Jumaat, 27 April 2012

Qiraat Rasulullah SAW

SEMASA berkunjung menziarahi seorang guru al-Quran yang aktif mengajar riwayat Warsy kepada masyarakat, saya ditanya dengan soalan bagaimanakah bentuk bacaan al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW. 

Apakah Rasulullah membaca al-Quran sama dengan bacaan kita pada hari ini iaitu mengikut riwayat Hafs daripada Imam Asim atau Rasulullah membaca seperti riwayat warsy, riwayat Qalun, Ibnu Kathur, al-Duri, Imam Hamzah atau qiraat lain.

Semasa menjamah kuih-muih yang dihidangkan, fikiran saya mula mencari jawapan yang sesuai dan memuaskan hati seorang guru al-Quran yang mahir dengan riwayat hafs dan warsy.
Saya cuba mencuit hati guru al-Quran dengan menyatakan soalan yang diutarakan amat sesuai untuk satu sesi ceramah.

Perkara utama yang perlu difahami bersama ialah semua Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh tidak mempunyai satu idea atau buah fikiran untuk mencipta cara membaca al-Quran.
Semua qiraat yang wujud pada hari ini yang diriwayatkan oleh Tujuh Qurra atau Sepuluh Qurra adalah bersumber daripada Rasulullah dan ia merupakan wahyu yang diturun daripada Allah SWT kepada Rasulullah.

Sepuluh Qurra masyhur di kalangan umat Islam kerana sumbangan besar mereka yang hidup bersama Quran, mempunyai ilmu yang luas berkaitan bacaan Quran, mengajar Quran kepada masyarakat setempat dengan tempoh yang lama. 

Umpamanya, Imam Nafei, beliau adalah guru Quran di Madinah al-Munawwarah selama 60 tahun dan dihormati di kalangan penduduk Madinah termasuklah Imam Malik.
Bagi menjelaskan lagi persoalan yang diutarakan, perlu meneliti sanad setiap Qurra yang kesemuanya berakhir dengan Rasulullah. 

Di kalangan Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh, riwayat yang paling luas pengamalannya di dunia Islam ialah riwayat Hafs. Perkara ini berlaku kerana sanad riwayat hafs berakhir dengan lima orang sahabat Rasulullah yang membaca di hadapan baginda.

Imam Hafs belajar al-Quran dengan Imam 'Asim yang bertalaqqi dengan Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan murid kepada lima orang sahabat besar baginda.
Mereka ialah Zaid Ibnu Thabit, Abdullah Ibnu Ma'ud, Muaz Ibnu Jabal, Othman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Talib ra. 

Berguru dengan Zaid 

Abdul Rahman al-Sulami pernah menyatakan bahawa beliau talaqqi al-Quran daripada gurunya Uthman Ibnu Affan. Pada masa itu Uthman adalah seorang pemerintah.
Uthman berkata: "Kepadanya sesungguhnya aku sibuk dengan urusan pemerintahan. Justeru pergilah kamu kepada Zaid ibnu Thabit dan sempurnakan bacaan di hadapannya. Sesungguhnya bacaanku dan bacaan Zaid adalah sama dan tiada perbezaan."

Lantas Abdul Rahman al-Sulami mendapatkan Zaid dan membaca seluruh al-Quran. Pernah satu ketika, Abdul Rahman berjumpa Ali Ibnu Abi Talib dan bertanya tentangnya lalu diceritakan kisah bacaan Quraannya di hadapan Zaid ibnu Thabit. 

Ali Ibnu Abi Talib berkata: "Istiqamahlah kamu dengan Zaid Ibnu Thabit. Abdul Rahman al-Sulami mendampingi dan menuntut ilmu Quran daripada Zaid Ibnu Thabit selama 13 tahun.
Akhirnya, beliau berkata: "Baru aku mengerti betapa hebatnya Zaid Ibnu Thabit dan kuat dabitnya tentang al-Quran dan rahsia pengakuan Uthman Ibnu Affan yang diberikan kepada Zaid Ibnu Thabit ra. selama ini."

Bagi menjelaskan lagi bentuk bacaan Rasulullah, Abu Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan guru kepada Imam Asim, menyatakan bahawa bacaan al-Quran Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Zaid Ibnu Thabit, golongan Muhajirin dan Ansar adalah sama sahaja.
Mereka membaca dengan bacaan yang umum dan ia merupakan bacaan yang dibaca oleh Rasulullah di hadapan Jibril sebanyak dua kali pada tahun Rasulullah meninggal dunia.
Zaid menyaksikan bacaan terakhir tersebut dan beliau mengajar umat manusia bacaan tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia. 

Bacaan tersebut jugalah dipegang oleh Abu Bakar al-Siddiq dalam pengumpulan pertama al-Quran. Dan semasa Uthman ra, beliau telah mentauliah Zaid di kalangan penulis al-Quran.
Berbalik kepada riwayat Hafs yang dibaca pada ketika ini, ia merupakan bacaan yang paling mudah jika dibandingkan dengan qiraat lain. Khilaf qiraatnya tidak banyak seumpama riwayat Warsy, Qiraat Hamzah dan lain-lain.

Kesimpulannya, semua qiraat mutawatirah yang wujud pada hari ini adalah yang diajar oleh Rasulullah kepada para sahabat. 

Bagi menguatkan lagi kesahihan qiraat untuk diamalkan oleh umat Islam, para ulama telah meletakkan piawaian atau garis panduan yang dinamakan sebagai rukun qiraat. 

Jika sesuatu qiraat menepati tiga rukun qiraat, bermaksud ia adalah sahih dan mutawatirah. Pertama; kesahihan sanad, kedua; menepati bahasa Arab dan ketiga; menetapi mushaf Uthmani.

Justeru semua Qiraat Tujuh menepati rukun qiraat dan ia bersumber daripada Rasulullah. Namun riwayat Hafs mendapat tempat di kalangan umat Islam daripada dahulu lagi kerana sanadnya bersambung dengan lima sahabat ra kepada Rasulullah.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 14 April 2012

Seruan agungkan Allah

SURAH al-Mudassir diturunkan selepas surah al-Muzammil. Keseluruhan ayat ini berjumlah 56 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makkiyyah.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
* Permulaan surah ini sama dengan surah yang sebelumnya kerana ia dimulakan dengan seruan kepada Nabi SAW.
* Permulaan kedua-dua surah ini dengan surah yang sebelumnya diturunkan berkaitan dengan satu kisah.
* Surah terdahulu dimulakan agar mengerjakan ibadah qiamullail yang merupakan kesempurnaan serta keperibadian Nabi SAW, manakala surah ini dimulai dengan memberi peringatan kepada orang lain dan perkara ini lambang kesempurnaan kepada orang tersebut.
Firman Allah SWT: Hai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan! (al-Mudassir: 1-2)

Ulama telah khilaf di mana ada yang berpendapat ayat ini yang pertama diturunkan sedangkan jumhur ulama berpendapat bahawa permulaan surah al-'Ala' adalah yang pertama.

Ibnu Kathir berkata: Bersedialah untuk menyatukan tekad dan berilah peringatan kepada umat manusia sehingga dengan semua itu akan tercapai misi kerasulan sebagaimana dengan ayat pertama telah tercapai misi kenabian.

Sayid Qutub berkata: Juga mengandungi bimbingan-bimbingan untuk Rasulullah SAW, supaya membuat persediaan yang cukup untuk melaksanakan tugas yang besar itu dan supaya memperjuangkannya mengikut arahan-arahan Allah SWT yang berikut.

Seorang pendakwah yang mengajak manusia kepada Tuhannya Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi tidak akan dapat melakukan yang demikian, kecuali jika dia berakhlak mulia dan mempunyai sifat-sifat yang terpuji.

Firman Allah SWT: Dan Tuhanmu agungkanlah! (al-Mudassir: 3)

Ibnu Jauzi berkata: Hendaklah kamu mengagungkan Tuhanmu lebih daripada penyembah-penyembah berhala mengagungkan tuhan-tuhan mereka.

Al-Maraghi berkata: Muliakanlah Tuhanmu dan Pemilik segala urusanmu dengan beribadah kepada-Nya dan penuhkan harapan kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Firman Allah SWT: Dan pakaianmu bersihkanlah (al-Mudassir: 4)

Ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat, antaranya:

* Ibnu Abbas pernah ditanya tentang perkara tersebut. Maka jawabnya: Janganlah kamu memakainya untuk niat melakukan maksiat dan memungkiri janji. Kemudian beliau berkata: Tidakkah kamu mendengar madah Ghaylan ibnu Maslamah al-Thaqafi:
Alhamdulillah! Aku tidak mempunyai pakaian jahat yang kupakai, aku juga tidak mempunyai pakaian ingkar yang kusenangi.
* Orang Arab mengatakan seseorang yang telah mungkir janji dan tidak menepatinya, dia dianggap mengotorkan pakaian. Tetapi apabila dia menepati janji dan tidak mungkir janji, maka mereka mengatakan bahawa pakaiannya bersih.
* Samu'al ibn 'Adiya merupakan seorang Yahudi berkata pula: Jika orang tidak mengotorkan kehormatannya dengan celaan maka segala pakaian yang dikenakannya itu indah dan cantik.
* Jangan jadi pakaian kamu daripada sumber yang tidak bersih, ini juga pendapat Ibnu Abbas.
* Amalan kamu hendaklah kamu perelokkannya seperti pendapat ad-Dahak.
* Akhlakmu hendaklah kamu perbaikkannya seperti pendapat al-Hasan dan al-Qurazi.
* Pakaianmu hendaklah pendekkan dan singsingnya (sebagai bersungguh-sungguh dalam berusaha) seperti pendapat Taws.
* Hatimu hendaklah kamu bersihkan, inilah pendapat Said bin Jubir.

Makna-makna yang demikian ini tetap digunakan di Mesir dan negeri-negeri yang lain. Antara ungkapan seperti mereka mengatakan, Fulanun tahiru'dh dhayl, bagi menunjukkan si polan itu tidak bersentuhan dengan seorang perempuan sama sekali.

Sejumlah imam berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan taharatu'th thiyab, adalah mencuci pakaian itu dengan air kerana terkena najis. Pendapat yang demikian juga diriwayatkan oleh ramai sahabat dan tabiin. 

Pendapat itu turut dipilih oleh imam al-Syafi'e sehingga beliau mewajibkan untuk mencuci najis dan pakaian bagi orang yang mengerjakan solat.

Orang yang mahir dengan ilmu-ilmu perundangan dan ahli ilmuan sosial di Eropah berpendapat bahawa manusia yang paling kotor tubuh badan dan pakaiannya adalah orang yang paling banyak berbuat dosa. 

Manakala orang yang paling bersih badan dan pakaiannya adalah orang yang paling jauh daripada melakukan dosa.

Oleh sebab itu, mereka memerintahkan kepada orang tahanan agar kerap mandi dan membersihkan pakaian sehingga akhlak mereka akan menjadi baik. Akhirnya mereka keluar dari penjara dengan akhlak yang begitu baik.

Menurut pendapat Professor Bentham dalam bukunya, Usulu't Tashri' (The Principal of Morals and Legislation), "Sesungguhnya kebersihan yang banyak dalam agama Islam itu membawa pengikut-pengikut ke puncak ketinggian akhlak dan keistimewaannya, sekiranya mereka mengerjakan segala perintah agama mereka dengan sebaik-baiknya".

Firman Allah SWT: Dan perbuatan dosa tinggalkanlah. (al-Mudassir: 5)

Ulama tafsir menafsirkan maksud ayat ini kepada beberapa pendapat:

* Ia adalah berhala seperti kata Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Qatadah, Zuhri, Suddi dan Ibnu Zaid.
* Ia adalah dosa seperti pendapat Ibnu Abbas juga.
* Ia adalah syirik inilah pendapat Ibnu Jubair dan ad-Dahak.
* Ini adalah kesalahan seperti pendapat al-Hasan.
* Ini adalah azab seperti pendapat Ibn as-Saib.
* Ia adalah syaitan seperti kata Ibnu Kaisan.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. (al-Mudassir: 6)

Ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:
* Jangan kamu memberi sesuatu dengan mengharap mendapat lebih baik seperti kata Ibnu Abbas, Ikrimah dan Qatadah.
* Jangan kamu mengungkit amalanmu dan membanyakkan ia atas Tuhanmu, inilah pendapat al-Hasan.
* Gandakan daripada kebaikan untuk memperbanyakan kerana berubah niat seperti pendapat Mujahid.
* Jangan kamu mengungkit akan kurniaan Allah kepadamu dengan kenabian untuk kamu mendapat balasan dan upah daripada mereka, inilah pendapat Ibnu Zaid.

Firman Allah SWT: Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah. (al-Mudassir: 7)
Bimbingan-bimbingan ini diakhiri dengan pesanan bersabar sama seperti bimbingan dalam surah al-Muzzammil.

Sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 6 April 2012

Jaminan syafaat di padang mahsyar

SALAH satu ciri mukmin beruntung di dunia dan akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan selalu membacanya. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah). 

Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan Rasulullah s.a.w itu, kita wajar mendorong hati supaya sentiasa rindu mempelajari serta membaca al-Quran.

Jika selama ini kita terbiasa dengan amalan wajib mesti membaca akhbar setiap pagi hari, apa salahnya kita membaca al-Quran sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan.

Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca al-Quran’. Tampalkan di rumah supaya diri serta seluruh keluarga menatapnya setiap masa.

Keuntungan seseorang yang membaca al-Quran pada hari akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita amat memerlukan pertolongan di padang mahsyar.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Bacalah al-Quran. kerana pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim).


Seperkara lagi yang seharusnya kita sedari ialah amalan membaca al-Quran juga metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati.


Jika fikiran dan jiwa seorang itu sentiasa diselubungi pelbagai emosi dan berserabut, perasaan pasti terungkai apabila membaca al-Quran.


Rasulullah berpesan, “Tidak ada orang-orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah di kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud).


Seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong di kalangan mukmin yang dicintai Allah.


Inilah kehebatan penuntut dan pembaca al-Quran malah Rasulullah s.a.w mengiktirafkan amalan membaca kitab suci itu sebagai ibadah terbaik.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Yang paling utama daripada ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).


Pupuk anak dan isteri membudayakan membaca al-Quran kerana itulah acuan keluarga bahagia yang dipayungi rahmat Allah.


Anak yang membesar dalam ruang lingkup emosi yang berpaksikan nur al-Quran pastinya akan muncul anak yang soleh.


Membentuk jiwa anak-anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa.


Jangan biarkan jiwa anak kita ketandusan dengan keberkatan al-Quran kepada kesannya cukup buruk dan memungkinkan berlakunya iman semakin menipis yang menjadi punca nafsu syaitan untuk memporak perandakan jiwa.


Rasulullah s.a.w berpesan, “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad, Hakim dan al-Darimi).


Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa serta mengukuhkan akar iman dan takwa seseorang.


Jika tidak dibaja dengan bacaan al-Quran, jiwa menjadi kering, layu dan mungkin terus terkulai mati. Baca dan renunglah dengan bersungguh akan peringatan Rasulullah s.a.w kepada sahabat Baginda, Abu Dzar ini.


Kata baginda, “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sumber: myMetro 

Mengaji di rumah semakin popular

MASIH segar dalam ingatan bagaimana satu ketika dahulu pada waktu petang anak-anak kampung akan berbondong-bondong ke rumah guru al-Quran. 

Ada juga yang pulang sahaja dari sekolah di sebelah petang, terus capai al-Quran dan berlari-lari anak ke rumah ustaz atau ke madrasah untuk mengaji.

Pada waktu itu, ibu bapa berani melepaskan anak-anak berjalan sendirian atau dalam kumpulan kecil untuk mengaji al-Quran termasuk pada waktu malam.
Di kampung-kampung yang belum ada bekalan elektrik pula, anak-anak terbabit dengan bertemankan lampu suluh atau pelita ayan berulang-alik saban malam demi mendapatkan ilmu al-Quran. 

Pada masa itu, tidak ada kebimbangan di kalangan ibu bapa kalau-kalau anak mereka diculik atau diperlakukan dengan perkara tidak elok. 

Bagi kanak-kanak pula, mereka lebih takut dimarahi ustaz atau tok guru walaupun kadang-kadang terpaksa lari lintang pukang di kejar anjing atau bulu roma meremang bila teringat kisah-kisah seram ketika pulang dari mengaji pada waktu malam. 

Seperkara lagi, mengaji pada ketika itu, soal bayaran atau upah mengajar bukanlah topik utama sangat. Ia terpulang kepada ibu bapa, padahal boleh dikatakan setiap hari mengaji kecuali hari Jumaat.

Bila disingkap pengalaman mengaji bagi generasi yang hidup lingkungan tahun 40-an pula. Lain pula suasana mereka dan paling unik apabila upah yang dibayar ialah bukan dalam bentuk wang ringgit tetapi dengan cara membantu ustaz mengaji melakukan kerja-kerja seperti memenuhkan air di tempayan, mencarikan kayu api atau melipat dan mengangkat kain di jemuran.

Hari ini terdapat pelbagai kemudahan untuk belajar al-Quran. Ada yang boleh diperoleh menerusi kelas-kelas pengajian al-Quran yang ditawarkan pelbagai pusat atau masjid.
Yang paling ketara sudah menjadi trend ketika ini di mana para guru pula datang mencari murid. Ini ekoran trend mengupah ustaz atau ustazah mengajar anak-anak mengaji di rumah semakin popular.

Pelbagai alasan digunakan oleh ibu bapa untuk merasionalkan tindakan itu dan yang paling sering ialah faktor keselamatan.

Sebab itu, sudah menjadi perkara biasa sekarang apabila guru-guru al-Quran bergerak di rumah ke rumah tanpa mengira hujan dan panas dalam memberikan ilmu al-Quran kepada generasi muda Islam.

"Zaman kini sudah berubah. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan masyarakat terutamanya penghuni kota. Ramai yang sibuk bekerja sehari suntuk dan tiada masa untuk mempelajari al-Quran.

"Lebih menyedihkan jika individu tersebut telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Anak-anak ini yang mempunyai hak untuk mempelajari al-Quran tetapi terabai kerana kesibukan ibu bapa," kata Presiden Akademi Al-Jazari, Ahmad Arshad Ezhar.

Oleh itu kata Arshad, dengan adanya guru yang sanggup datang mengajar di rumah tiada alasan lagi bagi mereka yang sibuk atau malu untuk pergi belajar al-Quran. 

Beliau yang merupakan presiden akademi yang menawarkan perkhidmatan pengajian al-Quran ke rumah menolak persepsi negatif orang ramai terhadap kewujudan sistem baru tersebut malah meyakini ia memberikan hasil yang berkesan dalam masa singkat dan pantas.
"Ada yang menyatakan sistem ini seperti berorientasikan perniagaan dan 'menjual agama' untuk kepentingan diri semata-mata. Ada juga yang mendakwa ia hanya mengambil kesempatan di sebalik kesusahan orang lain.

"Sebenarnya ia hanyalah mentaliti orang yang tersalah tafsiran terhadap institusi agama. Jika kita lihat, dalam institusi negara juga mempunyai seorang menteri penasihat agama. Mengapa ia perlu ada, adakah ia juga dikatakan sebagai menjual agama.

"Ia sebenarnya adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan dalam usaha mendidik masyarakat untuk celik al-Quran serta melahirkan pakar-pakar bertaraf dunia Islam.

"Tambahan lagi, sistem ini membolehkan pengajar memberikan tunjuk ajar dan tumpuan secara terus kepada pelajar tersebut. 

"Pengajar juga akan mengajar mengikut peringkat atau tahap yang sesuai dengan kebolehan pelajar," jelasnya Arshad.

Tambahnya, setiap kesalahan dapat diperbaiki terus oleh guru kepada pelajar tanpa merasai perasaan malu lagi.

Sumber: Utusan Malaysia

Pengajar mesti berniat ikhlas

MATLAMAT Mukit Abdul Hadi atau lebih mesra dengan panggilan Ariff Hasan belajar di Pondok Lanai, Baling, Kedah selama enam tahun dan memperoleh Sijil 4 Thanawi dan kemudian menyambung pengajian selama empat tahun di Maahad Tahfiz Misbahul Munir juga di Baling, hanya semata-mata untuk melancar bacaan al-Quran.

Tidak pernah terlintas di hatinya untuk menyediakan perkhidmatan mengajar al-Quran dari rumah ke rumah.

"Inilah yang dikatakan takdir Allah SWT. Jalan ke arah ini diilhamkan oleh seorang kenalan yang saya sudah anggap sebagai saudara rapat iaitu Ustaz Zaki. Apabila dia mendengar luahan saya yang sudah beberapa bulan hilang pendapatan sebaik berhenti mengajar di Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) lantas dia menyuruh saya memasang kain rentang sebagai satu cara mengiklankan perkhidmatan mengajar mengaji di rumah.

"Hari pertama dan kedua memang kurang sambutan. Tetapi masuk hari ketiga dan seterusnya panggilan yang diterima bertalu-talu. Ada yang sampai tidak dapat dilayan. Barulah saya tahu memang orang ramai sangat-sangat memerlukan perkhidmatan sebegini.

"Bermula dengan empat buah keluarga pada tahun 2007, dua tahun kemudian sebaik saya berhenti Kafa, menjadi 10 keluarga seterusnya 15 keluarga. Kini antara 40 hingga 50 buah rumah," bicara anak muda berusia 28 tahun itu kepada Mega, baru-baru ini.

Akui Ariff yang melihat senario ini sebagai satu trend, fenomena itu disokong pula dengan kesibukan ibu bapa serta kelapangan dalam mengatur jadual pembelajaran anak-anak menjadikan kaedah berkenaan semakin diterima ramai.

"Alhamdulillah dengan bantuan beberapa lagi teman telah melancarkan perjalanan kelas-kelas yang kini disediakan di sekitar Balakong, Kajang, Cheras, Serdang, Ampang, Banting dan Shah Alam. 

"Biarpun nampak mudah tetapi untuk mengelakkan fitnah ataupun sesuatu yang buruk berlaku, saya telah mengambil sijil pentauliahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dipanggil Tauliah Mengajar Al-Quran dan Fardu Ain," katanya.

Kata Ariff, dia menyediakan dua tahap pengajaran iaitu untuk golongan dewasa di mana tumpuan pada al-Quran dan tajwid. Manakala kumpulan kanak-kanak, fokus pada Iqra dan Fardu Ain. 

"Selain mengajar di rumah, saya juga menyediakan kelas-kelas mengaji di rumah saya. Ada dua iaitu secara berkumpulan dan persendirian. Pelanggan boleh memilih kelas mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Berkongsi pengalamannya sepanjang mengendalikan kelas pengajian al-Quran dan Fardu Ain, kata Ariff, bagi kanak-kanak dia kendalikannya secara garang dan tegas bagi peringkat permulaan.
"Saya akan lihat karakter kanak-kanak itu kerana setiap kanak-kanak mempunyai perangai yang berbeza. Kemudian, saya lihat pada bacaan mereka dari aspek sebutan dan ingatan. Andai mereka lancar, saya yakin dalam tempoh tiga hingga empat bulan mereka mampu selesaikan Iqra.

"Bagi orang dewasa selalunya ia jauh lebih mudah dan saya lebih suka mengajar golongan ini kerana mereka memang hendak belajar. Satu pengalaman yang jadi iktibar kepada saya sehingga hari ini setiap kali mengendali anak murid dewasa ialah dengan menjaga turut kata. 

"Saya pernah menegur seorang pelajar dewasa memberitahunya supaya jangan terlalu kerap tidak ke kelas. Maksud saya, apabila kita tidak selalu membaca, kita akan kembali lupa dan bacaan kita akan merangkak-rangkak. Itu satu kerugian dan sayang! Tetapi dia menerimanya secara lain. Sejak itu dia sudah tidak pergi ke kelas," akui Ariff yang blognya boleh diakses menerusi www.alqurantajwid2010.blogspot.com.

Sumber: Utusan Malaysia

Tak terhapus adat menuntut ilmu

BUDAYA guru al-Quran datang ke rumah untuk mengajar mengaji bukan bermakna ia merupakan usaha untuk menghapuskan adat menuntut ilmu. 

Tetapi disebabkan zaman berubah, maka tuntutan untuk menuntut ilmu dan mempelajari al-Quran juga berubah.

Sebaliknya kaedah yang fleksibel itu akan memudahkan lagi para ibu bapa untuk memberikan ilmu al-Quran kepada anak-anak mereka.

Oleh itu Presiden Akademi Al-Jazari, Ahmad Arshad Ezhar menolak dakwaan sistem tersebut menghapuskan adat menuntut ilmu. 

Malah katanya, ia memberi galakan kepada ibu bapa dan pelajar untuk terus berusaha mencari ilmu walaupun dalam kesibukan dan pelbagai halangan.

"Memang sistem ini serba sedikit bertentangan dengan adat menuntut ilmu seperti yang dilakukan oleh ulama dan orang terdahulu.

"Namun ia sama sekali tidak menghapuskan tradisi menuntut ilmu. 

"Apa yang penting, ilmu itu dapat disebarkan kepada setiap individu tanpa berkecuali.
"Ia juga menunjukkan semangat ibu bapa atau pelajar itu sendiri untuk menuntut ilmu walaupun mempunyai pelbagai halangan," ujarnya.

Dengan adanya kaedah mengaji al-Quran yang fleksibel dengan guru boleh datang ke rumah ia membantu mengatasi gejala buta al-Quran di kalangan umat Islam di negara ini.

Mereka yang tidak berpeluang mempelajari al-Quran ketika kecil boleh berbuat demikian walaupun kini telah lanjut usia tanpa perlu rasa malu kerana guru boleh didatangkan khusus ke rumah masing-masing.

Dengan trend terkini itu juga, mereka yang buta al-Quran tidak lagi boleh menjadikan sibuk dengan kerja atau mencari rezeki sebagai alasan tidak belajar membaca al-Quran.
Belajar membaca kitab suci Allah itu merupakan fardu ain yang perlu dilakukan denga apa cara sekalipun tanpa sebarang alasan.

Dengan adanya guru yang boleh datang ke rumah pada bila-bila masa maka faktor malu kerana telah umur juga tidak lagi relevan 

Pengarah Operasi Akademi Al-Jazari, Ahmad Azlan Raihan pula berkata, ibu bapa juga tidak perlu lagi bimbang terhadap keselamatan anak-anak untuk menghantar mengaji di luar yang menyebabkan pelbagai risiko tidak diingini berlaku.

"Dengan khidmat pengajian terus ke rumah ini, pelajar hanya perlu menyediakan alat untuk belajar sahaja. Sementara urusan lain akan dilakukan oleh guru itu sendiri.

"Oleh kerana kebiasaan masa lapang untuk mengaji al-Quran adalah pada waktu malam, kanak-kanak juga terhindar daripada pelbagai risiko yang tidak diingini berlaku ketika dalam perjalanan untuk ke tempat mengaji," katanya.

Dari segi proses pemilihan tenaga pengajar pula, Azlan menerangkan, terdapat beberapa proses tapisan yang diberikan kepada setiap pengajar.

"Antaranya, kita akan menyelidik latar belakang pengajar tersebut, dan mengadakan temuduga untuk menguji kebolehan mereka. Pengajar haruslah mempunyai kelayakan sekurang-kurang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau yang setaraf dengannya.
"Kita juga mempunyai borang prestasi untuk menilai tahap disiplin dan pencapaian pengajar tersebut yang akan diisi oleh keluarga tersebut. 

"Sekiranya berlaku permasalahan pihak akademi akan menukarkan pengajar tersebut dengan pengajar yang lain atau terus akan melucutkan kontraknya bersama syarikat ini setelah diberikan nasihat dan dikenalpasti kesalahan yang kritikal.

"Kita mempunyai perjanjian antara pengajar dan juga pelajar. Sekiranya salah satu pihak melanggar perjanjian ini, maka mereka boleh dikenakan tindakan," katanya.

Bagi bekas pelajar Maahad Tahfiz Misbahul Munir Baling, Kedah, Mukit Abdul Hadi atau lebih mesra dengan panggilan Ariff Hasan, apa yang dilakukan oleh guru yang bergerak dari rumah ke rumah bukan bermotifkan keuntungan.

Katanya, biarpun ada yang melabelkan khidmat mereka itu dengan tuduhan negatif, tetapi matlamat utama ialah untuk menyebarkan ilmu al-Quran kepada setiap umat Islam terutama generasi muda.

"Ada segelintir pihak yang menuduh orang seperti kami ini mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang mahal.

"Tetapi bagi saya keikhlasan itu jauh lebih utama. Soal kadar bayaran itu jatuh kemudian kerana niat kita ialah untuk umat Islam menguasai al-Quran sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT," tegas Ariff.

Katanya, dikatakan mementingkan keuntungan semata-mata tentu mereka tidak sanggup meredah hujan dan panas untuk mengajar.

"Kalau orang kata saya ini pentingkan keuntungan semata-mata itu tidak elok kerana saya bersama seorang teman turut menyediakan kelas mengaji di Taman Impian Ehsan, Balakong, enam kali seminggu kecuali hari Khamis. Kelas diadakan selepas Maghrib," katanya.
Menurutnya itulah khidmat baktinya kepada mereka yang benar-benar ingin belajar dan mendalami pengajian al-Quran.

Sumber: Utusan Malaysia

Petunjuk bagi kaum Muslimin

SETELAH Allah SWT memulakan surah ini menjelaskan tentang orang yang memperoleh kebahagiaan dan menjelaskan perhubungan di antara mereka dengan Tuhan dan sesama makhluk, dia mengancam orang yang ditimpa kecelakaan dengan pelbagai jenis azab di akhirat dan mengingatkan mereka dengan azab dunia. kemudian Dia menggambarkan kengerian yang akan terjadi pada hari Kiamat. 

Allah SWT mengakhiri surah ini dengan memberi peringatan yang merangkumi pelbagai petunjuk dan bimbingan bagi sesiapa yang ingin menghadapinya. 

Seterusnya Allah SWT memberitahu kepada rasul-Nya apa yang dilakukan oleh rasul itu dan oleh orang yang beriman untuk beribadat pada waktu malam. 

Walau bagaimanapun, Allah SWT tetap memberi keringanan kepada mereka disebabkan beberapa alasan yang berkaitan dengan mereka seperti sakit, menjalankan urusan berdagang dan lain-lain atau berjihad menghadapi musuh. 

Mereka hendaklah mengerjakan sembahyang selain dengan kemampuan masing-masing, mengeluarkan zakat harta benda dan memohon keampunan kepada Allah SWT dalam segala keadaan kerana Allah SWT adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Ini adalah suatu peringatan. Maka barangsiapa yang menghendaki nescaya ia menempuh jalan (yang menyampaikannya) kepada Tuhannya. (al-Muzammil: 19)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, siapa yang dikehendaki Allah untuk diberi petunjuk seperti yang Dia berikan batasan dalam risalah yang lain."

Sayid Qutub berkata: "Jalan menuju kepada Allah merupakan suatu jalan yang lebih aman dan mudah dari jalan yang diragui membawa kepada malapetaka yang dahsyat." 

Ketika ayat itu menakutkan kepada para pendusta, hati Rasulullah SAW dan sekumpulan para mukminin yang kecil dan lemah merasa tenang kerana Allah SWT bersama dengan mereka menyeksa golongan tersebut. 

Penangguhan hanya sementara, tiba saat, masa dan ketikanya, Dia akan membinasakan musuh-musuh Islam dan menyeksa mereka dengan azab yang pedih. 

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membiarkan hamba kesayangan-Nya diperlakukan dengan sesuka hati oleh musuh-musuh Islam.

Al-Maraghi berkata: "Barang siapa mahu, dia dapat menjadikan ayat-ayat di atas sebagai pengajaran untuk menuju kepada Tuhannya dengan harapan dia akan beriman, taat dan takut kepada-Nya. Itulah jalan yang lurus, jalan yang menyampaikan kepada keredaan-Nya."
Walau bagaimanapun, Allah SWT memberikan keringanan kepada umatnya untuk meninggalkan qiamullail sekiranya berlaku mashaqqah (kesulitan) kepada mereka atau jika mereka melakukan pekerjaan yang sulit.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri (sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran. Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurnia Allah, dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Muqatil dan lain-lain berkata: "Ketika ayat ini diturunkan, bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat. (al-Muzammil: 2) ia begitu menyulitkan mereka." 

Seorang lelaki daripada kalangan mereka tidak mengetahui bilakah yang dikatakan setengah malam dan sepertiga malam, sehingga dia membuat qiamullail sampai masuk waktu Subuh kerana takut melakukan kesalahan. Lalu menyebabkan kakinya menjadi bengkak dan muka mereka menjadi pucat.

Sembahyanglah kamu dan bacalah apa yang mudah bagimu dalam sembahyang. Al-Hasan berkata: Bacalah seperti bacaan yang dibaca dalam sembahyang Maghrib dan Isyak.
As-Suddi berkata: Matayassara minhu bermaksud 100 ayat. 

Dalam beberapa athar disebut barang siapa yang membaca 100 ayat pada waktu malam, dia tidak akan dituntut lagi membaca al-Quran.

Diriwayatkan daripada Qais Ibn Hazim, yang berkata: "Ketika aku mengerjakan sembahyang di belakang Ibnu Abbas, beliau membaca pada rakaat pertama ayat al-Hamdulillahi rabbil 'Alamin dan satu ayat dari surah al-Baqarah. Setelah kami selesai mengerjakan sembahyang, beliau menghadapi kami lalu berkata, Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran (dalam sembahyang). (al-Muzammil: 20) diriwayatkan daripada al-Daraqutni dan al-Baihaqi dalam kitab Sunannya."

Ibnu Mas'ud berkata: "Barang siapa yang membawa barangan dagangan, ke mana-mana kota Islam dalam keadaan (dirinya) bersabar dan ikhlas. Kemudian dia menjual barang dagangannya itu dengan harga hari itu, maka di sisi Allah SWT, dia termasuk dalam golongan para syuhada." 

Selanjutnya, Ibnu Mas'ud membaca firman Allah SWT (al-Muzammil: 20)
Ibnu Kathir berkata: Kamu tidak akan mampu untuk terus menerus melakukan solat malam kerana ia terlalu berat bagi kamu.

Sayid Qutub berkata: "Itulah belaian rahmat, kasih mesra, kemudahan dan ketenteraman yang datang daripada Allah SWT selepas setahun mereka diseru supaya bangun beribadat di waktu malam." 

Allah SWT memberi keringanan kepada orang Islam dengan menjadikan amalan beribadat sebagai sunat bukan fardu. Allah SWT meneruskan kebiasaannya beribadat kepada Allah SWT tidak kurang satu pertiga malam bermunajat kepada Tuhannya. 

Di samping itu, Nabi SAW tidak pernah tidur sekalipun dua matanya lelap kerana hatinya sentiasa mengingati Allah SWT. Seluruh hatinya kosong dari segala sesuatu kecuali Allah walaupun Baginda memikul beban yang berat. 

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh.

Sumber: Utusan Malaysia

Osman terpesona dengan al-Quran

JIWA kembara yang tebal, membawakan Osman Andrew Young berkelana untuk meneroka tempat-tempat eksotik di pelbagai bahagian dunia. Dari situ dia bertemu dengan bermacam-macam ragam manusia, termasuk mereka yang menurutnya sebagai orang yang terbaik, iaitu Muslim.

Mengenai Islam itu sendiri, bukan sesuatu yang asing kerana Osman pernah mempelajarinya melalui pengajian Sejarah Arab di Universiti St. Andrew, Scotland.
Lalu pengembaraannya itu bukan hanya memperkenalkannya pada Islam tetapi juga pada seni kaligrafi terutamanya khat yang kini menjadi kepakarannya.

Pada usia 18 tahun, Osman sudah melakukan perjalanan darat menyusuri utara benua Afrika dengan mengunjungi negara-negara Tunisia, Algeria dan Maghribi. 

Semua itu dilakukan walau tanpa berbekalkan bahasa Arab yang baik, wang saku yang banyak serta tanpa tahu apa tujuan yang dicari.

Namun mujur di sepanjang pengembaraannya itu Osman tidak menghadapi banyak masalah kerana dia sering bertemu dengan mereka yang banyak memberi bantuan. 

Semua ini membuatkan naluri hatinya sangat tersentuh. Sehingga kadang-kala dia akan tinggal berhari-hari lamanya di sesebuah tempat.

"Antara yang sukar dilupakan, di sebuah desa jauh diceruk pedalaman, beberapa anak kecil yang selama berhari-hari memperhatikan saya, muncul dari sebuah rumah dan membawakan makanan untuk saya," ujar Osman sambil tersenyum.

Pengalaman mengesankan yang dialaminya sendiri selama berkelana ke negara-negara Islam di utara Afrika merupakan hubungan pertamanya dengan masyarakat Islam.
Pun begitu, yang lebih menarik perhatiannya ialah keunikan tulisan-tulisan kuno di setiap perjalanannya itu. 

Sama ada huruf-huruf Yunani kuno, huruf hieroglif Mesir kuno dan bentuk huruf-huruf Arab yang ditemui selama berkelana itu. 

Ia begitu menarik perhatian Osman sehingga membuak-buakkan rasa inginnya untuk lebih memahami huruf-huruf asing tersebut, terutama huruf-huruf Arab.

"Meskipun saya tidak begitu memahami akan huruf dan perkataan Arab, namun saya masih ingat ketika mengikuti pengajian Sejarah Arab dahulu. Sebab itu, ketika saya mempelajari huruf Arab klasik, saya mampu dan mudah untuk menghafal surah Yusuf, sekalipun saya tidak memahami akan maknanya. 

"Ini kerana saya sangat tertarik dengan keindahan bunyi ucapan daripada surah-surah al-Quran," tutur Osman.

Selesai kuliah, Osman sempat berpindah dan tinggal di Kota London. Sayangnya, ia cuma bertahan selama enam bulan. 

Osman merasa asing secara fizikal dan emosional. Jiwanya langsung tidak terpaut dengan kehidupan di kota itu. Kebetulan dia terbaca satu iklan mengenai peluang bekerja di Mesir. Osman terus mengambil kesempatan itu lalu berangkat menuju ke kota Mesir, Kaherah.
Sekali lagi dia memilih kaedah mengembara untuk ke Kaherah dengan terlebih dahulu singgah di Sudan. Dia melihat Sudan sebagai sebuah negara yang sebahagian besar wilayahnya adalah gurun pasir (Gurun Sahara). 

Tetapi beliau bertemu dengan masyarakat yang sangat hangat dalam pergaulan dan persahabatan sekalipun beliau merupakan orang asing dan berlainan fahaman dan agama.

"Kesemua mereka adalah orang Islam yang melakukan solat dan mempunyai perlakuan peribadi yang sangat mulia. Namun mereka hidup dalam keadaan yang serba sederhana dan menggayakan busana tradisional Muslim yang sangat menarik perhatian saya," ujar Osman yang seringkali diundang makan ke rumah warga Sudan itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Rabu, 4 April 2012

Suara Syeikh Ali Jabir menyentap hati

SEORANG tokoh yang terkenal dengan suara bacaan al-Quran yang memukau dan seni lagunya yang hebat ialah Syeikh Ali Jabir. Beliau lahir pada tahun 1373 Hijrah di Jeddah, Arab Saudi.

Ketokohan Syeikh Ali Jabir amat terserlah dengan pelantikannya sebagai Imam Solat Terawih di Masjid al-Haram Mekah pada tahun 1401 Hijrah.

Pelantikannya sangat istimewa kerana yang melantiknya ialah raja Arab Saudi ketika itu Al-Malik Khalid.
Hubungan Al-Malik Khalid dengan Syeikh Ali Jabir bermula dengan persahabatan gurunya iaitu Syeikh Rahmatullah Bukhari dengan keluarga diraja itu di Madinah.

Dalam satu lawatan, pihak keluarga diraja telah meminta Syeikh Ali Jabir membaca beberapa ayat al-Quran.
Seni baca Syeikh Ali Jabir mempunyai keunikannya tersendiri. Lantunan suaranya yang dinyaringkan pada ayat yang mempunyai makna-makna tertentu telah menyentap hati pendengar al-Quran.

Lantas bacaannya menarik minat Al-Malik Khalid yang kebetulan seorang raja yang menghafaz al-Quran dan suka kepada penghafaz al-Quran.

Jika disorot sejarah Syeikh Ali Jabir menghafaz al-Quran ia bermula dengan menghafaz di hadapan Syeikh Rahmatullah Bukhari. Dengan gurunya yang pertama itu, Syeikh Ali Jabir menghafaz sebanyak 11 juzuk.

Sebelum meneruskan hafazannya, Syeikh Ali Jabir pernah bertanding musabaqah menghafaz al-Quran peringkat 10 juzuk dan beliau mendapat tempat pertama.

Seterusnya, Syeikh Ali Jabir meneruskan hafazan Quran dan khatam dengan gurunya yang kedua iaitu Syeikh Khalil Abdul Rahman al-Qari.

Ketika khatam, usia Syeikh Ali Jabir ialah 15 tahun iaitu pada tahun 1389 Hijrah. Beliau juga membaca al-Quran di hadapan gurunya, Syeikh Basyir Ahmad Siddiq.

Pada tahun 1394 hijrah, Syeikh Rahmatullah Qari telah mendaftar nama Syeikh Ali Jabir untuk ditemuduga jawatan imam di daerah Madinah.

Beliau berjaya dalam temuduga tersebut dan dilantik sebagai imam di Masjid Ghamamah selama dua tahun bermula 1394 hingga 1396.

Dan pada tahun yang sama beliau mendapat ijazah dalam bidang syariah dari Universiti Islam Madinah.
Pada tahun berikutnya, Syeikh Ali Jabir melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang perbandingan fiqh di Universiti Imam Saud di Riyadh.

Pada tahun 1400 Hijrah beliau berjaya dengan cemerlang dalam sarjana dengan mendapat kepujian. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang fiqh perbandingan dan berjaya memperolehnya pada tahun 1407 Hijrah.

Sumbangan besar Syeikh Ali Jabir kepada dunia Islam ialah rakaman al-Quran 30 juzuk yang wujud di pasaran dalam dua bentuk iaitu rakaman ketika solat terawih dan rakaman dalam studio.

Beliau juga dilantik sebagai imam solat terawih di Masjid al-Haram Mekah dari tahun 1401 Hijrah hingga 1408 Hijrah.

Di peringkat global, ramai di kalangan Qurra dan imam terkesan dengan bacaan Syeikh Ali Jabir. Antaranya ialah guru Quran tersohor di Jeddah iaitu Dr. Ali Basfar; Imam Besar Masjid di Kuwait Syeikh Misyari Rasyid al-Ifasi; Imam dan Khatib Masjid Nabi Dr. Abdul Bari al-Thubaiti; Qari yang merakam 30 juzuk al-Quran, Syeikh Abu Bakar al-Syatiri; belas Imam Masjid Haram Mekah, Syeikh Adil al-Kalbani dan ramai lagi.

Semua Qurra yang tersebut di atas mempunyai bacaan yang unik dan tersendiri dengan menjadikan Syeikh Ali Jabir sebagai ikon bacaan Quran mereka.

Bacaan Syeikh Ali Jabir dan semua tokoh yang tersebut boleh dicapai dengan mudah di laman web seperti islamway.com.

Antara nasihat Syeikh Ali Jabir kepada golongan muda ialah supaya mereka menghafal al-Quran kerana kitab suci itu adalah satu nikmat yang amat besar daripada Allah SWT.

Katanya, nikmat yang bernilai itu hanya diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja. Oleh itu katanya, pemuda yang merasai ada kemampuan menghafal al-Quran hendaklah pergi ke masjid yang menyediakan kelas pengajian al-Quran dan berusaha mengingatinya.

Semasa hayatnya, Syeikh Ali Jabir sering mengalami keuzuran. Pada tanggal 13 Zulkaedah 1426 Hijrah, Syeikh Ali Jabir meninggal dunia.

Selepas solat Asar hari berikutnya, jenazah Syeikh Ali Jabir dibawa ke Masjid Haram Mekah dan solat jenazah diimamkan oleh Syeikh Salih ali-Talib dan beliau mengiringi jenazah hingga ke perkuburan.

Sebaik sampai jenazahnya di perkuburan, solat jenazah dilakukan untuk kali kedua dan imamnya ialah kawan baiknya dari Madinah al-Munawarah yang juga bekas imam Masjid Nabi iaitu Dr. Muhammad Ayub Muhammad Yusuf.


Sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 1 April 2012

Kehebatan al-Quran

PADA satu hari, ada seorang lelaki menemui Ibnu Mas'ud, sahabat Rasulullah SAW untuk meminta nasihat. Katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud! Berilah kepadaku nasihat yang dapat aku jadikan penawar jiwaku yang sedang resah gelisah ini. Dalam beberapa hari ini, aku tidak merasai ketenangan, jiwaku tidak tenteram dan fikiranku gundah gulana. Makanku pun tak lalu dan tidur pun tak lena."

Lantas Ibnu Mas’ud pun menasihatinya: “Kalau itu penyakit yang sedang menimpamu, maka bawalah dirimu mengunjungi tiga tempat ini. Pertama, datanglah ke tempat orang yang sedang membaca al-Quran. Di sana kamu akan ikut sama membaca al-Quran atau cukuplah sekadar kamu mendengar bacaan al-Quran dengan khusyuk.

“Kedua, pergilah kamu ke tempat majlis ilmu yang akan mengingatkan hatimu kepada Allah Yang Maha Agung. Ketiga, carilah tempat yang sunyi di malam yang sepi. Di sana kamu hendaklah menyendiri bersama Allah SWT pada waktu malam yang gelap gelita untuk kamu mendirikan solat tahajud, lalu kamu mohonlah kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kesucian hati.”  

Setelah orang itu kembali ke rumahnya, nasihat sahabat Rasulullah SAW itu terus diamalkannya. Dia mengambil wuduk dengan sempurna, lalu mengambil al-Quran. Dia terus membacanya dengan penuh tertib dan khusyuk.

Selesai membaca al-Quran, berubahlah jiwanya menjadi lebih tenang, fikirannya pun lebih tenteram dan kegelisahan jiwanya pun hilang berkat bacaan al-Quran. Begitulah al-Quran sebagai ubat penawar seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dalam al-Quran ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Surah al-Israk, ayat 82)

Demikianlah kedudukan dan kelebihan al-Quran di sisi Allah SWT yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat.

Sesiapa berpegang teguh dengan ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat.

Dalam hal ini, Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan sesiapa tidak membaca al-Quran bermakna dia meninggalkannya (menjauhkannya). Begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga meninggalkan al-Quran dan sesiapa yang membaca al-Quran dan memahami maknanya tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga meninggalkan al-Quran.

Membicarakan kelebihan al-Quran, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah ibadah, membaca al-Quran secara bergilir-gilir dan saling mengajarkan antara sesama mereka, akan turunlah kepada mereka ketenangan dan ketenteraman, dilimpahi juga kepada mereka rahmat Ilahi yang tidak terhitung, dipelihara oleh Malaikat dan Allah SWT akan sentiasa mengingati mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, Rasulullah SAW menganjurkan setiap penghuni rumah Muslim menghiasi rumah dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran. Rumah yang tidak dibaca di dalamnya ayat al-Quran, akan banyak berlaku keburukan perilaku, kegersangan jiwa dan juga kesempitan pandangan hidup.

Setiap Muslim dianjurkan sentiasa membaca al-Quran selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, setiap Muslim wajib bermuhasabah dan menilai diri apakah kita sudah benar-benar melaksanakan kewajipan kita terhadap al-Quran, iaitu bermula dengan keimanan yang tulus terhadap kebenaran al-Quran, kemudian membaca al-Quran dengan elok berserta adabnya, memahami dan menghayati isi kandungannya dengan kefahaman yang syumul dan seterusnya menterjemahkan isi kandungan al-Quran dalam ruang lingkup kehidupan yang serba mencabar. 

Sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...