Saya membawa dua cerita berkaitan guru al-Quran yang tersohor menghadapi cabaran dengan kematian guru ketika talaqqi. Perkara ini tidak menjadi halangan kepada mereka untuk terus mendalami ilmu al-Quran. Bahkan mereka bangkit dan seterusnya menjadi pakar rujuk dalam bidang al-Quran.

Walaupun kita tidak mengenali susuk tubuh Syeikh Amir Uthman namun hasil didikannya berjaya melahirkan beberapa qari yang masyhur dan bacaan al-Quran mereka yang selalu kita dengar, seperti Syeikh Khalil al-Husari, Syeikh Mustafa Ismail, Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain. 

Membaca al-Quran dan mendalaminya perlu berterusan. Ia juga memerlukan guru yang mahir dan tidak memadai dengan seorang guru sahaja. 


*PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sumber: © Utusan Malaysia

Hadapi tekanan dengan sabar

Dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba ini, setiap umat Islam mestilah tabah, sabar dan reda menerima dugaan dan bencana tertentu. Allah SWT menguji umat Islam supaya mempunyai kesabaran dan tabah menghadapi setiap dugaan. Mendidik hati dengan kesabaran ini mestilah diuji melalui ujian dan dugaan.

Pelbagai dugaan seperti kemiskinan, kesusahan dalam menghadapi hidup, kekurangan makanan dan penyakit. Semuanya adalah dugaan dan tekanan yang menguji keimanan. Selain itu, ujian dan dugaan juga datang dalam pelbagai bentuk iaitu daripada manusia iaitu saudara-mara, sahabat dan juga jiran tetangga. Hanya dengan kesabaran dan ketabahan semua ujian dan dugaan ini dapat dihadapi dengan mudah.

Ketabahan dan kesabaran bagi orang yang sanggup menanggung penderitaan dan mengelakkan kemarahan akan mendapat pahala dan kebaikan di sisi-Nya. Firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. (Ali Imran:134)

Memang sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita tetapi perbuatan tersebut sangat dituntut dalam Islam yang dapat mengeratkan kembali hubungan silaturahim, kasih sayang, sekali gus menguatkan perpaduan ummah. Menahan kemarahan kepada orang lain sangat dituntut dan seseorang yang dapat menahan kemarahannya adalah orang yang tabah dan kuat imannya.

Seterusnya Allah berfirman lagi yang bermaksud: Dalam pada itu ingatlah, orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara yang dituntut agar dilakukan. (asy-Syura: 43)

Hakikat dalam kehidupan, dugaan dan cabaran datang silih berganti. Bagi mereka yang sabar dan tabah menghadapinya akan mendapat ganjaran di sisi-Nya. Abu Hurairah melaporkan, Seorang lelaki pernah berkata, Wahai Rasulullah. Saya mempunyai sanak saudara. Saya hubungi mereka tetapi mereka memutuskan hubungan dengan saya. Saya berbuat baik dengan mereka tetapi mereka melayan saya dengan buruk. Saya bersabar dengan mereka tetapi mereka membodohkan saya.

Rasulullah SAW menjawab, Kalau benarlah keadaan saudara seperti yang saudara katakan itu, saudara seolah-olah menaburkan abu yang panas ke dalam mulut mereka. Saudara juga sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah selagi saudara berada dalam keadaan begitu. (riwayat Muslim)

Begitulah keadaan yang berlaku pada zaman nabi, malah senario serupa juga berlaku dalam kehidupan seharian kita hari ini. Sebagai manusia kita sering melakukan kesilapan kepada orang lain. Kisah ini sepatutnya menjadi pengajaran dan teladan kepada kita, agar kita tidak melakukannya serta mengulanginya. Tekanan hidup daripada perbuatan orang lain juga sebagai ujian kepada kita supaya sabar menghadapinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "€Sesungguhnya orang Mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut."€ (riwayat al-Hakim)


* PENULIS bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.




Sumber: © Utusan Malaysia

Kedudukan tinggi ibu dan bapa

SABAN hari, banyak kes melibatkan anak dan ibu bapa disiarkan di dada akhbar. Sebelum ini negara digemparkan dengan kes anak memukul, mencuri harta ibu bapa,. Bahkan ada yang membunuh ibu bapa sendiri. Sukar dibayangkan seorang anak yang dahulu kecil tidak berdaya, dibesar dan didik oleh ibu bapa, akhirnya sanggup melakukan perbuatan yang keji terhadap mereka. 

Islam amat meninggikan kedudukan ibu bapa sehingga perintah menghormati mereka tercatat di dalam al-Quran al-Karim sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Islam menyuruh umatnya menghormati ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan mereka dari kecil sehinggalah dewasa. Hendaklah seorang anak itu menjaga tutur kata dengan ibu bapa. 

Malah mengeluh dengan mengatakan “ah” sahaja tidak dibenarkan, apatah lagi meninggikan suara atau menengking mereka. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’: 23)


Dimuliakan

Demikianlah tingginya kedudukan ibu bapa di sisi Islam. Merekalah yang perlu dimuliakan selepas Allah dan Rasul-Nya. Jika mereka menyuruh untuk menyekutukan Allah SWT, maka tidak perlu taat kepada perintah mereka lagi, namun Islam masih menyuruh berbuat baik kepada mereka. 

Firman Allah SWT: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman: 25)

Kedudukan ibu tiga kali ganda lebih utama daripada ayah. Ini sesuai dengan pengorbanan seorang ibu menanggung kesusahan mengandung dan melahirkan seorang anak. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang kepada siapakah yang paling berhak dia berbakti. Baginda menjawab kepada ibu sehingga tiga kali kemudian yang keempatnya barulah kepada ayah. (riwayat Al-Bukhari)




HARAM menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam. Menderhaka kepada mereka termasuk dalam dosa-dosa besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian derhaka kepada ibu bapa. (riwayat Muslim no. 593)

Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: Mahukah kalian aku beritahu tentang dosa yang paling besar? Para sahabat menjawab, Ya. Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, membunuh orang dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (riwayat Al-Bukhari)

Antara perbuatan yang dilarang ialah mencela atau mengejek ibu bapa orang lain. Ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutama yang masih bersekolah. Mencela atau mengejek ibu bapa orang lain dianggap sama seperti mencela ibu bapa kandung mereka sendiri. 

Baginda melarang perbuatan seperti ini kerana akan membawa kepada tabiat yang buruk dan tiada berkesudahan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara dosa besar adalah seorang mencela kedua orang tuanya. Para sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, Adakah seorang lelaki mencela orang tuanya? Beliau menjawab: Ya. Dia mencela bapa seseorang lalu orang tersebut (membalas) mencela bapanya, lalu dia mencela ibunya, lalu orang tersebut (membalas) mencela ibunya. (riwayat Muslim)

Umat Islam hendaklah menekankan didikan terhadap anak mereka mengenai adab terhadap ibu bapa sejak kecil lagi. Masalah derhaka kepada ibu bapa bukanlah sesuatu yang remeh. Sebaliknya ia hendaklah dibendung dengan menekankan aspek keagamaan seawal yang mungkin. Wallahua’lam.

Sumber: © Utusan Malaysia

Hijrah orang beriman


DUGAAN yang dihadapi oleh kaum Muslimin iaitu para sahabat Rasulullah SAW di Mekah ialah penyeksaan, maki hamun, celaan yang dilemparkan oleh kaum Musyrikin. Apabila mereka diberi keizinan berhijrah, maka satu dugaan lain pula yang melanda mereka iaitu dugaan meninggalkan tanah air, harta benda, rumah tangga dan alat-alat kelengkapan masing-masing. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka daripada golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 74-75)

Ibnu Jarir berkata: Mereka kembali kepada Rasulullah SAW dan golongan Muhajirin lantas mereka menolong untuk agama Allah SWT.

Ibnu Sa’di berkata: Ayat-ayat terdahulu menunjukkan akad perjanjian dalam memberi walad antara orang yang beriman dalam kalangan Muhajirin dan Ansar.

Sayyid Quthub berkata: “Syarat hijrah terus terbuka sehingga negeri di Mekah dikuasai Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas negeri Mekah dibuka oleh Islam dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW. 

Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya.

Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah SWT telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi dan kuasa hakimiyah telah kembali kepada Taghut di seluruh dunia dan manusia mulai tunduk kepada ubudiyah terhadap sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya. 

Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam dan hijrah. Kemudian naungan Islam terus mengembang dan meluas sekali dengan keizinan Allah SWT sehingga tidak ada lagi hijrah kecuali jihad dan beramal sebagaimana yang telah berlaku di dalam pusingan pertama.

Dalam menghadapi zaman pembinaan kewujudan Islam yang pertama, ia melaksanakan peraturan-peraturan dan tugas-tugas yang khusus dengan zaman itu, di mana kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya dan segala komitmen dan kehendak-kehendaknya termasuk saling mempusakai, saling bertakaful dalam bayaran diat dan denda-denda yang lain. 

Kemudian apabila kewujudan Islam ditegakkan pada hari Furqan atau hari peperangan Badar, maka peraturan-peraturan khas yang telah diadakan di zaman luar biasa seiring dengan proses pembinaan yang pertama di antaranya ialah peraturan pusaka dan takaful dalam bayaran diat itu dikembalikan semula kepada kaum kerabat tetapi dalam lingkungan masyarakat Islam di negara Islam.

Sumber: © Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...