Isnin, 25 Jun 2012

Uniknya penciptaan manusia

SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan ayatnya berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh orang yang mengingkari kedatangan hari kiamat. 

Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang diperoleh oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:
* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur termasuk Mujahid dan Qatadah.
* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.
* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.

Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? (al-Insan: 1)
Perkataan insan di sini ada dua pendapat:

* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40 tahun di mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah pendapat jumhur ulama.
* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.

Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini satu batas waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut disebutkan.

Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang dibentuk daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut disebutkan.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan tentang manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.

Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini merupakan pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia tahu bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana dia belum lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut? 

Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya? Kemudian tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan cahaya lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut setelah selama ini tidak pernah disebut-sebut.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (al-Insan: 2)

Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak Adam dan perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita yang akhirnya terbentuk menjadi manusia.
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab apabila dia telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat mendengar ayat-ayat dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya pendengaran dan penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan ketaatan dan juga kemaksiatan.
Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah sperma lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu keadaan berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.

Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat penciptaan, pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai ‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul daging) dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang). Kemudian tulang-temulang itu dibungkus daging.

Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu dia berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia berada dalam kesusahan.
Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia diciptakan oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur. Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan untuk diuji dan dicuba. 

Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah ujian yang akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah mahu menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut natijah ujian yang dilaluinya. 

Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar dan melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda dan nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat melalui ujian itu mengikut pilihannya.

Sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 24 Jun 2012

Roda Tajwid bantu pelajari al-Quran

HASHIMAH menunjukkan cara menggunakan Roda Tajwid kepada pelajar pada Program Jejak Inovasi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan di Putrajaya, semalam.

Usaha Hashimah diiktiraf peringkat Pusat

PUTRAJAYA: Kesusahan anak muridnya mempelajari hukum tajwid al-Quran mendorong seorang guru, Hashimah Md Yusoff, 40, menghasilkan Roda Tajwid bagi memudahkan proses pembelajaran itu.

Usaha guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2), di sini itu bukan saja terbukti membantu meningkatkan prestasi muridnya, bahkan diiktiraf pada peringkat kebangsaan selepas menjadi naib johan pertandingan Guru Inovatif Kebangsaan 2011 baru-baru ini.
Hashimah yang berasal dari Melaka, berkata idea menghasilkan Roda Tajwid bermula dua tahun lalu selepas mendapati muridnya keliru dengan pelbagai hukum tajwid diajar, selain terpaksa merujuk pelbagai buku untuk memahaminya.

“Saya kemudian mengumpulkan semua sukatan pelajaran hukum tajwid ini dan menyusunnya dalam bentuk roda interaktif yang memudahkan murid menguasainya.

“Ternyata murid saya berminat mempelajarinya kerana ia bersifat ‘play learning’ dan kini, ada daripada mereka mendapat markah dua kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui ketika program Jejak Inovasi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Karnival Perpaduan di sini, semalam.

Roda Tajwid adalah alat bantuan mengajar tajwid pertama di Malaysia yang mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran. 
Roda Tajwid memerlukan pelajar memusingkan roda kertas bagi memadankan hukum tajwid dengan huruf yang dicari serta warna sepadan untuk mengenal pasti nama hukum dan cara bacaan.

Hashimah berkata, Roda Tajwid akan dibukukan serta dijangka berada dalam pasaran hujung tahun ini, selain dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Alhamdulillah, sambutan awal yang saya terima sangat menggalakkan dan saya juga bercadang untuk menghasilkan Roda Tajwid dalam bentuk e-pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam ucapan perasmian program itu, berkata rakyat perlu membudayakan sikap kreativiti dan inovasi khususnya di kalangan kanak-kanak bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berkualiti ke arah negara berpendapatan tinggi. 

“Pelbagai pengiktirafan disediakan kerajaan untuk memupuk minat golongan muda menghasilkan idea yang menggalakkan inovasi termasuk Anugerah Inovasi Negara dan Perdana Menteri," katanya. Ucapan beliau dibacakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Mohd Aziph Mustafa.



Sumber: Berita Harian

Selasa, 19 Jun 2012

Cemerlang Dengan Al-Quran

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Rejab  yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: CEMERLANG DENGAN  AL-QURAN. ”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Allah SWT  telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini  dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. Firman Allah SWT di dalam surah al Israa’ ayat 9:

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, sudah pasti ia akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan. Justeru, bagi mengekalkannya al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran telah mengubah pola kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain kerana disuluhi oleh al-Quran. Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin mencipta kejayaan samada dari sudut kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa depan hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi,  rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur  memahami al-Quran dan beramal dengannya.
Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam, bahkan  ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam.Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam memeluk Islam selepas memahamai dan meniliti maksud ayat-ayat al-Quran. Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada tahun 1978  beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas membaca terjemahan tersebut dan memahami beliau memeluk Islam. Demikian juga dengan Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam. ” 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.  Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya  untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu, maka dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.

Justeru itu, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada perkara perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada hari tertentu. Firman Allah SWT di dalam surah al Furqan ayat 30:
Maksudnya: Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.

Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama’ bahawa ada tiga golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya. Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya. 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan kali ke 55 yang diadakan di Kompleks Persada, Johor Baharu, Johor bermula dari 4 hingga 8 Jun 2012, mimbar menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat magrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah hati kita dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal dengan isi kandungannya. Yakinlah bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. Ingatlah  sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf  (Riwayat Tirmizi). Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:
 
Maksudnya: Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.

Sumber: Khutbah Jakim

Awatif tak patah semangat

BELIAU menjadikan kitab suci al-Quran sebagai teman setia di kala hatinya gundah-gulana, berada dalam kesedihan atau runsing berhadapan sebarang masalah atau cabaran hidup.
Malah mukjizat yang ditinggalkan kepada umat Islam itu turut menjadi bahagian penting dalam kehidupan Awatif Abd Majid, 19, yang diamalkannya setiap hari demi mendapat keberkatan hidup.

Beliau muncul sebagai qariah termuda yang juga mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 bertempat di Johor Baharu yang diadakan 8 Jun lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan, berkata, bukan sekadar untuk pertandingan, membaca al-Quran sudah menjadi darah dagingnya dan diamalkan setiap hari sejak usianya dua tahun.

Katanya, al-Quran bukan sekadar sebagai bahan bacaan kosong, tapi ia memberi kesan mendalam dan beliau akan berasa tenang setiap kali mengalunkan ayat suci.

“Saya mengamalkan membaca al-Quran setiap hari selepas solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Setiap kali saya berasa sedih atau tidak keruan, saya akan mendapatkan al-Quran dan membacanya.

“Sebaik membaca ayat-ayat al-Quran, saya terasa seperti semua masalah hilang begitu saja dan hati menjadi tenang. Ia adalah ubat kepada segala penyakit dan begitulah hebatnya mukjizat al-Quran,” katanya ketika dihubungi.

Awatif berkata, sejak usianya dua tahun, beliau mula belajar membaca al-Quran ketika tinggal bersama neneknya dan kesyahduannya membaca kitab suci itu mendapat perhatian keluarga seterusnya dibawa bertemu ustaz dan ustazah untuk belajar dengan lebih mendalam lagi bagi mengembangkan bakat membacanya.

Selain sokongan kuat daripada keluarga serta kedua ibu bapanya, Abd Majid Mohd Isa, 57, dan Farizah Bakar, 53, beliau juga mendapat galakan guru mengaji yang mengajarnya untuk memasuki pertandingan tilawah.

“Saya belajar dengan ramai tok guru untuk mahir membaca dan selagi saya masih muda dan diberi peluang serta kesihatan, saya mahu mengaut semua ilmu mengenai bacaan al-Quran,” katanya.

Katanya yang bercita-cita menjadi guru mengajar mengaji, walaupun tidak mendapat didikan di sekolah agama, minat dan kecenderungannya ke arah menguasai bacaan al-Quran, membawanya pergi jauh dalam bidang itu.

Beliau sering menyertai pertandingan tilawah peringkat sekolah dan kebangsaan, pernah menjuarai tilawah peringkat kebangsaan antara sekolah seluruh negara yang diadakan di Terengganu pada 2010.

“Pada mulanya saya tidak yakin untuk menyertai pertandingan tilawah besar seperti peringkat negeri tetapi atas galakan tok guru yang mengajar, saya menguatkan semangat.

“Walaupun tidak menang pada pertandingan peringkat negeri baru-baru ini, ia tidak mematahkan semangat sebaliknya dijadikan sebagai satu pengalaman serta pendedahan yang baik untuk saya bagi penyertaan pada masa depan.

“Sekurang-kurangnya saya sudah merasai sendiri perasaan gementar apabila duduk di atas pentas bagi menyampaikan bacaan dan ia akan menjadi ilmu yang membantu saya untuk mengkaji semula dan memperbaiki kelemahan pada masa depan,” katanya.

Menurut Awatif, antara rahsia supaya dapat membaca al-Quran dengan baik ialah ia perlu diamalkan setiap hari, kerana sekiranya ia tidak diamalkan, seseorang mudah lupa bacaannya.

Katanya, beliau akan membaca al-Quran setiap hari dengan tujuh taranum bagi memantapkan bacaannya dan meluangkan masa lebih panjang memperbaiki bacaannya antara waktu selepas Maghrib dan Isyak.

“Apabila kita sentiasa membaca al-Quran, Allah akan melindungi kita dan ia menjadi ubat kepada hati. Daripada kita buat perkara tidak berfaedah atau membuang masa, lebih baik kita membaca dan mendalami al-Quran kerana banyak kebaikannya, bukan saja dapat keberkatan hidup, malah dapat pahala dan hati pula menjadi lebih tenang,” katanya.

Sementara itu, Johan Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Aminah Che Awang, 57, berkata minat terhadap membaca al-Quran sudah bercambah sejak sekolah lagi dan diamalkan setiap kali selesai bersolat.

Beliau berkata, sokongan padu daripada suami, Ariffin Daud, 64, yang tidak jemu menemaninya dan sanggup membawanya ke rumah guru di Pasir Mas, Kelantan, hampir setiap minggu

untuk belajar mengaji, menguatkan lagi keinginannya untuk terus menguasai bacaan al-Quran.

Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau sering menyertai pertandingan tilawah dan tidak pernah berputus asa biarpun pernah kalah kerana baginya kalah menang tidak penting, sebaliknya pengalaman yang dikutip sepanjang menyertai acara berkenaan memberi kelebihan untuk terus berjaya.

“Saya memang tidak menyangka akan menang bagi penyertaan kali ini kerana persaingan sengit tetapi bersyukur dan terharu dengan kemenangan ini.

“Jika dulu anak-anak tidak berapa minat menyertai tilawah tetapi selepas melihat kejayaan saya, ada yang sudah menunjukkan minat dan saya akan bantu mendidik mereka.

“Membaca al-Quran sudah menjadi sebahagian hidup saya dan selepas ini saya akan menumpu perhatian mengajar anak murid yang berminat,” katanya.

Che Aminah berkata, beliau akan memberi peluang kepada orang lain pula untuk memenangi pertandingan berkenaan selepas ini dan menumpukan perhatiannya bagi melatih pelapis baru.

Pada masa sama, beliau menasihatkan mereka yang berminat menyertai pertandingan tilawah supaya tidak cepat berputus asa sebaliknya terus berusaha untuk berjaya.

“Sekiranya gagal, kita tidak boleh putus asa kerana mengaji al-Quran ini adalah kerana Allah bukan kerana pertandingan, sebaliknya kita perlu mengkaji kelemahan bacaan dan memperbaikinya.

“Apa saja perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa pasti akan membuahkan kejayaan yang manis,” katanya.

Sumber: myMetro

Isnin, 18 Jun 2012

Perpisahan dengan dunia

Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul

SAYID Qutub berkata: "Jika kekuatan pemandangan kiamat dan kesannya di dalam hati di ambil daripada kekuatan hakikat yang tersembunyi di dalam pemandangan itu sendiri, di samping di ambil daripada kekuatan penyampaian al-Quran yang membuat pemandangan itu seolah-olah hidup. Maka surah ini (selepas menayangkan pemandangan itu), menayangkan pula satu pemandangan yang lain daripada jarak yang amat dekat seolah-olah terjelma di hadapan mata, iaitu pemandangan yang sentiasa wujud dan berlaku berulang-ulang kali."
Pemandangan ini dihadapi oleh manusia pada setiap detik yang dilalui mereka di bumi ini, pemandangan ini menerjah mereka dengan kuat, jelas dan berat.

Firman Allah SWT: Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan. (al-Qiyamah: 26)

Ibnu Kathir berkata: "Dengan kata lain jika nyawamu telah terlepas dari badanmu dan sampai ke halkummu."

Al-Maraghi berkata: "Digunakan untuk mencela dan melarang. Ingat dan perhatikan kematian yang berada di depanmu. Jangan utamakan dunia melebihi daripada kecintaan akhirat, ini kerana hubunganmu dengan dunia ini akan terputus, kemudian kamu pula akan berpindah ke perkampungan akhirat yang bersifat kekal abadi."

Firman Allah SWT: Dan dikatakan (kepadanya): Siapakah yang dapat menyembuhkan? (al-Qiyamah: 27)

Ibnu al-Jauzi menyebut dua pendapat:
* Ia merupakan ucapan malaikat sebahagian mereka terhadap yang lain iaitu siapa yang mengangkat rohnya, sama ada Malaikat Rahmat atau Malaikat Azab? Ini yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza' daripada Ibnu Abbas dan ini juga pendapat Abu al-'Aliah dan Muqatil.
* Ucapan keluarganya iaitu siapakah yang dapat menjampi dan menyembuhkannya? Ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan ia adalah pendapat Ikrimah, ad-Dahak,Abu Qilabah, Qatadah, Ibnu Zaid, Abu Ubaidah, Ibnu Qutaibah dan al-Zajjaj.

Al-Maraghi berkata: "Siapakah yang dapat mengubatnya agar dia sembuh daripada bala yang menimpanya? Qatadah berkata: Carilah berapa ramai perawat untuknya tetapi mereka sedikitpun tidak mampu memberi manfaat dan penyembuhan kepadanya untuk menghalang ketentuan Allah."

Firman Allah SWT: Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia) (al-Qiyamah: 28)
Al-Maraghi berkata: "Orang yang hendak mati itu berkeyakinan bahawa apa yang berlaku baginya adalah sebagai peringatan saat perpisahannya dengan dunia, harta, keluarga dan anak-anak."
Keyakinan seperti ini dinamakan zan iaitu prasangka, sebab selama roh masih melekat di badan, orang tetap menginginkan kehidupan kerana cintanya yang amat mendalam terhadap dunia ini.

Firman Allah SWT: Dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan), (al-Qiyamah: 29)
Ibnu Jauzi menyebut lima pendapat:
* Urusan dunia dengan urusan akhirat seperti pendapat Ibnu Abbas dan juga Muqatil.
* Berhimpun padanya kehidupan dan kematian seperti pendapat al-Hasan.
* Bertaut dua betisnya ketika dikafankan seperti pendapat Said bin Musayyib.
* Bertaut dua betisnya ketika kematian seperti pendapat al-Sya'bi.
* Bencana dengan bencana seperti pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau. (al-Qiyamah: 30)
Sayid Qutub berkata: "Gambaran maut itu begitu hidup seolah-olah bergerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan gerak-geri dan pemandangan yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu jelas dengan suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang kejam dan pahit yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian berlakulah penghabisan yang tidak dapat dihindari."

Firman Allah SWT: Dan ia tidak mahu membenarkan (rasul dan al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi ia mendustakan (rasul) dan berpaling (dari kebenaran). Kemudian ia pergi kepada ahlinya dengan berlagak (sombong). (al-Qiyamah: 31-33)
Ibnu Kathir berkata: "Ini adalah pemberitahuan tentang orang kafir, di mana ketika di dunia, mereka mendustakan kebenaran dengan hati mereka dan enggan untuk beramal dengan anggota tubuhnya sehingga tidak ada kebaikan di dalam dirinya, sama ada lahir mahupun batin."

Semoga daripada surah ini kita benar-benar menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya. 

Perbincangan ini ditutup dengan menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada Abi Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Barang siapa antara kamu membaca surah at-Tin hingga akhir hayatnya hendaklah dia mengucapkan doa yang bermaksud "memang benar dan aku termasuk dari kalangan orang yang menjadi saksi yang demikian itu." 

Seterusnya siapa yang membaca akhir surah al-Qiyamah hendaklah dia mengucapkan dengan mafhumnya: Memang benar.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 9 Jun 2012

Wajah mukmin berseri-seri

SETELAH Allah menceritakan berkenaan dengan hal ehwal manusia dan keadaan mereka, maka Allah datang pula dengan ayat yang memberi arahan kepada Rasul-Nya SAW mengenai al-Quran yang diwahyukan kepadanya dan bagaimana peraturan menerimanya.

Firman Allah SWT: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. (al-Qiyamah: 16-17)

Al-Maraghi berkata: Dia menerangkan jaminan yang pertama menerusi firman-Nya: Wahai rasul yang mulia! Jangan engkau menggerakkan lisan dan kedua bibirmu untuk membacanya kerana engkau ingin mengambilnya dengan tergesa-gesa lantaran takut ia akan meninggalkanmu kerana Kami yang akan menghimpunkan untukmu, Kami juga yang akan menetapkannya dalam hatimu. 

Keadaan Nabi SAW apabila wahyu diturunkan kepadanya, Baginda sentiasa menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya untuk mengikutnya sehingga sulit baginya. Perkara itu diketahui melalui gerakan kedua-dua bibirnya.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu menguasai al-Quran.

Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat ini menjelaskan bagaimana gelisah, resah dan tidak sabarnya Nabi SAW untuk mengingati wahyu-wahyu yang disampaikan kepada baginda. 

Baginda memberi sepenuh perhatiannya kepada wahyu itu dan terlalu bimbang jika sekiranya terlupa mana-mana ayat atau kalimah daripada wahyu tersebut. 

Inilah yang mendorong Nabi SAW mengikuti bacaan Malaikat Jibril as, ayat demi ayat dan kalimah demi kalimah, agar Baginda benar-benar pasti tiada satupun yang hilang dan benar-benar pasti bahawa baginda SAW telah mengingati semuanya. 

Firman Allah SWT: Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. (al-Qiyamah: 18)

Al-Maraghi berkata: Apabila malaikat membacakan wahyu Allah SWT kepadamu, amalkanlah syariat dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Kemungkinan yang dimaksudkan, apabila malaikat membacakan al-Quran itu kepadamu, maka dengarkanlah, kemudian bacalah sebagaimana malaikat membacakan kepadamu.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu Jika malaikat telah selesai membacakan wahyu daripada Allah SWT, dengarkanlah dan kemudian bacakan kepadanya sebagaimana malaikat telah membacakannya kepadamu.

Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya. (al-Qiyamah: 19)

Al-Maraghi berkata: Selepas Kami menjadikan engkau boleh menghafal dan membacakannya, Kami akan memperjelaskan dan memberi ilham maknanya kepada kamu sesuai dengan yang dikehendaki. Kemudian Dia mengulangi perbincangan yang mencela orang musyrik, dan keingkaran mereka terhadap hari kebangkitan.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu setelah dia menghafaz dan membacanya, maka Kami (Allah) yang akan menjelaskan, menerangkan dan mengilhamkan maknanya untukmu sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan syariatkan.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia bercerita, Rasulullah SAW berusaha menghilangkan rasa gementar baginda disebabkan turunnya wahyu, dengan menggerakkan kedua bibirnya. Dia mengkhabarkan bahawa Ibnu Abbas berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana Rasulullah SAW menggerakkan kedua bibir baginda." Sedangkan Said juga pernah berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana aku melihat Ibnu Abbas menggerakkan kedua bibirnya."

Berkenaan dengan ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:

1. Kami menyatakannya dengan lisanmu sehingga kamu mampu membaca sebagaimana Jibril membaca kepadamu, inilah pendapat Ibnu Abbas.
2. Kami membalas dengannya pada hari kiamat mengikut janji baik dan buruk, inilah pendapat al-Hasan.
3. Kami menjelaskan segala hukum-hakam halal dan haram, inilah pendapat Qatadah.
4. Kami menurunkannya menggunakan bahasa arab untuk menerangkan kepada manusia, inilah pendapat al-Zajjaj.

Firman Allah SWT: Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan (kehidupan) akhirat. (al-Qiyamah: 20-21)

Ata' berkata: Abu Jahal tidak beriman dengan al-Quran dan segala keterangannya. Sebaliknya Ibnu Jarir pula berpendapat: Hal urusan akhirat tidak seperti sangkaanmu di mana tidak dibangkitkan.

Qatadah berkata: Sebahagian besar manusia suka memilih yang dekat kecuali orang yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya yang menyebabkan mereka mendustakan hari kiamat dan penolakan mereka terhadap wahyu yang hak dan al-Quran yang diturunkan Oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW kerana sesungguhnya yang menjadi keinginan mereka adalah kehidupan dunia sedang mereka lengah dan lalai terhadap kehidupan akhirat.

Sayid Qutub berkata: Yang mula-mula menarik perhatian dari segi keselarasan penerangan ayat ialah kehidupan dunia di sini dinamakan dengan 'Ajilah (kehidupan yang cepat). Selain daripada kata-kata ini menyarankan betapa pendek dan cepatnya berakhir kehidupan dunia ini, di sana juga terdapat keselarasan di antara bayangan kata-kata kehidupan yang cepat itu.

Firman Allah SWT: Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. (al-Qiyamah: 22)

Ulama menafsirkan perkataan berseri-seri dengan pelbagai tafsiran, antaranya:
Berseri-seri dengan kenikmatan seperti pendapat al-Farra'.
Dengan kebaikan seperti pendapat Ibnu Abbas.
Dengan mendapat kenikmatan seperti pendapat Ibnu Zaid.
Dengan kegembiraan seperti pendapat Mujahid.
Dengan putih dan bercahaya mukanya seperti pendapat Muqatil.
lDengan dibersihkan mukanya seperti pendapat al-Suddi.
Al-Maraghi berkata: Wajah orang mukmin yang ikhlas bersinar dan cerah ketika berlaku kiamat.

lIbnu Kathir berkata: Berasal dari kata an-Nadhaarah yang bermaksud rupawan, menawan, cemerlang lagi penuh kebahagiaan.

Sayid Qutub berkata: Jika beginilah kenikmatan melihat keindahan ciptaan Allah di dunia maka bagaimana pula kenikmatan melihat keindahan zat Allah sendiri di akhirat.

Sumber: Utusan Malaysia

Tanyalah Ustaz: Berinteraksi bersama al-Quran

Prof. Madya Dr Muhd Najib (UKM)

Tanyalah Ustaz: Episod 160
Tajuk: Berinteraksi bersama al-Quran.

1. Kita perlu menambah nilai dengan menghafaz, mentadabbur dan beramal dengan al-Quran. Bukan sekadar membaca al-Quran. 

2. Bila kita berinteraksi dengan al-Quran, kita perlu perhatikan adab-adab interaksi dengan al-Quran. 
+ berwudhuk
+ menghadap kiblat
+ mulakan dengan lafaz iztid'azah
+ baca dengan bertartil, khusyuk dan tadabbur.


3. Persoalan tentang non-muslim yang membaca al-Quran - Sesiapa yang membaca/mendengar al-Quran, InsyaAllah akan diberikan hidayah. Seperti mana Saidina Umar al-Khattab.
4. Tips untuk rajin membaca al-Quran & mengamalkannya - Membiasakan diri setiap hari membaca al-Quran. Untuk tidak miss membaca al-Quran; bacalah mana-mana surah yang telah dihafaz. 
5. Bila kita membaca al-Fatihah, ertinya kita sedang bermunajat dengan Allah SWT. 
6. Ramai orang yang membaca al-Quran hanya di tahap pertama; hanya membaca tanpa mentadabbur. Dikhuatiri hati masih keras kerana tidak memahami isi kandungannya. 
7. Sehari; 10 ayat dibaca dan difahami isi maknanya.
8. Tidak salah menggunakan ayat al-Quran untuk tujuan perubatan.
Ayat boleh dibacakan terus kepada pesakit.
9. Istimewanya al-Quran; boleh dihafaz oleh kanak-kanak, orang yang buta mata/ buta huruf (hanya berbekalkan pendengaran)
10. Digalakkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Johan tilawah cadang berguru

MUHAMMAD ANUAR dan Che Aminah menunjukkan piala yang dimenangi selepas dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55, di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, malam tadi.
Persediaan tingkat bacaan tharanum, tajwid tanding peringkat antarabangsa

JOHOR BAHRU: Johan qari, Muhamad Anuar Ghazali dan qariah, Che Aminah Che Awang pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55, bercadang berguru dengan mereka yang berpengalaman bagi mempertingkatkan bacaan tharanum dan tajwid sebagai persediaan menghadapi tilawah peringkat antarabangsa, Julai ini. 

Bagaimanapun, mereka menyerahkan keputusan memilih guru yang akan membantu menghadapi saingan peringkat antarabangsa itu kepada panel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Muhammad Anuar, 36, berkata beliau mempunyai masa sebulan daripada sekarang bagi membuat persiapan dan meningkatkan mutu bacaannya.

“Saya rasa bertanggungjawab dalam memikul amanah mewakili negara pada pertandingan itu nanti. Jadi saya akan lebih tekun dan berusaha keras dalam meningkatkan bacaan, terutama suara dan lagu kerana mereka yang bakal bertanding semuanya hebat,” katanya.

Muhammad Anuar yang bertugas sebagai guru Pendidikan Islam dan berasal dari Kelantan, melahirkan kesyukuran atas kemenangannya serta berikrar akan memberikan bacaan terbaik dalam per-tandingan pada peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Che Aminah, 57, berkata beliau teruja untuk bertanding buat kali pertama pada peringkat antarabangsa.

“Pertandingan peringkat antarabangsa lebih mencabar, malah cabaran dalam tempoh tidak sampai sebulan saya perlu mempelajari banyak lagi bagi meningkatkan mutu bacaan,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Jemaah Hakim merangkap Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, mengumumkan Muhammad Anuar yang mendapat 93.66 mata manakala Che Aminah memperoleh 84.33 mata sebagai pemenang qari serta qariah tilawah yang berakhir malam tadi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor.

Johan qari dan qariah membawa pulang wang tunai RM15,000 dengan pakej menunaikan haji, piala pusingan dan hadiah iringan.

Naib johan qari disandang Zul-Hasyimi Mohamed Yunus dari Pahang dan qariah, Nur Faten Izzati Rablin (Sabah) manakala ketiga qari diraih Mohamad Raffe Ghalil Abbas (Sabah) dan qariah oleh Marzian Mohd Deli (Kedah). Johan keseluruhan tilawah tahun ini dimenangi Pahang dengan mengumpul 83.17 mata.

Hadiah kepada pemenang qari disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, manakala Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan hadiah kepada pemenang qariah.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Temenggong, Tunku Idris Ibrahim serta putera puteri baginda. Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta barisan Exco kerajaan negeri.

Seramai 14 qari dan 13 qariah menyertai tilawah bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu. 

Sumber: Berita Harian

Jumaat, 8 Jun 2012

Kaedah fahami al-Quran, sunah

BAGAIMANA memahami al-Quran dan sunah. Pada hari ini kita berhadapan pelbagai latar pemikiran manusia. Antara isunya, mereka hanya ingin belajar membaca al-Quran, sekadar khatam al-Quran semata-mata.

Isu kedua ialah mereka khatam al-Quran dan membaca terjemahan serta memahaminya. Ini dianggap mencukupi.

Ini adalah satu salah faham yang sangat serius. Memahami al-Quran bukan dengan cara terjemahan semata-mata tetapi ia sebagai momentum atau batu loncatan.

Kaedah yang tepat untuk memahami al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w ialah dengan penafsiran dan syarahan hadis.

Tetapi, apakah kaedah dan metodologinya? Bagaimana pula asasnya dan pergantungan kepada siapa yang kita hendak letak kerana banyak orang mempunyai pelbagai takwilan.

Contohnya, seorang dari Oman pernah bertanya hadis Nabi daripada sahabat Abu Hurairah.
“Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah sungai Furat kering dan mengeluarkan gunung (timbunan) emas yang menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Maka seramai sembilan puluh sembilan daripada seratus orang dibunuh dan setiap lelaki dari kalangan mereka itu akan mengharapkan kejayaan itu menjadi miliknya.” (riwayat Imam Muslim, no. 5152) Banyak tersebar di Internet bahawa bukit daripada emas itu ialah minyak. Jadi apabila Petronas menjumpai minyak di Oman serta menjalankan perniagaan dengan minyak tersebut, maka ada di kalangan pekerja tidak berani ke sana kerana takutkan khabar buruk daripada hadis itu. Mereka bertanya mengenai perkara itu.

Apabila kita teliti penjelasan hadis itu daripada kalangan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah ternyata pemahaman hadis itu berbeza. Itu dikatakan takwilan. Pada hari ini memang petroleum dikenali sebagai emas hitam. Petroleum digelar emas hitam itu hanya ‘terminologi’ kita pada hari ini, sedangkan Nabi Muhamad di dalam hadis itu ialah bukit daripada emas yang sebenarnya.

Nabi memberitahu bukit itu daripada emas dan ia akan muncul dari laut. Takwilan logik mungkin kita kata bukit daripada emas, dikorek di dasar laut yang berbukit-bukit serta di dalamnya mempunyai petroleum hitam. Ia adalah minyak yang berwarna hitam mungkin daripada petrol atau sebagainya.

Jadi, menurut pemahaman orang yang menggunakan logik akal, mereka menyangka ini adalah emas hitam, iaitu tanda-tanda kiamat. Fahaman ini menggunakan dalil logik. Kaedah untuk berkomunikasi dan memahami hadis, pertamanya ialah dengan iman.

Beriman dengan zahir nas dahulu, kerana kaedah asal untuk kita berkomunikasi dengan al-Quran dan hadis adalah secara literal; yakni mengimani apa yang terlebih dahulu. Apa yang Nabi kata emas itu adalah emas serta bukit itu adalah bukit secara zahirnya.

Ini kerana Nabi Muhamad berkata mengenai benda ghaib (hal-hal yang akan datang) dan baginda tidak akan memberitahu sesuatu perkara yang akan mengelirukan umatnya. Beliau tidak akan memberi takwilan yang akan menyebabkan ummahnya memberikan pelbagai tafsiran serta pandangan.

Memesongkan makna dajal Nabi Muhammad sentiasa memberi perkataan mudah yang membawa kepada perpaduan umatnya. Maka, jika kita teliti hadis ini yang pertama menggunakan rasionalnya, begitu juga hadis dajal yang menggunakan logik akal akan menolak hadis dajal.

Mereka berkata, mustahil ada makhluk yang akan keluar dalam rupa sebegitu. Mereka berpendapat dajal ini bermaksud Amerika, Israel dan sekutunya. Mereka juga menyatakan apa yang berlaku sekarang iaitu pembunuhan beramai-ramai pada hari ini adalah dajal serta yakjuj dan makjuj. Sedangkan baginda memberitahu kita di dalam hadis yang sahih mengenai dajal seperti sifat, wajah, mata, rambut, badannya serta apa yang dia lakukan, apa yang dibawa iaitu syurga dan neraka.

Sebuah hadis dari Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah telah bersabda maksudnya: “Tidak seorang Nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa dajal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis ‘kaaf’, ‘faa’, ‘raa’.” (riwayat Imam Muslim) Akan tetapi apabila datangnya golongan aqalaniyun atau rasionalis iaitu orang yang mendahulukan akal melebihi nas wahyu, yang tidak wujud di dalam hati mereka sifat memuliakan serta mendahulukan nas wahyu. Mereka melihat dari pandangan logik akal mereka semata-mata. Begitu juga hadis berkaitan Imam Mahdi dan hadis yang berkaitan azab kubur ditolak ke tepi. Mereka berhujah jika ada seorang manusia dimakan ikan jerung di tengah laut, jasadnya habis dimamah 1,000 jerung, maka bagaimana tubuh itu mendapatkan azab kubur kerana jasadnya tidak ditanam.

Allah menegaskan hal ini dalam firmanya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujurat: 1) Kita memikirkan sesuatu menggunakan logik akal serta tidak mendahulukan iman dalam berinteraksi dengan al-Quran dan sunah. Sebab itu kita perlu tahu bagaimana cara dan kaedah untuk memahami nas.

Jika kita bergantung dengan pendapat umum ia akan membawa pelbagai pendapat kerana setiap orang mempunyai pemikiran yang berbeza sehinggakan Ali bin Abi Talib berkata: “Kamu perlulah berkomunikasi dengan manusia, sesuai dengan tahap pemikiran mereka.” Ini menunjukkan Ali bin Abi Talib memaklumkan kepada kita tahap manusia berfikir berbeza-beza. Ada antaranya terlalu bijak, ada terlalu lemah daya pemikirannya dan yang sederhana.

Dengan cara dan tahap berfikir seperti ini semestinya perkataan yang disampaikan itu perlu disesuaikan dengan tahap dan cara mereka berfikir tanpa kita mengubah nas-nas wahyu yang disampaikan Nabi.

Kesimpulannya, kita renung apa yang dikatakan Imam az-Zuhri yang maksudnya: “Wahyu berasal daripada Allah. Rasul hanyalah menyampaikan kepada kita. Sedangkan kita diharuskan untuk pasrah (menerima).” (riwayat Imam al-Bukhari dalam Kitabut Tauhid secara mu’allaq) Penulis berkelulusan Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan.

Sumber: MyMetro

Khamis, 7 Jun 2012

Tokoh perintis penterjemahan al-Quran

SALMAN al-Farisi, sahabat Rasulullah SAW merupakan orang pertama kali menterjemahkan kitab suci al-Quran ke dalam bahasa lain. Dalam sejarah disebutkan, beliau menterjemahkan surah al-Fatihah secara lisan ke dalam bahasa Parsi atas permintaan orang-orang Muslim Parsi. Namun terjemahan al-Farisi ini belum mencakupi keseluruhan surah dalam al-Quran, hanya surah al-Fatihah.

Di antara tokoh-tokoh yang berusaha menterjemahkan al-Quran adalah seperti berikut. Usaha mereka ini telah membuka mata, khususnya kepada dunia Barat tentang mukjizat al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada umat manusia.

Petrus Agung (1092-1156 M): Ketua gereja Cluny, Perancis adalah tokoh Barat yang pertama kali berusaha menterjemahkan al-Quran. Dengan bantuan seorang teologi abad pertengahan berbangsa Inggeris, Robert Ketenesis (1110-1160), dan muridnya Hermannus Dalmatin (1110-1160), beliau menterjemahkan teks al-Quran ke dalam bahasa Latin yang diberi judul Lex Mahumet Pseudoprophete pada tahun 1143 masihi.

Louis Maracci (1612-1700 M): Seterusnya terjemahan al-Quran berbahasa Latin yang paling masyhur dan banyak menjadi rujukan adalah milik Louis Maracci, seorang berbangsa Itali. Terjemahan al-Quran karya Maracci ini disertakan teks Arab dan ulasan panjang yang berisi penolakan terhadap Islam.

Andre du Ryer (1580-1660 M): Orientalis berbangsa Perancis ini merupakan tokoh yang pertama kali membuat terjemahan al-Quran berbahasa Perancis. Beliau menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Perancis langsung daripada teks aslinya berbahasa Arab.
Pengalamannya tinggal lama di Istanbul, Turki dan Mesir membuatnya menguasai bahasa Arab dengan baik. Karyanya ini diberi judul L'Alcoran de Mahomet.

Salomon Schweigger (1551-1622 M): Beliau pendeta gereja Noremberg adalah orang pertama kali melakukan penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Jerman. Beliau menterjemahkan al-Quran tersebut daripada sebuah terjemahan al-Quran berbahasa Itali. Terjemahan karya Schweigger ini diberi berjudul Alcoranus Mahometicus.

Andrea Arrivabene (1534-1570 M): Versi terjemahan al-Quran dalam bahasa Itali pertama kali dibuat oleh Andrea Arrivabene. Karya terjemahan yang diberi judul L'Alcorano di Macometto merupakan hasil penterjemahan karya Petrus Agung.

Hendrrik Jan Glasemaker: Beliau merupakan orang pertama yang diketahui membuat terjemahan al-Quran dalam bahasa Belanda. Beliau menterjemahkan al-Quran bersumberkan pada sebuah terjemahan al-Quran versi bahasa Perancis. Terjemahan ini diberi judul Mahomets AlKoran.

Alexander Ross (1590-1654 M): Beliau adalah orang yang pertama kali menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris. Al-Quran terjemahan Ross ini dibuat pada tahun 1649 dengan mengadaptasinya daripada terjemahan al-Quran berbahasa Perancis, L'Alcoran de Mahomet. 

Sumber: Utusan Malaysia

Jejak al-Quran di dunia Barat

TERJEMAHAN al-Quran Lex Mahumet Pseudopprophete karya Petrus Agung dapat diterima oleh bangsa Eropah. Pada waktu singkat ia tersebar luas di tengah-tengah masyarakat bukan Muslim. 

Bahkan terjemahan tersebut menjadi rujukan terjemahan al-Quran untuk bahasa-bahasa lain seperti; Itali, Inggeris, Jerman, Perancis dan Belanda.

Terjemahan al-Quran pertama dalam bahasa Latin dibuat oleh Petrus Agung, namun terjemahan al-Quran karya Marcci itu menyertakan teks Arab dan ulasan panjang berisi penolakan terhadap Islam pada tahun 1691. 

Terjemahan al-Quran karya Maracci itu kemudian dicetak di Eropah tahun 1687.
Sebelumnya sekitar tahun 1209 atau 1210, usaha penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Latin juga telah dilakukan oleh Marco de Toledo. Beliau adalah seorang doktor dan pastur berbangsa Sepanyol. Pada period seterusnya penterjemahan al-Quran ke bahasa Latin juga di lakukan oleh Abraham Hankelmann, seorang pendeta di Hamburg, Jerman. Kemudian Hankelmann mencetak terjemahan al-Quran tersebut pada tahun 1694.

Namun dari sekian banyak terjemahan al-Quran versi bahasa Perancis, terjemahan yang paling menarik adalah milik C. Savari. Terjemahan tersebut pertama kali dicetak di Paris pada tahun 1750 dan mengalami ulang cetak sebanyak 28 kali pada tahun 1788.
Karya terjemahan al-Quran berbahasa Perancis yang terbaharu adalah dilakukan oleh seorang ahli budaya dan bahasa Arab serta pensyarah pada Universiti Perancis. Terjemahan yang menyertakan penjelasan dan ulasan terhadap al-Quran itu dicetak pertama kali pada tahun 1990. 

Edisi al-Quran dua bahasa (Belanda-Arab) mula diterbitkan pada tahun 1953 di Rabwah, Pakistan dengan judul De Heilige Qora'aan. Kemudian disusul dengan penerbitan edisi serupa pada tahun 1989 dengan nama De Koran. Sementara karya terjemahan al-Quran berbahasa Belanda yang terbilang baharu adalah yang dibuat oleh Kader Abdollah tahun 2008.

Terjemahan al-Quran di Nusantara: Terjemahan al-Quran di Nusantara atau di dunia Melayu khususnya di Malaysia memang banyak telah diusahakan oleh pengarang dan penulis Melayu seperti Tafsir al-Quran al-Hakim oleh Mustaffa Abdul Rahman Mahmud, cetakan pertama tahun 1949. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran penyemak dan penterjemah oleh Muhammad Noor Ibrahim dan Sheikh Abdullah Mohd. Basmeih, dengan izin dan di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Islam Malaysia dengan cetakan pertama, Mei 1980 oleh Yayasan Islam Terengganu. 

Manakala Tafsir Fi Zilal al-Quran oleh Sayyid Qutub diterjemahkan Oleh Yusoff Zaky Yaakob dan dicetak pertama kali oleh Dian Darul Naim Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1983 sehingga selesai terjemahannya 30 juzuk. 

Pada 19/1/1999, pukul 4.25 pagi pada Hari Raya Aidilfitri, Yusoff Zaky (yang sebelumnya mendapat anugerah Datuk), dan juga guru kepada penulis ini telah kembali ke rahmatullah.
Semoga arwah semua yang terlibat penterjemahan al-Quran, khususnya di dunia Melayu dicucuri rahmat daripada Allah SWT. Amin.

*IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu.

Sumber: Utusan Malaysia

Lapan perdengar bacaan

JOHOR BAHRU: Saingan hari ketiga Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor di sini, malam tadi menyaksikan lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing.

Lapan peserta itu membabitkan empat qari iaitu Ismail Hashim yang berasal dari Perlis; Abdul Hanis Mohd Daud (Negeri Sembilan); Mohd Safwan Mahli (Sarawak) dan Dzafarul Idham Mohd Fauzi dari Pulau Pinang.

Empat lagi ialah qariah termasuk qariah tuan rumah, Nisah @ Hanisah Abdullah; Awatif Abdul Majid (Pulau Pinang); Che Minah Che Awang (Wilayah Persekutuan) dan Noorliza Tajudin dari Negeri Sembilan.

Majlis tahun ini bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ dan menyaksikan 27 qari serta qariah menyertainya, ia bermula Isnin lalu hingga Jumaat ini.

Sumber: MyMetro

Ahad, 3 Jun 2012

Note: Al-Quran Memperkasa Ummah

KARNIVAL ISLAM BAKIT 2012 bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan TM Kali Ke-36


Forum Perdana bertajuk: “Al-Quran Memperkasa Ummah”
Ahli Panel : Dr. Hj. Mohd Shafie B. Hj. Md. Amin, Imam Muda Hizbur & Imam Muda Aran
Moderator: En Zamzuhri

[ Dr. Hj. Mohd Shafie B. Hj. Md. Amin ]  

"Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi." Al Baqarah, Ayat 121

According to Dr Yusuf al-Qardawi, to have a beautiful relationship with Al-Quran; one must;-
1. Improve reading skills."Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan 'Tartil'". - Al Muzzammil, Ayat 4
2. Understand its messages.
3. Apply sincerely.
4. Spread it.

Success is not about what you have, it's about what you do and Taqwa is compliance. :)
[ Imam Muda Hizbur ]
 
Ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah Iqra'. Pendapat terkuat tentang ayat terakhir al-Quran ialah ayat 281, Surah al-Baqarah.

"Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun."

[ Imam Muda Aran ]

Menjawab persoalan tentang kepentingan belajar Qiraat: Al-Quran unik kerana boleh dibaca dengan pelbagai dialek, ini adalah untuk kemudahan bacaan bagi pelbagai kaum. Yang mana terdapat kelemahan bagi sebutan sesetengah huruf.

Gambar: Karnival Islam Bakit 2012

Di Lecture Hall 2 - Hafazan Perempuan


Panik kot kena soalan tebuk2..

Malam: Forum Perdana

Imam Muda Aran, Imam Muda Hizbur, Dr Shafie, & En Zamzuhri







Majlis tilawah suburkan budaya minat baca al-Quran

MAJLIS Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 yang bermula esok hingga 8 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bharu, bakal mempertemukan 27 peserta terdiri daripada 14 qari dan 13 qariah mewakili 14 negeri. 

Bagaimanapun tahun ini, johan menunggu qari dan qariah, tidak mengambil bahagian. Mereka ialah johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54, Amirahman Abas dari Negeri Sembilan dan Suraya Abu Hassan dari Johor. 

Namun, bagi yang sentiasa mengikuti majlis dianjurkan setiap tahun itu, tetap ternanti-nanti untuk melihat peserta yang mewakili negeri masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 ini memperdengarkan bacaan mereka. 

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 yang berlangsung lima hari akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sementara majlis penutup disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Tilawah kali ini bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ yang bertepatan dengan usaha kerajaan mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama, saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata dalam situasi masyarakat yang semakin alpa dengan tanggungjawab diamanahkan, menjadi kewajipan sesama muslim saling mengingati dan mempereratkan hubungan.

Katanya, jaringan yang mantap akan menghasilkan semangat persaudaraan unggul seterusnya memperkasakan ikatan perpaduan ummah yang disegani di mata dunia.
“Konsep persefahaman ini pencetus perpaduan yang bermula tatkala tautan hati bersemi. Persefahaman mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia.

“Kelestarian semangat ini dalam amalan kita seharian akan menjadi perisai daripada sebarang godaan atau hasutan yang cuba menggugat kestabilan serta keharmonian negara,” katanya.

Johan tilawah akan menerima piala iringan, wang tunai RM15,000, pakej menunaikan ibadat haji berserta cenderamata. Naib johan akan menerima wang tunai RM7,000, pakej menunaikan ibadat haji dan cenderamata.

Pemenang ketiga akan menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji dan cenderamata. Setiap peserta menerima hadiah sagu hati RM2,000 dan cenderamata.

Sempena berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52, pelbagai program dirancang antaranya kuiz, seminar Al-Quran bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor serta gerai pameran daripada jabatan kerajaan dan badan swasta.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan setiap tahun sebagai usaha berterusan kerajaan menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran serta memahami inti pati ajaran Islam supaya dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Majlis ini juga bakal mencungkil bakat dan keupayaan qari serta qariah yang boleh membaca al-Quran secara bertarannum mengikut kaedah dan disiplin qiraat al-Quran yang betul. Mereka akan mewakili negara pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Peringkat Antarabangsa.

Selain pertandingan yang diadakan di Malaysia, peserta juga akan mewakili Malaysia untuk pertandingan pada peringkat antarabangsa yang dianjurkan negara-negara Islam.

Orang ramai dijemput hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Baharu, untuk meraikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55. Majlis itu juga akan disiarkan secara langsung di TV1 dan boleh juga ditonton melalui Jakim.tv dengan melayari portal www.jakim.tv. 

Sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...