Sabtu, 28 Julai 2012

Al-Quran Biru

AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.

Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah diwarnakan dengan pewarna biru. 

Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.

Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.

Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.
Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi mendapatkan warna biru gelap.

Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan. 

Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang. Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.
Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna emas. 

Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris dan titik. 

Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah.

Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.

Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba. Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 - 10 Masihi di Afrika Utara. Ia merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri Al-Quran dan Manuskrip.

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 26 Julai 2012

AL-Quran bukan bait-bait syair


Firman Allah SWT:



Maksudnya: “(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang kami wahyukan kepadanya ini tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan kitab suci yang memberi penerangan. (Yasin: 69)


HURAIAN
Menerusi ayat ini Allah SWT menafikan dengan tegas bahawa Rasulullah SAW diajar syair. Jika Allah tidak mengajarnya, maka sudah tentu baginda tidak akan tahu, kerana seseorang rasul itu tidak mengetahui sesuatu melainkan apa yang diajarkan Allah kepadanya. Allah turut menafikan kesesuaian syair dengan Rasulullah SAW. 


Syair mempunyai metodologi yang berlainan daripada nubuwah. Syair mengandungi perasaan keharuan(emosi) sedangkan perasaan itu berubah-ubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Sebaliknya nubuwah merupakan wahyu yang berlandaskan metodologi yang tetap dan jalan yang lurus. Ia tidak berubah-ubah mengikut hawa nafsu berbanding syair yang sifatnya sentiasa berubah berlandaskan pelbagai cetusan emosi.


KESIMPULAN
Al-Quran bukanlah bait-bait syair bahkan merupakan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang penyair. Dakwaan kaum Musyrikin yang menyifatkan Nabi SAW sebagai seorang penyair adalah tuduhan yang tidak berasas kerana sejarah membuktikan bahawa kaum musyrikin (manusia) tidak mampu menyusun atau membawa ayatayat yang sebanding dengannya.


Sumber: Artikel Tafsir Jakim

Selasa, 24 Julai 2012

Khamis, 19 Julai 2012

Al-Quran lengkap tanda berhenti


Rauf bersama bapanya Hassan menunjukkan al-Quran 
dihasilkan dengan panduan waqaf dan ibtiqa’ dengan betul. - Berita Harian


Pensyarah perkenal kaedah baca kalamullah 

Saya minum susu. Kambing dalam cawan. Inilah akibatnya jika tidak tahu di mana hendak berhenti dan memulakan ayat. Ayat sebenarnya ialah ‘saya minum susu kambing dalam cawan’. Akhirnya, ayat itu tergantung atau tidak menyampaikan maksud sebenarnya. Sama jugalah apabila kita salah berhenti ketika membaca ayat al-Quran hingga mengubah makna ayat. Lebih bahaya jika ayat itu membabitkan iktikad dan jika dibaca salah maknanya boleh jadi haram serta merosakkan iktikad. Contohnya, ayat ‘Masih anak Allah’, tidak boleh berhenti di situ. 

Oleh itu, selain mengetahui cara membaca dengan hukum tajwid yang betul, umat Islam perlu berhati-hati dengan tempat berhenti (waqaf) dan hendak memulakan ayat (ibtida’) apabila membaca ayat suci al-Quran. 

Pentingnya ilmu waqaf ini mencetuskan idea kepada pensyarah Jabatan Bahasa Asing Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Tan Sri Hassan, menghasilkan Al-Quran Al-Karim Dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’. 

“Dulu saya pernah lihat al-Quran kakak saya, Mastura, ada tanda kurungan pada ayat tertentu yang membawa maksud tempat berhenti dan di mana dia hendak memulakan ayat. Itu cara beliau memastikan tidak melakukan kesilapan ketika berhenti dan dari mana pula hendak mula. 
“Oleh itu, saya terfikir alangkah baiknya jika ada al-Quran mempunyai tanda tempat berhenti dan memulakan bacaan. Al-Quran sedia ada memang mempunyai tanda berhenti, tetapi pada ayat panjang, ia menyukarkan mereka yang bernafas pendek. 

“Itu juga antara sebabnya mendorong saya menghasilkan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtida’. Tambahan, kebanyakan umat Islam tidak fasih berbahasa Arab dan mengetahui makna perkataan Bahasa Arab. 

“Cuma tiga tahun lalu, perkara itu mendapat perhatian serius dan saya mula memikirkan kaedah terbaik menghasilkan al-Quran yang mempunyai tanda tempat berhenti serta memulakan bacaan,” katanya. 

Warna kepada ayat sesuai waqaf 

Pendekatan terbaik difikirkan ialah dengan memberi warna kepada ayat sesuai untuk berhenti membaca dan ayat sesuai memulakan semula bacaan. Beliau melakukan percubaan pada 20 ayat dalam surah al-Baqarah. 

Warna merah menunjukkan boleh berhenti pada akhir ayat dan memulakan bacaan pada awal ayat berwarna merah. Warna hijau adalah perhentian kedua dan bagi yang nafas panjang boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna hijau, memulakan bacaan pada awal perkataan berwarna hijau. 

Warna biru pula, boleh berhenti pada akhir perkataan berwarna biru dan memulakan bacaan pada perkataan selepasnya. Ketiga-tiga warna itu menjadi petunjuk kepada pembaca supaya memberhentikan bacaan di tempat yang betul. 

Selepas itu, hasilnya ditunjukkan kepada beberapa rakan yang teruja dengan kaedah itu serta mengalu-alukan penghasilan al-Quran dengan panduan waqaf dan ibtiqa’. Hanya selepas yakin, barulah ditunjukkan kepada ayahandanya, tokoh ilmu al-Quran terkemuka, Tan Sri Hassan Azhari. 

Hassan yang turut hadir pada sesi pertemuan itu memberitahu, awalnya beliau menentang hasrat anaknya itu dengan alasan tidak akan mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Bagaimanapun, selepas diterangkan bahawa warna digunakan untuk menunjukkan tempat berhenti dan memulakan bacaan itu tidak akan menjejaskan langsung tulisan huruf al-Quran, barulah cadangan dikemukakan anak bongsunya dipersetujui. 

Hassan jadi rujukan 

Malah, Hassan yang menjadi tempat rujukan memberi sepenuh komitmen membantu merealisasikan penghasilan al-Quran waqaf dan ibtida’ kerana sebagai salah satu cabang ilmu al-Quran, ia boleh dikatakan yang paling sukar dikuasai. 

“Orang belajar mengaji akan tanya nak berhenti dan ambil dari mana. Hendak jawab secara spontan pun susah juga. Malah, hakim tilawah ramai yang tidak mahu jadi hakim waqaf ibtida’,” katanya yang berpengalaman selama 52 tahun sebagai hakim tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



Sumber: Berita Harian

Selasa, 17 Julai 2012

Bertadarus sepanjang Ramadan

Berazam tingkat bacaan dan hayati kalamullah

Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, kita mendapati bahawa Rasulullah amat menitikberatkan ibadat pembacaan al-Quran dan mengutamakan ia apabila masuk Ramadan. Ibnu ‘Abbas ra berkata “Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Melalui hadis ini Imam Ibnu Rejab menyatakan disunatkan seseorang itu mempelajari al-Quran pada Ramadan di samping mengajak manusia lain bersama-sama membacanya dan disunatkan juga untuk memperdengarkan bacaan kepada mereka yang lebih elok bacaannya. 

“Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran pada waktu malam kerana pada waktu itu adalah masa yang tenang untuk jiwa manusia melakukan ibadat dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya ibadat pada waktu malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih baik bacaannya.” (Surah al-Muzzammil ayat enam).

Dalam hadis lain puteri Baginda iaitu Fatimah ra menceritakan bahawa Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril sekali dan pada tahun kewafatan baginda bertadarus bersama Jibril dua kali.”(HR Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Melalui contoh ditunjukkan Rasulullah ini, maka sahabat dan ulama silam berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama pada malam sepanjang Ramadan. Diceritakan bahawa bumi Madinah al-Munawwarah pada malam Ramadan dihiasi dengan alunan merdu bacaan al-Quran oleh sahabat. 
Mereka memperbanyakkan dan memperelokkan bacaan al-Quran disamping menghayati maknanya, lantas dipraktikkan penghayatan itu dalam kehidupan harian mereka sebagai hamba Allah SWT. 

Imam Nawawi menyatakan antara sahabat yang memperbanyakkan bacaan al-Quran adalah Uthman bin ‘Affan, Tamim al-Daariy dan Said bin Jubair yang mana mereka khatam al-Quran dalam solat mereka di hadapan Kaabah pada setiap rakaat solat mereka. 

Diceritakan juga Imam Syafi’e khatam al-Quran pada Ramadan sebanyak 60 kali. Dalam Kitab ‘Aun al-Ma’bud dinyatakan bahawa ada di kalangan salafussoleh khatam al-Quran setiap sebulan, dua puluh hari, sepuluh hari, seminggu, tiga hari dan sehari.

Bukankah terdapat larangan mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari?
Dalam hadis Nabi SAW bersabda : “Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud). 

Jika kita melihat daripada mafhum hadis ini maka kita akan dapati bahawa khatam al-Quran kurang daripada tiga hari seolah-olah dilarang Nabi Muhammad SAW. 

Dalam menjawab persoalan ini Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata: “Telah diriwayatkan golongan salafussoleh bahawa mereka mengkhatam al-Quran lebih cepat daripada tiga hari. 

Namun, larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan kepada pengharaman. Justeru, khatam al-Quran bergantung kepada situasi sahabat dan ulama terdahulu. Namun Imam Nawawi menyatakan bahawa kebanyakan salafussoleh akan khatam al-Quran setiap daripada tujuh hari iaitu selama seminggu. 

Perlulah untuk kita semua membaca al-Quran dengan penuh sopan dan tertib. Seelok-eloknya bacalah dengan adanya tadabbur, iaitu dengan menghayati setiap ayat-ayat al-Quran itu. 

Walaupun sahabat mampu mengkhatam al-Quran dalam masa satu hari, tetapi mereka membacanya dengan tadabbur iaitu faham dan menghayati makna ayat tersebut. Bagi sebahagian kita yang tidak memahami Bahasa Arab dan tidak faham isi kandungan al-Quran maka sewajarnya kita mengubah cara pembacaan kita. 

Jika sebelum ini kita hanya membaca al-Quran tanpa mengetahui maknanya, maka bermula pada Ramadan kali ini cubalah untuk memahami maknanya dengan melihat terjemahan al-Quran. 

INFO: Jadual baca al-Quran 

  • Masa khas membaca. Gunakan waktu terluang pada Ramadan ini terutama selepas solat fardu. Jika mampu mengkhatam 30 juzuk al-Quran, maka itu adalah lebih baik.
  • Masa untuk tadabbur al-Quran. Disarankan membaca terjemahan mahupun tafsir al-Quran. Bagi mereka sibuk dengan kerjaya cukuplah hanya membaca terjemahan al-Quran satu muka sehari secara konsisten.
  • Menggunakan masa mengulangi hafalan al-Quran. Gunakan waktu antara selepas bersahur hingga masuk Subuh untuk mengulangi hafalan surah lazim dan pendek.

  • Sumber: Berita Harian

    Ahad, 15 Julai 2012

    Al-Quran sebagai sumber ilmu, panduan hidup

    Membaca dan beramal dengan kitab suci pelihara kesucian hati

    Soalan: Ramadan makin hampir dan Ramadan adalah bulan al-Quran. Malangnya, setiap kali Ramadan saya tidak pernah khatam al-Quran. Mohon ustaz dapat beri motivasi supaya saya dapat khatam al-Quran pada Ramadan ini.
    "Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.” - Surah al-Hijr. Ayat 9
    INTAN,
    Kuala Terengganu.


    Jawapan:

    Apabila kita menyedari kita seorang Muslim, kita juga perlu menyedari orang Islam ini memiliki kitab suci yang perlu dibaca, difahami dan diamalkan sebagai panduan hidup. Perlu diingat, Allah SWT mengurniakan nikmat ke atas hamba-Nya dengan mengutuskan Nabi-Nya (Muhammad SAW) dan menurunkan kitab-Nya.

    Al-Quran tiada sebarang kebatilan sama ada dari hadapan atau belakang sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil iktibar atau contoh teladan daripadanya kerana al-Quran mengandungi banyak cerita dan berita.

    Dengan adanya al-Quran, nyata teranglah bagi umat manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus harus dilalui kerana dalamnya terdapat pelbagai hukum yang membezakan antara halal dengan haram.

    Al-Quran laksana cahaya yang menerangkan, dengannya manusia akan terselamat daripada kemegahan diri, sebagai penawar mengubati segala jenis penyakit bersarang dalam hati. Sesiapa yang berpegang teguh dengan al-Quran, nescaya ia akan terbimbing untuk mendapat petunjuk.

    Sesiapa mengamalkan kandungannya, nescaya ia akan berjaya dan bahagia. Allah SWT berfirman:

    “Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

    Antara sebab menentukan terpeliharanya al-Quran dalam hati sanubari dan mashaf adalah mengamalkan pembacaannya selalu dan mendalami maksudnya terus-menerus dengan memerhatikan adab serta syaratnya. Kemudian menurut arahan terkandung di dalamnya.

    Nikmat besar yang perlu disyu-kuri iaitu diberi kelapangan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran.

    Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca al-Quran, kemudian mendapati ada orang lain yang dikurniakan keutamaan selain dari apa yang Allah telah kurniakannya, maka sebenarnya ia telah memperkecilkan sesuatu yang dibesarkan oleh Allah SWT.”

    Ibnu Mas’ud berkata: “Sekiranya anda inginkan ilmu pengetahuan, maka pelajarilah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu mengandungi ilmu para ahli terdahulu dan yang terkemudian.”

    Amru Ibnul ‘As pula berkata: “Sesiapa membaca al-Quran, maka sebenarnya telah ada bersamanya darjat kenabian, hanya dia tiada diturunkan wahyu saja.”

    Rasulullah SAW mencela orang membaca al-Quran, padahal mereka lalai un-tuk melaksanakan pengajarannya. Rasulullah
    SAW bersabda: “Tiada dikira beriman dengan al-Quran orang yang menghalalkan segala larangannya.”

    Sebahagian ulama berkata: “Sesungguhnya seorang hamba itu akan membaca al-Quran, dan ia akan melaknat dirinya, sedang ia tidak sedar akan kelakuannya. Iaitu apabila ia membaca: ‘Awas! Laknat Allah ditimpakan ke atas orang yang zalim’ padahal orang itu berlaku zalim terhadap manusia.

    Ataupun dia membaca: “Awas! Laknat Allah ditimpakan ke atas orang yang berdusta’, padahal dia selalu berdusta.

    Sumber: Berita Harian

    Rujukan khatam sebulan sempena Ramadhan

    Rujukan dan tips untuk khatam al-Quran sempena Ramadhan

    Sila klik utk besarkan. Tak buat fancy sgt..
    Printable & easy to eyes. hehehe



    Sila klik di sini utntuk panduan Khatam al-Quran

    Sabtu, 14 Julai 2012

    Milik qari kita


    KUALA LUMPUR: Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).

    Anuar yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran, Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus). Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti markah diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.

    Hasnae menewaskan qariah Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka. Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu. Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.

    Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila dinobatkan sebagai juara.

    "Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.

    Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan serta dorongan kepadanya.

    "Semua ini ketentuan Allah serta berkat doa keluarga dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian Islam menerusi penterjemah.
    Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria. Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid. Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama

    Sumber: HMetro

    Sifat sombong bunuh produktiviti

    Suasana, budaya kerja muhibah mampu bendung sifat tercela

    Minggu lalu saya sentuh ciri pertama hamba Allah SWT yang baik lagi beriman seperti difirmankan dalam surah al-Furqan, iaitu tidak sombong. Kali ini penulisan menjurus kepada sifat sombong yang disebut beberapa kali dalam al-Quran. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong.” (Surah al-Nahl, ayat 23). Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat setitik kesombongan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih) 

    "Maka masukilah pintu- pintu neraka jahanam, kamu kekal di dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang yang menyombongkan diri itu." - Surah al-Nahl, Ayat 29
    Kesombongan menyebabkan keingkaran terhadap perintah Allah SWT, sekali gus membawa kepada kekufuran seperti kisah kesombongan iblis dan penghinaannya terhadap Nabi Adam. 

    Sifat ini juga boleh membawa kepada kebinasaan apabila hubungan dan suasana persekitaran tidak dibina berasas nilai hormat menghormati dan saling kasih mengasihi. Justeru, impak negatif kesombongan perlu dilihat dari pelbagai aspek, termasuk kesombongan dalam bekerja yang menjejaskan nilai kehidupan.

    Antara ciri kesombongan seperti membanggakan diri, menganggap diri lebih baik daripada orang lain, menghina dan memandang rendah, memperkecilkan usaha orang lain, enggan menerima pakai pandangan walaupun benar hanya kerana ia disuarakan oleh pekerja bawahan.

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Seseorang akan dianggap melakukan keburukan apabila dia menghina saudara Muslimnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim). 
    Penyakit bunuh silaturahim

    Kesombongan adalah penyakit yang boleh melunturkan dan membunuh semangat silaturahim menyebabkan usaha menzahirkan suasana kerja dan budaya organisasi muhibah sukar direalisasi.

    Membina suasana harmoni dan muhibah di tempat kerja bukan saja dengan menerapkan nilai murni yang ditekankan dalam kalangan warganya, tetapi usaha menghindarkan nilai buruk yang boleh membantutkan matlamat serta usaha murni perlu diberi penekanan serius. 

    Kesan kesombongan bukan sekadar membina suasana kerja dan hubungan tidak harmoni, juga contoh amalan bekerja tidak sihat yang boleh menyebabkan berlakunya penderaan emosi terhadap pekerja. 

    Aspek penderaan emosi di tempat kerja adalah sesuatu yang sukar diukur dan dilihat kesannya secara langsung tetapi mampu menjejaskan keseronokan serta kepuasan bekerja. Kerana itulah sifat ini amat ditegah dan dicela dalam ajaran Islam.

    Pantang larang 

    Beberapa pantang larang bagi menyelamatkan diri daripada amalan kesombongan dalam bekerja boleh dijadikan panduan dan peringatan iaitu kesombongan dalam tutur kata dan tingkah laku.

    Cuba elakkan daripada menggunakan bahasa kesat sama ada kepada rakan atau staf bawahan. Kedua, elakkan menggunakan kata-kata sindiran dan yang merendah-rendahkan. Ketiga, elakkan memberi gelaran tertentu yang menjatuhkan maruah diri seseorang.

    Dari sudut tingkah laku pula, cuba elakkan gerak geri dan tindak balas yang memperkecilkan hasil usaha orang lain seperti tidak memberikan apa-apa reaksi positif, sebaliknya menghentak meja, menghempaskan fail, kertas kerja, produk dan sebagainya apabila tidak berpuashati.

    Elakkan memperlekeh atau tidak menunjukkan minat terhadap pandangan orang lain, menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk mengetepikan pekerja tidak disukai atau mengambil yang disukai, memanipulasi tenaga pekerja bawahan secara tidak adil dan berhemah.

    Semua bentuk tutur kata dan tingkah laku yang mengandungi nilai kesombongan adalah gambaran kerja tidak berakhlak atau beretika.

    Kesan menjaga komunikasi

    Justeru, jika seseorang pekerja itu mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi atau sesebuah organisasi yang cemerlang pencapaiannya tetapi mengamalkan cara dan suasana bekerja begini, maka pada hakikatnya, ia dianggap sebagai pekerja dan organisasi yang tidak cemerlang. 

    Sebaliknya, jika kita dapat menjaga komunikasi dan gerak kerja daripada sebarang bentuk kesombongan, terutama apabila dalam situasi tertekan, ia adalah suatu tanda kejayaan ketahanan peribadi pekerja. 

    Oleh itu, marilah bersama mempromosikan suasana dan budaya kerja muhibah dengan membendung nilai kesombongan daripada setiap tindakan ketika bekerja.

    Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)



    Sumber: Berita Harian

    Mata air salsabil


    Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI


    SELEPAS Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta minuman mereka, bekas minuman dan pelayan-pelayannya. Lalu Allah SWT mengulang sekali lagi perbincangan tentang pakaian mahal dan perhiasan yang diberikan kepada mereka.
    Kemudian Allah SWT menunjukkan semua ini sebagai balasan terhadap mereka yang melakukan amal kebajikan dan pembersihan yang dilakukan terhadap diri mereka dalam bentuk akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang baik.


    Firman Allah SWT: Dan Diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca. (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang Telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 15-16)


    Al-Maraghi berkata: Pelayan-pelayan menyajikan gelas-gelas minuman dan piala-piala daripada perak kepada mereka. Pelayan-pelayan yang menyajikan minuman tersebut kepada mereka, telah menurut kadar keperluan dan kesegaran.


    Yang demikian akan lebih terasa nikmat dan ringan buat mereka kerana bekas-bekas itu tidak terlalu penuh hingga melimpah dan tidak pula kurang hingga bergoncang. Bekas-bekas minuman penghuni syurga itu dibuat daripada perak yang putih sejernih kaca sehingga apa yang ada di dalamnya jelas kelihatan dari luar.


    Ibnu Kathir berkata: Mereka dikelilingi oleh pembantu-pembantu dengan membawa bejana makanan yang dibuat daripada perak dan juga gelas-gelas minuman.


    Sayid Qutub berkata: Mereka diedarkan dengan minuman-minuman di dalam bejana-bejana dan gelas-gelas perak yang nipis seperti kaca yang belum pernah dilihat pada bejana perak di dunia. Gelas-gelas itu dibentuk dengan ukuran-ukuran yang memberi keindahan dan kenikmatan.


    Firman Allah SWT: Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah zanjabil. (al-Insaan: 16)


    Al-Maraghi berkata: Di dalam syurga orang yang berbakti itu meminum arak yang dicampur dengan zanjabil. Mereka begitu menyukai dan menyenangi minuman itu.


    Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, orang-orang yang melakukan kebaikan juga akan diberi minum dengan gelas-gelas yang mana kadang-kadang mereka diberi minum minuman yang dicampur dengan kapur yang dingin dan pada saat lain diberi minuman yang bercampur dengan zanjabil yang panas supaya ada keseimbangan bagi mereka.


    Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu kadang-kadang dicampur dengan zanjabildan kadang-kadang dicampur dengan haruman kapur.


    Firman Allah SWT: (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. (al-Insaan: 18)


    Ibnu Arabi berkata: Aku belum pernah mendengar Salsabil kecuali di dalam al-Quran. Seolah-olah sumber itu dinamakan Salsabil kerana jernih dan mudahnya mengalir dikerongkong.
    Hasan ibnu Sabit berkata: Mereka memberi minum arak yang bercampur arak bersih yang penuh nikmat kepada orang yang pada mereka terdapat kilauan.


    Muqatil berkata: Ia adalah sumber yang airnya mengalir kepada mereka di majlis-majlis mereka seperti yang mereka suka.


    Ibnu Kathir berkata: Zanjabil ini merupakan sebuah mata air di syurga yang bernama Salsabila.


    Ikrimah berkata: Ia merupakan nama sumber air di syurga.


    Mujahid mengatakan: Disebut demikian kerana alirannya yang lembut dan tajam.
    Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu juga dipenuhkan di dalam gelas-gelas dari sebuah mata air yang sentiasa mengalir bernama Salsabil yang amat cita rasa.
    Firman Allah SWT: Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka, mutiara yang bertaburan. (al-Insaan: 19)


    Al-Maraghi berkata: Para penghuni syurga itu dikelilingi oleh para pelayan yang cekap. Para pelayan itu terdiri daripada kalangan yang muda, menarik dan menyenangkan. Mereka tidak tua, tidak beruban dan badan mereka tidak penat untuk memberikan layanan. Mereka umpama permata-permata yang bertebaran.


    Permata-permata yang bertebaran itu lebih indah daripada permata-permata yang diikat. Apabila para penghuni syurga melihat mereka akan dikhayalkan dengan keindahan warna, kecerahan wajah dan kecekapan mereka ketika melayani setiap keperluan tuan-tuan mereka. Bertebarannya mereka bererti mereka itu segera memberi layanan.


    Sayid Qutub berkata: Yang menambahkan kenikmatan ialah pelayan-pelayan yang menghidangkan gelas-gelas minuman itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang berwajah tampan, yang kekal muda, tidak dimakan zaman dan dilusuhkan usia. Mereka selama-lamanya muda belia dan berseri-seri serta mereka berada di sana sini di dalam syurga seolah-olah mutiara yang bertaburan.


    Sumber: Utusan Malaysia

    Qari Malaysia, qariah Maghribi juara


    KUALA LUMPUR 13 Julai - Qari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali dan qariah Maghribi, Hasnae Khoulali masing-masing muncul johan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
    Muhammad Anuar yang memperdengarkan Ayat 84 Surah Hud meraih markah 95.33 peratus manakala Hasnae yang membaca Ayat 15 Surah al-Isra' memperoleh 94 peratus.
    Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 setiap seorang selain trofi dan sijil penyertaan.


    Sementara itu, qari Iran, Amin Pouya pula menduduki tempat kedua dengan markah 91.67 peratus dan tempat ketiga, dimenangi Raden Harmoko Baharuddin dari Indonesia dengan 90.16 peratus.


    Bagi qariah, peserta Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa mendapat tempat kedua dan qariah negara, Che Aminah Che Awang di tempat ketiga. Kedua-dua mereka mencatat perbezaan peratusan markah yang tipis.


    Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Othman Mustapha yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
    Menurut beliau, secara keseluruhannya mutu bacaan peserta kali ini adalah baik dan memuaskan selain mampu memelihara hukum-hukum tajwid.


    ''Kali ini kita melihat peratusan markah johan, tempat kedua dan ketiga qariah adalah sama. Namun kita rujuk pemarkahan tajwid untuk menentukan kedudukan," katanya ketika membacakan penilaian pertandingan kali ini.


    Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
    Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


    Tahun ini, tilawah yang bertema 'Al-Quran : Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' menyaksikan penyertaan 71 peserta mewakili 44 buah negara melibatkan 44 qari dan 27 qariah.


    Tiga buah negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania merupakan negara yang pertama kali menghantar penyertaan kali ini dalam tilawah yang berlangsung selama lapan hari bermula 6 Julai lalu.


    Sumber: Utusan Malaysia

    Jumaat, 13 Julai 2012

    Qari Malaysia, qariah Maghribi johan Tilawah

    KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, dan qariah Maghribi, Hasnae Khoulali, 19, muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini. 

    Anuar memperoleh markah 95.33 peratus manakala Hasnae mendapat markah 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 bersama piala dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Turut berangkat menghadiri majlis, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. 


    Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. 

    Naib johan qari dan qariah pula masing-masing dimenangi Amin Pouya dari Iran dan Rahmawati Bakri Hunawa dari Indonesia dengan markah 91.67 dan 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penyertaan. 

    Tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Raden Harmoko Baharudin yang memperoleh markah 90.16 peratus dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang yang meraih markah 94 peratus. Mereke menerima hadiah wang tunai RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan. 

    Majlis Tilawah al-Quran bertemakan "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah" berlangsung selama lapan malam sejak 6 Julai lalu, disertai 44 qari dan 27 qariah dari 44 negara.



    Sumber: Berita Harian

    Keputusan: Tilawah Antarabangsa 2012

    Johan Qari: Malaysia
    Johan Qariah: Maghribi

    Majlis penutup Tilawah al-Quran

    SIARAN LANGSUNG MAJLIS PENUTUP TILAWAH AL QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA LIVE STREAMING - THE CLOSING CEREMONY OF INTERNATIONAL TILAWAH AL-QURAN 2012 


    You can watch LIVE streaming on RTM1 


    Date: 13 July 2012 (Friday)
    Malaysia time 8.30pm.

    Khamis, 12 Julai 2012

    Al-Quran Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah

    Muslimin Yang di Rahmati Allah,

    Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di PWTC pada minggu ini, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”.

    Muslimin Yang di Rahmati Allah,

    Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan ummah dan telah menyempurnakan tanggungjawab sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan sunnahnya. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain dan tiada keraguan tentang kebenarannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3:

    Maksudnya: “Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

    Al-Quran sebagai kitab perlembagaan dan panduan bagi kehidupan manusia, bukan sekadar mengandungi hukum hakam, bahkan ianya memberi panduan mengenai adab dan peraturan sebagai hamba Allah SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran sebagai pemacu bagi penyatuan ummah yang berkeupayaan tinggi membentuk dan melahirkan satu generasi yang kuat dan bertamadun. Justeru, al-Quran sebagai pemacu tranformasi ummah wasatiyyah memberi isyarat yang besar bahawa dengan kita kembali kepada al-Quran mampu menjana ketamadunan ummah yang unggul dan modal insan yang berkualiti serta dapat melahirkan khaira ummah dalam sebuah baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

    Muslimin Yang di Rahmati Allah,

    Ummah Wasatiyyah adalah merujuk kepada ummah yang melaksanakan segala tuntutan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:

    Maksudnya:“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”

    Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu ummah yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”.

    Justeru, Umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara rohani dan jasmani dan antara dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman. Bagaimanapun mimbar ingin menegaskan bahawa kesederhanaan ini haruslah diterjemahkan secara positif, terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi dan juga dalam membina tamadun dan risalah atau misi Islam itu sendiri.

    Ingatlah bahawa kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat mencari kebenaran atau al-Haq. Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya memerlukan roh kesederhanaan dan keseimbangan yang jitu. Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya tetapi ianya lahir daripada ilmu dan prinsip yang benar serta mampu bertolak ansur. Perkara ini tidak mungkin akan dapat di capai melainkan dengan kita kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah dan al-Quran al-Karim. Umat Islam sebagai ummah unggul menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat sekali lagi bahawa dalam usaha melakukan tranformasi ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Percayalah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

    Maksudnya:“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

    Muslimin Yang di Rahmati Allah,
    Sebagai ummah yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan kehidupan. kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Ingatlah bahawa tuntutan qurani ini telah berjaya membebaskan ummah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan insan. Penghayatan kepada prinsip dan dasar-dasar al-Quran merupakan eleman penting bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.


    Muslimin Yang di Rahmati Allah,
    Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ke 54 yang diadakan di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur mimbar menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Insyaallah dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

    Mimbar juga mengambil kesempatan Bersempena dengan Minggu keselamatan dan kesihatan Pekerja yang ditetapkan pada minggu ke 2, bulan Julai setiap tahun, menyeru kepada jemaah dan umat Islam sekalian khususnya kepada para pekerja agar senantiasa menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Ingatlah nyawa dan kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:

    Maksudnya: “Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”


    Sumber: JAKIM


    Penghafaz al-Quran berilmu

    ALANGKAH beruntungnya negara apabila memiliki ramai golongan profesional Muslim penghafaz al-Quran. Mereka bukan saja mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengimamkan solat semata-mata, tetapi berperanan menentukan hala tuju pembangunan ummah dan negara.
    Itulah antara visi dan misi Darul Quran, institusi pengajian tahfiz al-Quran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
    Darul Quran ditubuhkan pada 1966 dan sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat wujud sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

    Dari 1966 hingga 1978, Maahad itu dikelola Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

    Pada 1997, ia dinaik taraf dan dinamakan Darul Quran. Kampusnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan dibuka pada 1 November 1998.

    Institusi itu menawarkan pelbagai program pensijilan yang membolehkan pelajarnya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, perundangan dan pengajian agama di beberapa universiti tempatan.

    Antara kerjasama dijalankan ialah program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian bersama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

    Untuk permulaan, ia ditawarkan kepada 50 pelajar Darul Quran dan pelajar Maahad Tahfiz Quran Negeri (MTQN).

    Program lain ialah Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Dakwah, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Syariah, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Hadith, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Muamalat, Pensijilan Tahfiz UIAM-Jakim serta Pensijilan Tahfiz Uniten-Jakim.

    Program Pensijilan Tahfiz dengan UIAM ditawarkan kepada pelajar lulusan SPM yang cemerlang melalui tempoh pengajian selama 18 bulan.

    Selepas tamat pengajian, mereka ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, seni bina, ekonomi dan sains pengurusan.

    Ketika ini, seramai 916 pelajar mengikuti pengajian di DQ terdiri daripada 136 pelajar pensijilan, 681 pelajar diploma dan 99 pelajar Ijazah.

    Sepanjang penubuhannya, DQ mendapat kelayakan sijil Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat yang diberi pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf diploma bagi membolehkan pemegang sijil memegang jawatan dalam perkhidmatan awam pada 16 April 1983.

    Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat juga turut diiktiraf universiti tempatan dan luar negara.

    Darul Quran melahirkan ramai profesional antaranya Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Tan Sri Datuk Syaikh Ismail Muhammad; Pengarah Maahad Tahfiz Al-Quran dan Ketua Imam Masjid Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Ali.

    Sumber: myMetro

    Kombinasi air, rahsia al-Quran

    SETIAP sesuatu yang Allah cipta pasti mempunyai hikmah dan anugerah untuk makhluk-Nya yang mendiami muka bumi ini.

    Air misalnya dicipta Allah sebagai elemen yang mempunyai pelbagai fungsi, bukan sekadar untuk menghidupkan kawasan yang kontang, tetapi sebagai sumber penyucian untuk minuman dan perubatan.

    Kita mengambil wuduk sambil berniat, justeru ia berfungsi menyucikan diri, begitu juga ketika mengangkat hadas besar.

    Walaupun kelihatan remeh- temeh, air mampu menyimpan kekuatan dan daya penyembuh kepada umat manusia, sebab itulah ia adalah bahan penting di dalam perubatan Islam.

    Menyedari kepentingan air untuk perubatan dan memenuhi permintaan umat Islam yang menghidap pelbagai jenis penyakit, Anugerah International Sdn Bhd memperkenalkan Air Anugerah.

    Air Anugerah bukan air biasa kerana ia kaya dengan zat galian selain diperkuatkan dengan bacaan 30 juzuk al-Quran serta doa pilihan yang sebelum ini menjadi rahsia dalam perubatan Islam.

    Jurucakapnya, Ustaz Khairul Azhar Ghazali berkata, Air Anugerah amat sesuai bagi mereka yang ingin mencari penawar untuk pelbagai penyakit di dalam badan, menghindari gangguan makhluk halus selain penerang hati terutamanya untuk kanak-kanak.

    Beliau berkata, air itu boleh dimanfaatkan bagi membantu umat Islam mengatasi kesengsaraan yang di hadapi.

    “Ia boleh dijadikan minuman harian oleh mereka yang ingin mencapai segala hajat di hati serta untuk kebaikan keluarga.

    “Bagaimanapun, saya menasihatkan pengguna bahawa sesuatu yang berlaku itu sama ada baik atau buruk adalah daripada Allah,” katanya.

    Beliau yang juga peserta Imam Muda musim pertama berkata, teknologi moden membuktikan kepentingan air sebagai penawar dalam hidup manusia.

    Menurutnya, saintis membuktikan molekul air bertukar kepada bentuk kilauan bintang selepas didoakan dengan ayat suci al-Quran.

    “Ini menguatkan hujah bahawa air adalah benda hidup dan bukan sekadar menghilangkan dahaga, tetapi menjadi penawar dalam diri manusia.

    “Justeru, Air Anugerah yang dikeluarkan mempunyai tujuan yang sama kerana kami mahu berkongsi konsep perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran melalui medium air,” katanya.

    Katanya, kehebatan al-Quran memang diakui sejak dulu lagi, malah ayatnya adalah senjata paling mujarab dan rahmatnya melimpah-ruah umpama sumber mata air yang penuh dengan nur, hidayah dan zikirullah.

    “Tidak hairanlah kalam suci ini menjadi rujukan mereka yang mengetahui ayat rukyah berkaitan sebarang musibah yang melanda.

    “Malah, selain memberi pedoman kepada manusia mengenai kehidupan, al-Quran bermanfaat kepada kesihatan,” katanya.

    Menurutnya, umat Islam boleh mengamalkan membaca surah Waqiah untuk murah rezeki dan mendapat jodoh dan surah Yasin bagi menunaikan hajat.

    “Ayat dalam surah Kahfi pula untuk melariskan perniagaan, surah Syarh untuk penerang hati, surah Luqman untuk kecerdikan anak dalam kandungan manakala surah Yusuf untuk kecantikan dan kekacakan.

    “Hakikatnya, banyak lagi rahsia penawar al-Quran malah setiap huruf di dalam al-Quran ada penawar dan kelebihan yang belum dirungkai sepenuhnya oleh akal
    manusia,” katanya.

    Beliau berkata, pengguna yang mengambil Air Anugerah perlu sentiasa ingatkan Allah dan jangan taksub kerana setiap pemulihan serta penyembuhan itu adalah kekuasaan Ilahi.

    Hubungi 03-2072 5555 atau 019-369 9998 untuk maklumat lanjut mengenai manfaat Air Anugerah.



    INFO:

    Air Anugerah ditenagakan dengan bacaan al-Quran 30 juzuk selain bacaan ayat syifa dan doa khusus seperti:
  • Surah al-Fatihah untuk penyembuh keracunan.
  • Surah al-Syarh untuk menghilangkan kesulitan dan bebanan.
  • Surah al-Qadr untuk pembuka minda dan menerangkan mata.
  • Surah al-Kafirun untuk menghindar daripada hasutan Iblis (makhluk halus)
  • Surah al-Ikhlas untuk jauh daripada mata-mata jahat
  • Surah al-Falaq untuk penyembuh penyakit siang dan malam.
  • Surah al-Nas untuk menjauhi daripada gangguan jin.
  • Surah al-Isra’ :28 untuk penghadang dan pembimbing.
  • Surah at-Taubah :128 untuk menghilangkan sebarang sakit.
  • Ayat Kursi untuk menghindar daripada gangguan makhluk halus.
  • Surah al-Baqarah untuk terselamat daripada segala bala bencana dan mara bahaya
  • Surah Israil untuk penawar segala jenis kesakitan.
  • Surah as-Shafat untuk rasa sentiasa sihat.
  • Bacaan istighfar untuk pengampunan dan penyembuh.
  • Bacaan doa penyembuh angin ahmar.
  • Bacaan doa khatamul quran juga menjadi penyembuh untuk segala penyakit.
  • Surah ali-Imran untuk kesihatan dari segala penyakit dan terselamat daripada gangguan jin.

  • Sumber: my Metro

    Rabu, 11 Julai 2012

    Kelebihan ayat Kursi

    AYAT 255 surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat tersebut terdapat kata "kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata kursi membawa erti takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan, pengetahuan dan simbol autoriti.

    Itulah sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan kekuasaan Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang zaman telah menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke semasa. Ayat Kursi begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering terdapat di rumah kaum Muslim.

    Ayat Kursi dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam al-Quran kerana di dalamnya terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah SWT daripada 50 kata yang terdapat di dalamnya. Apabila dihayati, 17 kata yang menunjukkan nama Allah itu akan memberi kekuatan batin pembacanya.

    Terdapat ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali solat yang pernah diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50 kali itu diringankan menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam. Di sisi lain, perjalanan menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50 tahun menurut perhitungan manusia.

    Ayat Kursi lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam ayat Kursi terdapat sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi ayat-ayat lain. Intipati nama dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu diungkapkan dalam satu ayat hanya pada ayat Kursi.

    Dalam satu kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang bertukar fikiran tentang ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada mereka: "Bagaimana pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian berkata: "Rasulullah SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian manusia adalah Adam, penghulu bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa sombong, kalam yang terbaik adalah al-Quran, penghulu al-Quran adalah al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah ayat Kursi'."

    Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi, misalnya yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak dibaca ayat ini (ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan lari meninggalkannya selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan wanita tidak akan memasukinya selama 40 hari." 

    Ali juga menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada saat tidurnya, Allah akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari tetangganya dan rumah-rumah yang ada sekitarnya." 

    Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah)."

    Sumber: Utusan

    Selasa, 10 Julai 2012

    Qari Junior sempena Ramadan

    RAMADAN sentiasa dinantikan seluruh umat Islam kerana ganjaran dan syafaatnya yang begitu tinggi. Malah bulan Ramadan juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mendekatkan diri dengan penciptanya dan alangkah indahnya jika ayat suci al-Quran sentiasa bermain di bibir hamba-Nya.

    Justeru, sempena menghayati bulan Ramadan yang istimewa ini, julung kalinya TV3 muncul dengan program realiti terbaru iaitu Qari Junior yang berkonsepkan keagamaan untuk kanak-kanak.

    Qari Junior akan mula bersiaran 23 Julai ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi di TV3. Ia menampilkan ustaz Zhafran Zainuldin sebagai pengacara. Program ini akan mencungkil bakat kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun dalam menghafaz ayat suci al-Quran.

    Menariknya program 20 episod ini, ia bukan saja menyaksikan pertandingan di antara peserta semata-mata, malah program ini mengajak penonton untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

    Sesi uji bakat yang diadakan di Sri Pentas TV3 pada 28 dan 29 April lalu menerima penyertaan hampir 100 peserta daripada kalangan kanak-kanak dari seluruh negara. Namun, hanya 12 peserta yang layak dan berbakat dipilih bertanding dalam program Qari Junior.

    Pada setiap penghujung episod program ini, terdapat sesi penyingkiran di kalangan peserta sehingga empat peserta saja yang akan layak mara ke pusingan akhir.

    Bagi pusingan akhir Qari Junior, menyaksikan persaingan di antara peserta Abdul Hadi Haris, 8, Syakirah Shahfuddin, 10, Fatimah Ahmad Zahid, 11, dan Nur Najwa Madihah Abdul Jalil, 9.

    Cabaran akan diberikan kepada peserta iaitu mereka dikehendaki menghafaz surah yang diberikan seperti surah al-Insan, Yaasin dan as-Sajdah serta surah tambahan seperti surah as-Saff, al-Waqiah, al-Mulk dan ar-Rahman. Markah peserta akan diambil kira dari sudut hafazan, tajwid, fasohah, suara dan lagu.

    Kemerduan alunan ayat suci al-Quran yang dipersembahkan setiap peserta diadili juri yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan, Ustaz Zamri Zainuldin dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.

    Penerbit program Qari Junior, Shukri Ibrahim berkata, jika sebelum ini penonton sering disajikan dengan program realiti berbentuk hiburan, kini sempena menyambut kehadiran Ramadan, penonton dapat menyaksikan kebolehan kanak-kanak menghafaz ayat suci al-Quran.

    “Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam menghafaz ayat suci al-Quran serta mendekatkan diri dengan kitab Allah S.W.T itu bukan hanya pada bulan puasa semata-mata malah setiap masa.”

    “Kami yakin bakat yang ditonjolkan peserta dan konsep program yang dibawa menerusi Qari Junior mampu memberi suntikan positif kepada anak muda masa kini mengenai bidang keagamaan,” katanya.

    Juara Qari Junior membawa pulang hadiah utama wang tunai RM10,000 berserta plak sumbangan TV3 dan pakej mengerjakan umrah tajaan Al-Fajr Travel manakala sagu hati akan menerima RM2,000 setiap seorang, plak TV3 dan pakej mengerjakan umrah. 

    Sumber: myMetro

    Isnin, 9 Julai 2012

    Rugi jika tidak hayati al-Quran

    Oleh: Ashraf Muslim
     
    Keindahan ayat suci tenteramkan jiwa

    Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang sedang berlangsung adalah medan terbaik untuk kita semua mendekatkan diri dengan al-Quran dan saya percaya, mereka yang sedang mendalami ilmu membaca al-Quran mengikuti siaran langsung dengan tekun. Rasanya, program realiti mempelajari al-Quran yang pernah diterbitkan juga mengambil iktibar daripada majlis yang diadakan setiap tahun itu kerana hakikatnya ramai yang suka mendengar alunan ayat suci al-Quran. 

    Tambahan pula, ayat itu diperdengarkan dengan lagu yang merdu oleh qari serta qariah yang mempelajari serta menghayati ilmu pembacaan al-Quran secara bersistem.

    Daripada keindahan alunan ayat al-Quran itu yang dapat mententeramkan jiwa siapa saja mendengarnya, tidak dapat kita sangkal betapa besarnya mukjizat al-Quran. Kita juga pasti biasa mendengar nasihat jika hati resah, bacalah al-Quran.

    Sememangnya al-Quran boleh menenangkan jiwa. Anehkan, bagi yang tidak fasih bahasa Arab dan tahu makna perkataan Arab, masih mendapat manfaat daripada ayat suci diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW.

    Itu baru saja mendengar ayat suci dibacakan qari dan qariah, jika bersama pula membacanya, kita bukan saja dapat belajar kaedah membaca al-Quran dengan berlagu malah diberikan ganjaran besar kerana membaca al-Quran walau satu ayat, dijanjikan ganjaran.
    Hebat sungguh mukjizat al-Quran malangnya masih ada yang tidak mahu mendekatkan diri dengan kitab suci umat Islam ini. Sedangkan memandang al-Quran pun kita sudah diberi pahala. Rugi sungguh mereka yang sombong dengan al-Quran.

    Maka berbahagialah mereka yang hadir mengikuti tilawah al-Quran serta yang menontonnya melalui televisyen.

    Alhamdulillah, saya diberi rahmat oleh Allah dengan membuka ruang yang luas untuk mendekatkan diri dengan al-Quran melalui perkhidmatan rawatan disediakan di Pusat Rawatan Islam al-Hidayah. Hari-hari saya berpeluang membaca dan menyebarkan mukjizat al-Quran kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan.

    Pelbagai cara Allah SWT mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya dan ada kalanya daripada sumber tidak pernah disangka. Contohnya, saya sendiri kerana tidak pernah menyangka akan melalui proses transformasi diri yang menjadikan al-Quran sahabat setia sepanjang hari.

    Saya bersyukur kerana kaedah rawatan menggunakan ayat al-Quran juga sudah menggerakkan hati dan jiwa yang sebelum ini jauh dengan al-Quran akhirnya setiap hari meniti di bibir mereka ayat memuji kekuasaan Allah SWT.

    Ada yang sebelum ini tidak pandai membaca al-Quran atau keras lidahnya menyebut firman Allah, kini sudah lancar malah ada yang boleh mengajarkan pula kepada ahli keluarga, saudara serta sahabat mereka.

    Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

    Justeru, marilah kita bersama menjadikan amalan membaca al-Quran sebahagian daripada aktiviti wajib di samping menunaikan tanggungjawab seharian untuk memenuhi tuntutan kehidupan di dunia ini.

    Mereka yang dekat dengan al-Quran akan menikmati kebahagiaan yang hanya mereka saja dapat merasainya dan perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

    Info

    Ayat untuk gangguan iblis atau dirasuk, surah al-A’raf, ayat 146-159

    Sumber: Berita Harian
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...