Khamis, 12 Julai 2012

Penghafaz al-Quran berilmu

ALANGKAH beruntungnya negara apabila memiliki ramai golongan profesional Muslim penghafaz al-Quran. Mereka bukan saja mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengimamkan solat semata-mata, tetapi berperanan menentukan hala tuju pembangunan ummah dan negara.
Itulah antara visi dan misi Darul Quran, institusi pengajian tahfiz al-Quran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Darul Quran ditubuhkan pada 1966 dan sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat wujud sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Dari 1966 hingga 1978, Maahad itu dikelola Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Pada 1997, ia dinaik taraf dan dinamakan Darul Quran. Kampusnya di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan dibuka pada 1 November 1998.

Institusi itu menawarkan pelbagai program pensijilan yang membolehkan pelajarnya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran, kejuruteraan, perundangan dan pengajian agama di beberapa universiti tempatan.

Antara kerjasama dijalankan ialah program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian bersama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Untuk permulaan, ia ditawarkan kepada 50 pelajar Darul Quran dan pelajar Maahad Tahfiz Quran Negeri (MTQN).

Program lain ialah Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Dakwah, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Syariah, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Hadith, Diploma Tahfiz Al-Quran dan Muamalat, Pensijilan Tahfiz UIAM-Jakim serta Pensijilan Tahfiz Uniten-Jakim.

Program Pensijilan Tahfiz dengan UIAM ditawarkan kepada pelajar lulusan SPM yang cemerlang melalui tempoh pengajian selama 18 bulan.

Selepas tamat pengajian, mereka ditempatkan di Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, seni bina, ekonomi dan sains pengurusan.

Ketika ini, seramai 916 pelajar mengikuti pengajian di DQ terdiri daripada 136 pelajar pensijilan, 681 pelajar diploma dan 99 pelajar Ijazah.

Sepanjang penubuhannya, DQ mendapat kelayakan sijil Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat yang diberi pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam setaraf diploma bagi membolehkan pemegang sijil memegang jawatan dalam perkhidmatan awam pada 16 April 1983.

Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat juga turut diiktiraf universiti tempatan dan luar negara.

Darul Quran melahirkan ramai profesional antaranya Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur, Tan Sri Datuk Syaikh Ismail Muhammad; Pengarah Maahad Tahfiz Al-Quran dan Ketua Imam Masjid Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Ali.

Sumber: myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...