RAMADAN turut disebut sebagai Syahrul Quran kerana padanya diturunkan
al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar kepada Rasulullah s.a.w.
Ia berbeza dengan mukjizat Rasulullah yang lain kerana al-Quran
tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Antara mukjizat al-Quran
ialah bahasanya indah dan tinggi, susunan bahasa yang baik, ilmu
pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan
lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta.
Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat
setanding al-Quran. Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam
kehidupan seharian pasti akan rasa bahagia.
Rasulullah bersabda
yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan
datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis
Riwayat Muslim).
Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran.
Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila
kalam suci itu mengubah kehidupan umat Arab daripada masyarakat jahiliah
kepada umat bertamadun.
Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya
menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah selepas
mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.
Keajaiban al-Quran
dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk
Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah
berniat membunuh Nabi Muhammad.
Detik perubahan Umar berlaku
selepas beliau menghayati beberapa ayat daripada Surah Taha ketika pergi
ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.
Agak pelik, kenapa kita begitu sukar untuk membaca al-Quran walaupun hanya sepotong ayat?
Sedangkan bahan bacaan santai lain termasuk novel remaja malah karya
agung penulis Barat boleh dibaca dan dihabiskan dalam tempoh singkat?
Al-Quran bukan untuk dijadikan perhiasan di dalam rak kaca di rumah
semata-mata tetapi wajib menjadi perhiasan diri setiap Muslim. Jangan
hanya tunggu ketika ditimpa penyakit atau ada yang meninggal dunia, baru
hendak buka dan baca al-Quran.
Kepentingan mempelajari dan
membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan
lagi kerana al-Quran mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.
Kebenaran yang tidak dapat disangkal, mereka yang membaca al-Quran
pastinya terhindar daripada dibelenggu keresahan, kesempitan malah
mereka dapat sumber kekuatan dan ketenangan daripadanya.
Semakin
banyak membaca dan mendengar al-Quran, jiwa pasti terpikat dan seronok.
Rasulullah sendiri menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan
isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.
Golongan yang
menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi
ganjaran pahala oleh Allah. Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman,
Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca
al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.
Umat Islam mesti yakin
al-Quran mampu menjadi penawar kepada segala jenis penyakit rohani dan
jasmani yang melanda masyarakat Islam hari masa kini.
Sempena
Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau
belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong.
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti
Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, al-Quran
adalah kalamullah (titah perintah Allah) yang diturunkan kepada
Rasulullah secara berperingkat selama 23 tahun.
“Wahyu al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah ayat
1-5 surah al-’Alaq. Majoriti ulama berpendapat, penurunan wahyu pertama
pada 17 Ramadan, dan tarikh itulah yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran
(Penurunan al-Quran).
Firman Allah yang bermaksud: “Bulan
Ramadan diturunkan padanya al-Quran sebagai huda (petunjuk) bagi manusia
dan bayyinah (penjelasan) daripada petunjuk dan furqan (pemisah).”
(Surah al-Baqarah, ayat 185).
“Apabila tiba tarikh 17 Ramadan,
kita bukan sekadar digalakkan memperingati sirah Rasulullah, sebaliknya
perlu menghitung diri kerana masih mempunyai tugas besar berkaitan
al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, terdapat ramai kalangan anak muda yang tidak tahu membaca al-Quran.
“Bagi yang kenal huruf dan tahu membaca pula, mereka masih lagi di
tahap peringkat merangkak serta tidak lancar bacaannya. Maka menjadi
tanggungjawab semua untuk membimbing generasi akan datang supaya tidak
terus digelar generasi ‘buta al-Quran’.
“Al-Quran amat istimewa. Membaca al-Quran juga dikira sebagai ibadah yang pahalanya amat istimewa.
“Sesiapa yang membaca al-Quran, akan dianugerahkan pahala berlipat
ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti yang dijelaskan Rasulullah
dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada
al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu
nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif
Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf
dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).
“Remaja
khasnya, perlu diisi dengan ‘santapan rohani’ supaya hati sentiasa kuat
dan tidak mudah goyah dengan cabaran dan fitnah semasa,” katanya.
Katanya, apabila banyak mengingati Allah dan membaca al-Quran, hati
akan sentiasa tenang, malah dapat membina jati diri yang kental.
“Apabila dapat dilaksanakan, pasti akan mewujudkan masyarakat terbaik.
Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah,
tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal soleh beroleh
kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang
sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d , ayat 28-29).
“Saya
berpendapat, usaha membendung masalah buta al-Quran di kalangan remaja
perlu bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan
anak mereka diberi didikan agama seawal usia muda,” katanya.
“Ibu bapa perlu menetapkan masa untuk mengajar anak mengaji al-Quran.
Amalan ini perlu diadakan setiap hari atau setidak-tidaknya tiga kali
dalam seminggu.
“Masa paling sesuai ialah apabila selesai
menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah di rumah. Bagi ibu bapa
yang tidak berkesempatan, elok hantar anak mereka belajar al-Quran
dengan guru.
“Rasulullah berpesan, rumah perlu dihiasi dengan
bacaan al-Quran supaya mengundang rahmat, keberkatan dan perlindungan
daripada Allah buat seisi keluarga.
Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).
“Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menonton rancangan
televisyen yang mempunyai unsur mendidik dan pengajian al-Quran seperti
Qari Junior, Adik dan al-Quran, Tanyalah Ustaz, Pesan Atok, Iqra’.
“Media massa turut memainkan peranan besar dalam usaha membasmi masalah buta al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, usaha kerajaan menganjurkan program berkaitan jawi,
al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-QAF) yang diajar di sekolah
rendah wajar dimanfaatkan semua pihak.
“Matlamat yang digariskan
dalam program j-QAF adalah untuk melatih anak dan remaja membaca
al-Quran dengan sempurna, memberi kefahaman mengenai isi kandungan
al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam
kehidupan seharian.
“Usaha memperkasa tulisan jawi di kalangan pelajar mampu memberi impak
besar dalam proses celik al-Quran. Di sebalik tanggungjawab itu, kita
ditawarkan ganjaran besar sama ada bagi yang menjadi pengajar atau
pelajar al-Quran,” katanya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan
mengajarnya” (Hadis riwayat al-Bukhari).
“Seseorang pastinya
tidak mampu memahami isi kandungan al-Quran jika mereka tidak boleh
membacanya. Membaca al-Quran bukan perkara remeh, ia menggambarkan
betapa kita yakin dan beriman dengan kitab suci ini,” katanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang telah Kami berikan al-Kitab
kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu
beriman kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah
orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121).
Sumber: Hmetro