Ahad, 7 April 2013

Video: Quranic Talks by Ustaz Nouman Ali Khan

The Qur'an : The Word of God 



Are You Abandoning the Quran?



Our Relationship with the Quran

 

Berbakti kepada al-Quran

PENGKAJIAN terhadap sejarah kehidupan ulama dalam bidang al-Quran dan penghayatan mereka terhadap al-Quran menginsafkan diri sendiri betapa jauhnya diri dengan al-Quran. Mereka menghabiskan banyak masa dengan al-Quran sama ada dalam pengajaran atau penulisan.

Syeikh Amir Sayyid Uthman umpamanya merupakan tokoh yang amat disegani dalam ilmu al-Quran pada zaman beliau. Diceritakan bahawa di mana sahaja kamu berjumpa dengan Syeikh Amir pasti kamu akan dapati ada seseorang di sampingnya sedang membaca al-Quran bertalaqqi daripadanya. Walaupun ketika beliau sedang menunggu teksi atau dalam kapal terbang pasti ada seorang murid membaca al-Quran di sisi beliau.

Ulama silam menghabiskan masa dengan menjadi khadam kepada al-Quran. Mulut mereka selalu membaca al-Quran walau di mana sahaja berada. Perkara ini amat berlainan dengan adat masyarakat kita yang selalu membaca al-Quran dalam program tertentu sahaja. Bahkan pada hari Jumaat, al-Quran tersimpan dengan rapi di rak-rak dalam ruangan masjid tanpa disentuh. Orang yang membacanya akan dipandang dengan pandangan yang pelik.

Berlainan pula pemandangan dengan masjid-masjid di Tanah Arab, terutamanya di Masjid Nabi dan Masjidil Haram Mekah. Satu jam sebelum khutbah semua rak-rak al-Quran kosong kerana al-Quran berada di tangan pembacanya. Orang yang datang lewat akan membawa al-Quran sendiri yang bersaiz poket. Dan orang yang tidak membaca al-Quran akan merasa aib dan malu kerana tidak membaca al-Quran lantaran semua orang membaca al-Quran.

Pada awal 80-an seorang tokoh ulama bernama Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi pergi ke Madinah al-Munawwarah sebagai pensyarah di Kuliah al-Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau amat alim dalam bidang Qiraat dan al-Quran menghasilkan karang yang menjadi rujukan dalam ilmu tajwid iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari.

Syeikh al-Mirsafi menjadi tumpuan pelajar untuk talaqi al-Quran dan qiraat. Selepas sesi pengajaran di universiti, ramai pelajar berkunjung ke rumahnya untuk bertalaqqi al-Quran. Sehingga dikatakan rumahnya sesak dengan pelajar dan mereka membaca seorang demi seorang sehingga lewat malam. Malah ketika beliau menjamah makanan ada pelajar yang membaca di sisi Syeikh al-Mirsafi.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi akan menghabiskan riwayat seseorang mengikut amalannya. Ibarat seorang guru yang berpesan kepada muridnya jika lori yang membawa sayur kemalangan maka bertaburanlah sayur di atas jalan dan jika lori yang membawa najis kemalangan maka bertaburanlah najis di jalan dan mustahil berlaku sebaliknya.

Syeikh al-Mirsafi yang menghabiskan masa harian beliau dengan mengajar al-Quran telah meninggal dunia ketika beliau mendengar al-Quran daripada bacaan seorang pelajarnya yang bernama Syeikh Bilal. Ketika Syeikh Bilal khusyuk membaca surah al-Mulk juzuk 29 pada ayat 12 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang takut dengan Tuhan mereka tanpa melihatnya bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar. Syeikh Mirsafi rebah dan meninggal dunia.
Lantaran itu, marilah sama-sama kita berbakti kepada al-Quran yang merupakan kitab Allah panduan kepada seluruh manusia. Membacanya membawa kepada rahmat dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. 

Peluang mendapat rahmat Allah SWT terbentang luas di hadapan kita, tepuk dada tanyalah iman. Semoga amalan yang kita lakukan itu memungkinkan kita termasuk dalam kalangan ahli al-Quran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sumber: Utusan Malaysia

Kebenaran janji Allah

dibincangkan pada siri yang lalu berkenaan dengan Ashab al-Kahfi yang tidur begitu lama dan tidak menyangka dalam tempoh yang panjang. Maka Allah SWT langsungkan lagi kisah mereka dengan persoalan sesama sendiri perihal jangka masa mereka tidur. Seterusnya, saranan supaya mencari rezeki dengan membeli makanan di pekan. 

Ayat ke-19: Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana Kami telah menidurkan mereka dan Kami bangkitkan mereka daripada tidur dalam keadaan badan, rambut dan kulit mereka tetap segar. Tiada kehilangan sedikit pun fizikal setelah tidur selama 309 tahun. Atas asas itulah mereka saling bertanya jangka masa sama ada sehari atau setengah hari. Hakikatnya Allah SWT mengetahui tempoh tersebut.

Al-Maraghi berkata: Kami menjadikan pemuda-pemuda itu tidur di dalam gua dengan memelihara jasad mereka daripada kerosakan. Pakaian mereka juga dipelihara daripada kehancuran meskipun bertahun-tahun lamanya dengan kekuasaan Kami. Lalu mereka dibangkitkan daripada tidur, supaya Kami memperkenalkan keagungan kekuasaan Kami dan keajaiban terhadap makhluk Kami supaya mereka semakin mengerti setiap urusan yang mereka alami. Iaitu berlepas dirinya mereka daripada menyembah berhala dan keikhlasan mereka beribadat kepada Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa kerana mereka mengetahui secara nyata sekian lama apa yang mereka alami, namun mereka masih tetap dalam keadaan seperti awal mereka tidur.

Akhirnya sebahagian daripada mereka bertanya kepada sebahagian yang lain. Ini disebabkan mereka tertanya-tanya kepada diri sendiri, sudah berapa lama mereka tidur.
Menurut Fakharudin al-Razi: Salah seorang daripada mereka menyuruh salah seorang antara mereka membawa wang dirham pergi ke kota Tursus.

Mereka berpendapat: Hadhihi, merupakan isyarat yang menunjukkan bahawa orang yang berkata tadi benar-benar membawa wang dirham supaya diterima oleh sebahagian sahabatnya, untuk menyempurnakan kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, orang yang keluar dari rumahnya dengan membawa dirham, bukan bererti dia tidak bertawakal kepada Allah SWT.

Hamka berkata: Perasaan mereka juga seperti baru tersedar daripada tidur, iaitu bahawa mereka dalam bahaya, sedang dikejar-kejar oleh kaki tangan raja. Oleh kerana mereka sudah terlalu lapar dan perlu mencari makanan, namun pada masa sama harus berwaspada kerana jika mereka diketahui, mungkin sesuatu buruk yang akan berlaku. 

Ayat ke-20: Ibnu Kathir berkata: Yang mereka maksudkan ialah para pengikut Daqyanus. Mereka bimbang para pengikut Daqyanus menemui tempat persembunyian mereka. Kerana mereka akan terus diseksa dengan pelbagai seksaan sampai mereka kembali kepada agama asal ataupun mati. Dan jika mereka setuju untuk kembali kepada agama mereka semula, maka tidak ada keuntungan bagi mereka di dunia dan di akhirat.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya orang kafir itu apabila mengetahui tempat kamu, sudah pasti mereka akan membunuh kamu dengan melempar batu-batu lantaran kamu tidak berganjak daripada keimanan kepada-Nya. Hukuman seperti itu merupakan hukuman yang dilakukan pada zaman dahulu terhadap orang yang menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan anutan kebanyakan orang sama ada dalam masalah agama mahupun politik yang mempengaruhi keadaan negara.

Mungkin juga mereka akan memaksa kamu untuk kembali kepada agama bapa-bapa mereka. Apabila kamu menganut agama kerana paksaan atau dipaksa sudah pasti kamu tidak akan memperoleh kebaikan di dunia dan di akhirat. 

Ayat ke-21: Ibnu Kathir berkata: Kami perlihatkan mereka yakni Ashab al-Kahfi kepada umat manusia.

Sayid Qutub berkata: Titik pengajaran daripada penghabisan kisah anak-anak muda itu ialah ia mengemukakan dalil bagi kebangkitan selepas mati dengan satu contoh yang berlaku di alam nyata yang dapat dilihat dan difaham secara dekat. 

Kisah ini dapat memudahkan manusia memahami persoalan kebangkitan selepas mati dan meyakinkan mereka bahawa janji Allah SWT itu benar dan hari kiamat itu tidak diselubungi sebarang keraguan.

Beginilah Allah SWT membangkitkan pemuda-pemuda itu daripada tidur mereka dan mendedahkan hakikat mereka kepada kaum mereka. 

Manakala maksud masjid di sini ialah tempat ibadat mengikut adat orang Yahudi dan orang Kristian yang mendirikan rumah-rumah ibadat di atas kubur para nabi dan wali.
Ibnu Jarir menukilkan dua pendapat berkenaan orang yang mengungkapkan hal tersebut:
lMereka adalah orang Islam di kalangan mereka.
lMereka adalah orang musyrik di antara mereka.

Ayat ke-22: Ibnu Kathir berkata: Allah SWT merakamkan berkenaan dengan pendapat yang pelbagai isu bilangan Ashab al-Kahfi. Dinyatakan tiga pendapat kemudian Dia melemahkan dua pendapat pertama dengan firman-Nya: Mereka secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui.

Mengikut pendapat yang paling kuat jumlah mereka seramai tujuh orang. Inilah riwayat Ibnu Jarir daripada Ata' al-Khurasani dan Ikrimah daripada Ibnu Abbas RA.

Penulis terpanggil dengan ulasan yang menarik yang dikemukakan oleh Sayid Qutub antara lain berkata: Titik pengajaran daripada kisah mereka adalah tercapai sama ada dengan bilangan yang sedikit atau dengan bilangan yang banyak. 

Oleh sebab itulah al-Quran al-Karim mengarahkan Rasulullah SAW supaya meninggalkan perdebatan mengenai perkara ini dan supaya jangan bertanya kepada sesiapapun daripada para pendebat itu mengenai kedudukan penghuni-penghuni gua itu. 

Arahan ini sesuai dengan metodologi Islam yang mahu memelihara daya tenaga akal daripada dibuang percuma di dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah. Ia juga supaya seseorang itu tidak mengikuti sesuatu yang tidak diketahuinya dengan penuh keyakinan. 

Peristiwa Ashab al-Kahfi yang telah digolongkan di zaman itu adalah daripada perkara-perkara ghaib yang terserah kepada ilmu Allah SWT. Oleh itu hendaklah beliau tinggalkan sahaja perkara ini kepada ilmu Allah SWT.

Sumber: Utusan Malaysia

Agama Kisah dalam al-Quran sumber motivasi

Firman Allah SWT: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui.” (Surah Yusuf, ayat 3)

Kisah yang dipaparkan oleh al-Quran adalah sebahagian daripada tanda mukjizat kerana ia menceritakan mengenai umat terdahulu bersama rasul-rasul mereka yang sebahagian besar tidak diketahui dan sudah luput daripada ingatan manusia kini. 


Tambahan, kisah diceritakan dalam al-Quran juga adalah peristiwa yang sudah berlaku untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kisah itu sebahagian sejarah yang menjadi sumber kekuatan dan suntikan motivasi kepada Rasulullah SAW mengharungi perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Al-Quran hidupkan kembali abad silam
Apabila al-Quran menceritakan sesuatu, ia dapat menghidupkan kembali abad yang silam sehingga seolah-olah dapat didengar hingar-bingar di hujung telinga pertentangan antara kebenaran dan kebatilan laksana rakaman yang berfungsi untuk mengembalikan segala peristiwa berlaku dalam sejarah umat manusia.


Firman Allah Taala: “Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian daripada kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab al-Quran yang menjadi) peringatan.” (Surah Taha, ayat 99)


Kisah manusia pertama iaitu Nabi Adam disebut dalam lapan surah berbeza untuk memberi pengajaran kepada kita mengenai pelbagai kisah bermula daripada latar belakang penciptaan Adam, ujian dilalui ketika berada di syurga, taubat nabi Adam hingga perjuangan Baginda dan Hawa di dunia. 


Satu fakta menarik mengenai al-Quran ialah apabila Allah SWT membawa kisah berkenaan dengan manusia sama ada yang Mukmin atau kafir, Dia tidak menjelaskan siapakah nama sebenar manusia itu seperti apabila disebut Firaun iaitu Pemerintah tertinggi di Mesir ketika itu.


Utamakan iktibar di sebalik kisah

Begitu juga apabila disebut kisah Zulqarnain, Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan lain-lainnya. Al-Quran tidak menerangkan siapakah mereka. Ini bertujuan supaya manusia tidak menyibukkan diri dan menghabiskan masa mengkaji tokoh itu dan lupa tujuan lebih penting iaitu untuk mengambil iktibar daripada kisah berkenaan.


Kisah keangkuhan manusia turut dipaparkan dalam al-Quran antaranya pembesar daripada kaum Aad pernah berkata dengan angkuh, siapakah yang lebih kuat daripada mereka. Ini kerana mereka mampu memperlihatkan keupayaan dalam pembinaan istana yang tinggi dengan benteng kukuh sebagai lambang kemegahan, kesenian, keindahan dan kekuatan mereka.


Isyarat jawapan al-Quran adalah jelas iaitu Allah SWT memudahkan untuk orang yang beriman segala apa yang ada di bumi. Mereka tidak ditegah membina bangunan sebanyak dan setinggi mana, tetapi yang penting ialah bangunan itu mesti dibina atas ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.


Bukan atas kesombongan dan pengabdian diri kepada kehidupan dunia serta mengambil hak orang lain secara batil.


Al-Quran juga memaparkan kisah tabiat manusia yang menolak kebenaran seperti dakwah Nabi Nuh kepada kaumnya. Kisah ini diceritakan Allah SWT melalui firman-Nya: “Ketika saudara mereka Nabi Nuh, berkata kepada mereka: Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutlah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah As-Syuara’, ayat 106-108)


Kaum Nabi Nuh tidak memikirkan persoalan pengabdian diri yang mutlak kepada Allah SWT, apa yang mereka fikirkan hanyalah kepentingan diri, kedudukan dan harta benda serta kemegahan ingin dipamerkan.


Orang bijak jadi pesaing

Mereka merasakan dakwah yang disampaikan itu menyebabkan Nabi Nuh akan mengatasi mereka dari segi kedudukan dan jumlah pengikut. Resmi orang sebegini ialah mereka menganggap orang yang bijak akan menjadi pesaing.


Justeru, mereka akan memusuhi orang yang akan bakal menjejaskan kuasa dan kedudukan mereka. Ajaibnya tohmahan seperti ini sentiasa berulang di setiap zaman dan tempat termasuk turut berlaku kepada Rasulullah SAW bahkan akan dihadapi semua pejuang kebenaran di sepanjang zaman.


Sehubungan itu pelbagai kisah terus dihidangkan oleh al-Quran umpamanya kisah Nabi Yusuf, kisah paling lengkap diceritakan oleh al-Quran bermula ketika Baginda masih kecil, hasad dengki yang berlaku dalam keluarga, peristiwa membuang Baginda ke dalam perigi, fitnah moral seterusnya kisah Baginda dipenjara tanpa apa-apa kesalahan dan jenayah.

Penulis dan ulama terkenal Arab Saudi, Dr Aidh Qarni menyifatkan Nabi Yusuf sebagai banduan teragung dalam sejarah dunia dan beliau menulis secara khusus mengenai kisah Nabi Yusuf dari awal hingga akhir.


Al-Quran juga menceritakan bagaimana Nabi Yusuf menghadapi semua itu dengan cekal dan tabah terhadap setiap fitnah serta perancangan jahat sehingga akhirnya kemenangan dan kemuliaan menyebelahi baginda.


Walaupun setelah kebenaran dan kemenangan berpihak kepada Nabi Yusuf, Baginda menunjukkan akhlak kenabian iaitu memaafkan kesilapan orang yang pernah melakukan kezaliman kepadanya.


Perkara sama dilakukan oleh Rasulullah SAW iaitu memberi kemaafan kepada kaumnya pada tahun Fathul Makkah. Baginda SAW mengisytiharkan di hadapan kaum Quraisy pada waktu itu dengan membaca firman Allah SWT dari Surah Yusuf di atas.


Menjadi satu keperluan kepada kita untuk menjadikan kisah-kisah al-Quran sebagai sumber motivasi dalam menjalani kehidupan, pengubat kepada kesedihan, penyembuh kepada keperitan ujian hidup, peneguh jiwa dan hati serta penunjuk kepada jalan yang lurus.


Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources


Sumber: Berita Harian

Pemantapan al-Quran

TIDAK seperti penerbitan bahan-bahan yang lain, penerbitan al-Quran memerlukan komitmen yang tinggi, fokus mendalam serta kerjasama yang mantap daripada pelbagai pihak.
Dalam bidang penerbitan al-Quran yang semakin mencabar dan penuh penelitian, usaha itu memerlukan disiplin dan kegigihan agar kesucian kitab suci itu terpelihara dan terjaga. Malah pelaksanaan berkenaan sebenarnya untuk membantu masyarakat membaca al-Quran dengan betul.

Sehubungan itu, pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. ingin mengetengahkan produk terbaru iaitu al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' bersaiz kecil bagi merancakkan lagi penulisan al-Quran tanah air.

Jika sebelum ini Telaga Biru mengeluarkan al-Quran dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' bersaiz 214 milimeter x 292 milimeter tetapi terbaru yang bersaiz 135 milimeter x 192 milimeter dijual pada bernilai RM55 ini dilihat lebih mesra pengguna. 

Seperti sedia maklum di dalam al-Quran, terdapat ayat-ayat yang agak panjang dan memerlukan nafas yang panjang untuk dihabiskan. Rata-rata masyarakat kita pada hari ini tidak dapat menamatkan ayat tersebut dengan satu nafas sahaja, mungkin memerlukan tiga atau empat kali berhenti untuk menamatkan ayat tersebut.

Oleh itu, konsep di dalam al-Quran ini meletakkan cara-cara bagaimana untuk berhenti pada mana-mana kalimah dan di mana tempat yang sesuai untuk memulakan kembali bacaan tersebut dengan menggunakan warna.

Dalam bacaan al-Quran, terdapat kaedah dan tempat tertentu untuk memberhentikan dan memulakan bacaan dengan betul. Kita tidak boleh memberhentikan bacaan dan memulakannya semula sesuka hati dan di mana-mana tempat.

Sekiranya kita berbuat demikian, dibimbangi akan merosakkan makna sesuatu ayat, seterusnya melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika membaca al-Quran.

Perlakuan ini akan dinilai sebagai dosa di sisi Allah sekiranya kita tidak mempelajarinya dan boleh mengundang kemurkaan-Nya. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang dinyatakan oleh isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah bermaksud: "Berapa orang daripada pembaca yang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknat pembacanya."

Walaupun dalam al-Quran sudah terdapat tanda-tanda waqaf yang sedia ada, namun masih banyak ayat panjang yang memerlukan tempat berhenti yang betul dan cara memulakannya semula tanpa merosakkan maknanya.

Konsep ini diolah bukan untuk menyaingi tanda-tanda bacaan sedia ada, apatah lagi menafikannya. Sebaliknya, untuk memberi panduan kepada pembaca yang ingin memberhentikan bacaan dan memulakannya kembali pada ayat-ayat tertentu tanpa merosakkan maknanya.

Konsep itu digarap oleh dua tenaga pakar iaitu Tan Sri Hassan Azhari yang merupakan tokoh qari tanah air dan ahli akademik, Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Hassan Azhari yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini.

Gabungan kepakaran dan pengalaman mereka berdua dapat diterjemahkan melalui penerbitan Al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' ini. Malah ia juga telah mendapat penilaian dan penelitian daripada bekas Pengerusi Lembaga Tashih al-Quran Mesir, Syeikh Mahmud Amin Tantawi yang merupakan mantan Pengerusi Lembaga Tashih al-Quran Mesir.

Untuk makluman, al-Quran ini merupakan satu panduan di dunia dan Malaysia yang telah digunakan oleh para qari pada Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa pada 2012 dan bakal digunakan tahun ini juga.

Orang ramai boleh memilih sama ada warna biru atau merah jambu. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.telagabiru.net.my atau hubungi 03-6275 4070.

Sumber: Utusan Malaysia 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...