Rabu, 24 Ogos 2011

Qiraat Syazah

MELENGKAPKAN lagi maklumat berkaitan Qiraat, perlu disempurnakan dengan maklumat berkaitan Qiraat Syazah. Jika memerhati dengan teliti penyusunan Qiraat Mutawatirah yang dibuat oleh ulama kelihatan bagaimana cantiknya kaedah yang dikemukakan termasuk susunan imam, susunan bab dalam usul dan farsy.

Susunan Qiraat Mutawatirah sepuluh Qiraat dimulai dengan tujuh Qurra iaitu Nafe' al-Madani, Ibn Kathir al-Makki, Abu Amru al-Basri, Ibn 'Amir al-Dimaysqi, 'Asim, Hamzah dan al-Kisai. Ditambah dengan tiga Qurra lagi iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-'Asyir.

Setiap imam yang dikemukakan ini mempunyai dua perawi dan ittifaq di kalangan ulama ia adalah Qiraat mutawatirah.

Menurut al-Zarqani, empat Qurra yang dimaksudkan ialah Hasan al-Basri meninggal pada tahun 110 hijrah, Ibn Muhaisin meninggal pada tahun 123 hijrah, Yahya al-Yazidi meninggal pada tahun 202 hijrah dan Syanabuzi meninggal pada tahun 328 hijrah.

Ciri-ciri Qiraat Syazah menyalahi rasm uthmani walaupun menepati bahasa arab dan sanadnya sahih. Apabila sesuatu qiraat tidak memenuhi tiga rukun qiraat ia dinamakan Qiraat Syazah meskipun qiraat tersebut datangnya daripada Abu Darda', Umar Ibn al-Khattab, Abdullah Ibn Mas'ud dan sahabat ra yang lain.

Qiraat Syazah yang tidak menepati rasm uthmani hukumnya tidak sah dibaca dalam sembahyang. Imam Abu Umar Ibn Abdul al-Bar melalui kitabnya Tamhid menyatakan telah berkata Imam Malik barang siapa membaca dalam solatnya qiraat Ibn Mas'ud atau qiraat lain di kalangan sahabat yang menyalahi mushaf maka tidak boleh sembahyang di belakangnya.

Dalam sejarah perkembangan Qiraat, berlaku kisah yang masyhur berkaitan penguatkuasaan membaca Qiraat mengikuti Mushaf Uthmani. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 323 hijrah antara Imam Ibn Syanbuz dengan Imam Ibn Mujahid.

Ibn Syanbuz ialah seorang yang alim dalam ilmu qiraat mempunyai guru yang ramai antaranya Ibrahim al-Harbi, Ahmad Ibn Ibrahim Waraq Khlaf, Ahmad ibn Basyar. Beliau banyak merantau ke kota Islam untuk mendalami ilmu qiraat.

Ibn Syanbuz beramal dengan qiraat yang tidak menepati Mushaf Uthmani. Pandanganya mendapat reaksi dari pemerintah ketika itu Abi Ali Ibn Muqlah. Beliau telah memanggil Ibn Syanbuz untuk dibicarakan dan majlis tersebut dihadiri Imam Ibn Mujahid, sekumpulan Qadhi dan ulamak.

Apabila beliau mengakui bacaannya yang menyalahi Mushaf Uthmani, beliau diminta bertaubat dan menarik balik pandangannya itu. Namun beliau berkeras dengan pandangannya sehingga dijatuhi hukuman rotan sebanyak 10 kali. Akhirnya beliau menarik balik pandangannya itu.

Walaupun begitu, ramai ulama yang memuji kealiman Ibn Syanbuz, antaranya, Abi Tahir Ibn Abi Hasyim yang ditanya manakah yang lebih afdal antara Ibn Mujahid dengan Ibn Syanbuz. Beliau menjawab: "Adapun Abu Bakar Ibn Mujahid akalnya mengatasi ilmunya dan Ibn Syanbuz pula ilmunya mengatasi akalnya".

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 18 Ogos 2011

Fahami peristiwa penurunan al-Quran

BULAN Ramadan melakarkan pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Selain pensyariatan puasa, peristiwa lain yang ditulis dengan tinta emas adalah kemenangan Islam dalam Badar Kubra, pembukaan Kota Mekah, pertempuran Ain Jalut, Yom Kippur, intifadhah Palestin dan sebagainya.

Namun, peristiwa penting terbesar adalah penurunan al-Quran atau Nuzul al-Quran yang disambut oleh kita pada hari semalam.

Penurunan mukjizat ini dirakamkan dalam al-Quran dalam firman-Nya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara benar dengan salah). (al-Baqarah: 185)

Ayat ini jelas menunjukkan al-Quran sebagai suatu dokumen rujukan dan cahaya petunjuk kepada semua manusia. Pedoman melahirkan individu atau masyarakat Islam tulen juga terkandung dalam al-Quran.

Malah, penurunannya juga adalah suatu bukti kewujudan Allah SWT serta kerasulan Muhammad SAW dengan apa yang dibawanya.

Menurut Jalaluddin al-Suyuti, al-Quran diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus.

Penurunan sekaligus ini berlaku pada malam al-Qadar di bulan Ramadan yang dirakam dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Penurunan peringkat kedua pula daripada Baitul Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dalam tempoh lebih kurang 23 tahun.

Bermula daripada saat Baginda SAW diangkat sebagai rasul, ayat al-Quran mula diturunkan hinggalah berakhir sebelum kewafatannya iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Sifat penurunan al-Quran begini ini adalah suatu hikmah yang besar kepada umat Islam terdahulu.

Penurunan al-Quran secara beransur-ansur adalah mengikut persediaan Rasulullah SAW sendiri, keperluan situasi zaman dan menjawab persoalan semasa.

Kadang-kadang ayat diturunkan berdasarkan sesuatu masalah, menjawab pertanyaan Sahabat atau hasil sebab peristiwa yang berlaku dan kadang-kadang merupakan suatu perintah dalam sesuatu amalan syariat.

Sifat penurunan begini memberi banyak hikmahnya. Ia memudahkan Rasulullah SAW serta para Sahabat memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran al-Quran. Malah, adat jahiliah dan pengamalan bukan secara Islam juga dapat dibuang sedikit demi sedikit tanpa menimbulkan kejutan kepada masyarakat awal Islam.

Selain itu, kategori penurunan ayat-ayat juga melambangkan kemukjizatan al-Quran. Ini terserlah melalui penurunan kategori ayat sebelum hijrah dan selepasnya.

Ayat yang diturunkan sebelum hijrah disebutkan Makkiyah biasanya melibatkan ayat-ayat pembinaan akidah, akhlak di samping keterangan tentang sifat-sifat ketuhanan dan keesaan Allah SWT.

Kategori ayat ini berlainan dengan fasa selepas hijrah yang disebutkan ayat-ayat Madaniyah. Ayat dalam kategori kedua ini memberi perhatian kepada jihad, cara amal ibadat, hukum-hakam dan proses pengisian individu dan masyarakat Islam.

Proses penurunan al-Quran ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan malam al-Qadar, bulan Ramadan dan ibadat puasa seperti yang dinyatakan di atas.

Secara umum, ia mengandungi makna simbolik tentang kelebihannya dan kemuliaan al-Quran yang Allah SWT kurniakan pada kita.

Oleh itu, kita sebagai umat akhir zaman yang masih boleh menatap al-Quran sebelum kita dimatikan atau sebelum al-Quran diangkat ke langit hendaklah mengambil beberapa langkah perubahan.

Sumber: Utusan Malaysia

Sheikh Abdul Basit qari tersohor

TOKOH seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

Anak kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer.

Bakat dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf, waqf ibtida dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama al-Quran.

Bagi melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid, qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah.

Semasa talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di kampungnya.

Banyak pihak meminta Syeikh Abdul Basit membaca al-Quran dalam majlis. Namanya melonjak naik di kalangan masyarakat dan terkenal dengan cepat.

Pada tahun 1950, Sheikh Abdul Basit menghadiri satu majlis di Kaherah yang dihadiri Qurra terkenal seperti Sheikh Abdul Fattah Sha'sha', Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Azeem Zahir di Masjid Sayyidah Nafesah.

Kesemua Qurra ini adalah idola Sheikh Abdul Basit. Setelah beberapa ketika, saudaranya meminta penganjur memberi masa 10 minit kepada Sheikh Abdul Basit memperdengarkan bacaannya.

Ruang solat di Masjid Sayyidah Nafesah penuh sesak dengan pendengar yang setia menunggu bacaan qari yang terkenal. Selepas mendapat keizinan, Sheikh Abdul Basit mula mengalunkan bacaan surah al-Ahzab dengan suaranya yang lunak dan menarik.

Minit-minit awalnya, seluruh pendengar senyap sunyi dengan memberi perhatian kepada bacaannya. Beberapa ketika, kesunyian bertukar dengar laungan takbir dan doa untuk beliau.

Masa yang diberi kepadanya yang pada awalnya 10 minit dilanjutkan.

Ekoran itu, nama Sheikh Abdul Basit terkenal di Mesir. Kehebatan suaranya membaca al-Quran mendapat tawaran Radio Mesir melalui keizinan guru al-Quran terkenal ketika itu Sheikh Ali Dabba'. Pengaruhnya amat kuat, sehingga diceritakan ramai yang mula membeli radio semata-mata hendak mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit.

Sheikh Abdul Basit menjadi qari rasmi di Masjid Imam Syafie selama 15 tahun. Kemudian berpindah ke Masjid Husein ekoran kematian qarinya Sheikh Mahmud Ali al-Banna.

Beliau bertugas di Masjid Husein selama tiga tahun dan bacaan terakhirnya adalah pada 18 November 1988.

Antara jutaan peminatnya adalah Sheikh Mahmud Sayyid Tantawi iaitu bekas Sheikh al-Azhar.

Menceritakan hubungan dan kekagumannya terhadap Sheikh Abdul Basit, Tantawi berkata: "Semasa saya masih lagi pelajar, saya selalu bersama radio pada hari sabtu untuk mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit. Dan hari tersebut dianggap sebagai 'hari raya' bagi kami.

"Kemudian Allah SWT mentakdirkan kami menjadi sahabat dan beliau seorang yang mempunyai banyak maklumat. Secara jelasnya beliau guru yang hebat dalam tajwid dan makhraj, raut wajahnya ceria, suka kepada kebajikan dan memiliki karakter yang menarik."

Selepas menjadi khadam al-Quran dan berkhidmat untuknya, Sheikh Abdul Basit meninggal dunia pada 30 November 1988 pada usia 62 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

Nilai al-Quran Braille kepada OKU

Mereka tidak ada deria melihat, tetapi mereka ada deria sentuhan. Pandangan mereka gelap gelita. Keindahan alam ciptaan Allah tidak dapat dinikmati sebagaimana manusia lain.

Walaupun kekurangan salah satu nikmat terbesar itu, namun kewajipan mentaati perintah dan meninggalkan larangan Allah tetap sama seperti hamba yang lain, tidak ada apa yang membezakan mahu pun dikecualikan melaksanakan tugas itu.

Sebagaimana dikisahkan tentang seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibnu Makhtum. Beliau seorang buta dan tiada orang yang boleh menemaninya ke masjid. Namun, kewajipan solat jemaah di masjid tetap difardukan ke atasnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Seorang lelaki buta datang kepada nabi Muhammad SAW lalu berkata: ''Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mempunyai orang yang akan memimpinku ke masjid." Lelaki itu meminta Rasulullah memberi keringanan kepadanya supaya dia boleh melakukan solat di rumahnya. Maka baginda memberikan keringanan. Ketika lelaki buta itu mahu beredar pulang, nabi memanggilnya dan berkata: "Apakah kamu mendengar azan?" Lelaki itu menjawab: "Ya". Jawab baginda SAW: "Maka wajib kamu pergi solat jemaah di masjid".

Kisah di atas menunjukkan betapa setiap tuntutan Allah SWT harus dilaksanakan selagi mampu walau mempunyai kecacatan dan kekurangan diri. Apatah lagi kewajipan menunaikan rukun Islam yang lima itu. Tidak terkecuali kewajipan membaca al-Quran yang merupakan salah satu tuntutan fardu ain.

Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Faatir: 32)

Mengikut logik akal, adalah mustahil bagi orang buta membaca al-Quran. Sebabnya, mereka tidak mampu melihat keindahan ayat-ayat suci itu, kesenian huruf-hurufnya apatah lagi memahami isi kandungannya.

Namun, ia tidak bermakna mereka tidak boleh mendengar ayat-ayat suci itu. Sama ada diperdengarkan oleh individu normal atau melalui pemain kaset atau cakera padat (CD) hasil kepesatan teknologi terkini.

Kecanggihan teknologi juga kini memungkinkan orang buta membaca al-Quran Braille yang diciptakan khas untuk golongan itu.

Melalui sistem tulisan titik-titik timbul itu, kini masyarakat Islam cacat penglihatan mendapat manfaat daripadanya. Ramai antara mereka sudah mampu mempelajari al-Quran secara sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Bagaimanapun, impian membaca al-Quran Braille itu hanya dicapai oleh mereka yang mampu. Ini kerana kitab edisi itu memandangkan kos senaskhah mencecah RM240.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Braille Malaysia, Datuk Mah Hassan Omar yang mendedahkan kira-kira 13,000 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan beragama Islam negara ini memerlukan senaskhah al-Quran dalam tulisan itu bagi memudahkan mereka membaca dan mempelajari kitab suci itu.

Katanya, kesukaran mendapatkan teks al-Quran Braille di tempat-tempat awam seperti masjid serta kekangan kewangan menjadi punca masih ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

Katanya, hanya 536 naskhah al-Quran edisi itu diterbitkan sejak tahun 2006 apabila sistem percetakan secara mesin taip ditukarkan kepada sistem pengkomputeran. Ia bagi memendekkan tempoh menyiapkan senaskhah daripada setahun kepada lima jam sahaja.

"Harga senaskhah al-Quran berharga RM240, jadi ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

"Oleh itu, kita berharap dapat memberikan teks al-Quran Braille ini secara percuma kepada mereka sekurang-kurangnya senaskhah bagi setiap keluarga atau diletakkan setiap satu di semua masjid seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan kali pertama, di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mah Hassan yang buta sejak umur lima tahun itu berkata, ramai di kalangan golongan itu berkeinginan dan berminat mendalami ilmu al-Quran termasuk ilmu-ilmu keagamaan dan lapangan ilmu kehidupan supaya mereka tidak terpinggir dengan masyarakat normal.

Katanya, isu tersebut menjadi cabaran kepada kerajaan, pihak swasta dan masyarakat seluruhnya untuk memikirkan kedudukan mereka seterusnya membantu golongan istimewa itu mendapatkan ilmu secukupnya.

"Kita perlu sediakan program bersepadu kepada golongan ini supaya mereka dapat pelajaran yang betul agar tidak terdedah dengan anasir negatif dengan adanya ilmu dan bimbingan secukupnya kepada mereka.

"Jika impian ini tercapai termasuk menyediakan sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran untuk setiap masjid dengan peruntukan dana sebanyak RM50,000 atau RM2.4 juta untuk membolehkan setiap keluarga golongan ini memilikinya, Malaysia akan menjadi contoh kepada negara luar apabila menyediakan akses secukupnya untuk mereka mempelajari al-Quran," kata peguam buta pertama negara itu.

Bagaimanapun, usaha memartabatkan golongan OKU penglihatan ini membaca al-Quran dengan baik diperhebatkan melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Braille yang julung kali diadakan tahun ini.

Seramai lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang diadili sama seperti peserta tilawah normal lain. Mereka diuji dari segi suara, tarannum, tajwid dan fasahah.

Lapan peserta istimewa itu ialah Muhammad Taufik Azman daripada Johor, Nur Liyana Wahab (Johor); Muhammad Qayyim Nizar Sarim (Kelantan), Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini (Johor); Rasida Mohamed Zali (Kuala Lumpur); Nor Hidayah Mohd Yusof (Johor); Faiq Adnan (Kedah) dan seorang peserta saudara baru, Muhammad Adam Lee Abdullah (Kuala Lumpur).

Kemerduan suara dan kelancaran bacaan surah al-Anfal secara tarannum dan bertajwid oleh Muhammad Qayyim telah menambat hati barisan juri sekali gus dinobatkan juara pertama pertandingan tilawah itu.

Walaupun baru mencecah usia 13 tahun, ternyata kecacatan penglihatan sejak lahir tidak menghalang beliau mempelajari al-Quran dengan baik.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim menyaksikan Nor Hidayah diumumkan naib johan manakala Faiq di tempat ketiga.

Kejayaan membanggakan para peserta itu membuktikan bahawa al-Quran Braille mampu memberi kemudahan kepada golongan istimewa itu untuk mendapat ilmu dunia mahu pun akhirat.

Cuma, mereka tidak harus berasa terpinggir atau kecewa dengan kekurangan itu. Ini kerana Allah SWT meletakkan mereka pada kedudukan istimewa di samping ganjaran pahala berlipat ganda jika mereka ikhlas mengabdikan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Sebagaimana kisah Abdullah ibnu Makhtum yang diceritakan tadi, apabila Rasulullah SAW ditegur oleh Allah melalui surah 'Abasa sepanjang 16 ayat kerana tidak mempedulikan pertanyaan Abdullah ketika baginda SAW mengadakan dialog dengan para pemimpin Quraisy.

Diceritakan ketika itu baginda SAW bertatap muka dengan pemimpin-pemimpin Quraisy bernama 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, 'Amr bin Hisyam alias Abu Jahl, Umayyah bin Khalaf dan Walid bin Mughirah, ayah saifullah Khalid bin walid.

Rasulullah berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Baginda amat berharap pemimpin Quraisy itu menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat baginda SAW.

Sementara baginda SAW berunding dengan bersungguh-sungguh, tiba-tiba Abdullah ibnu Makhtum datang mengganggu minta dibacakan kepadanya ayat-ayat al-Quran.

Kata Abdullah: "Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepada Anda!" Rasul yang mulia terlengah mempedulikan permintaan Abdullah.

Lalu beliau membelakangi Abdullah dan melanjutkan perbicaraan dengan pemimpin Quraisy. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, Islam tambah kuat dan dakwah bertambah lancar.

Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah bermaksud hendak pulang. Tetapi tiba-tiba penglihatan baginda SAW menjadi gelap dan kepala beliau terasa sakit seperti kena pukul.

Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana seorang buta datang kepadanya, Tahukah kamu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau mereka tidak membersihkan diri (beriman). Adapun orang yang datang kepadamu dengan bergegas (untuk mendapatkan pengajaran), sedangkan ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sesungguhnya ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka siapa yang menghendaki tentulah ia memerhatikannya. (Ajaran-ajaran itu) terdapat di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para utusan yang mulia lagi (sentiasa) berbakti. ('Abasa: 1 - 16).

Sejak itu, Rasulullah SAW tidak lupa memberi tempat yang mulia kepada Abdullah apabila dia datang. Bahkan baginda SAW mempersilakan beliau duduk di tempat duduk baginda, bertanyakan khabar beliau dan sentiasa memenuhi permintaan beliau.

Begitu juga dengan saudara sesama Islam lain yang memiliki segala kesempurnaan menikmati hidup di dunia ini.

Hulurkan bantuan kepada mereka. Mudah-mudahan dengan secebis bantuan dapat meringankan beban untuk mereka menjalani kehidupan dan ibadah kepada yang Esa.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 16 Ogos 2011

Selamat meraikan Nuzul al-Quran

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan Nuzul al-Quran. Rasanya ramai yg tgh tadarus al-Quran bulan ini dan semestinya malam ini akan terasa lebih excited. Malam turunnya B.F.F (best friend forever) kita semua. Allahuakbar.

Mlm ini nak note skit tentang membaca/khatam Al-Quran di bulan Ramadan.

Bila kita observe sekeliling kita, ada kawan-kawan yang malu nak baca al-Quran kerana bulan2 lain dia tak baca. Ada yang marathon baca bulan nih sungguh-sungguh, tapi lepas tu tak sambung baca sampai ramadan tahun depan. Ada pulak yang perli2 kata ko ni main baca je tapi tak paham. Adoi.. janganlah perli2.. Hidayah itukan milik Allah.

Pendapat saya, galakan perlu diberikan supaya orang ramai membaca al-Quran pada bulan ini kerana ganjaran pahala bacaannya yang berlipat ganda. Tentang pemahaman dan penghayatan pula, bukanlah nak diketepikan tetapi ianya bukanlah sesuatu yang boleh dispeeding2 dan bukan boleh ditafsir suka-suka sorang-sorang. Ustaz2 pun ramai tak available bulan nih nak ajar tafsiran pasai depa pun busy nak khatam al-Quran dan tarawih.

Makanya, since Ramadan hanya sebulan, silakan tadarus khatam pada bulan ini dengan disertai niat untuk memahami dan menghayati pada bulan-bulan yang akan datang. Niat dipermudahkan dan istiqamah.

Percayalah, al-Quran ini walaupun kita takdan nak baca sekali terjemahannya, mukjizatnya akan membawa hati kita kepada ketenangan. Alunan bacaan al-Quran merupakan satu terapi jiwa. Kadang-kadang kita dengar saja orang mengaji, hati kita jadi sebak. Adakah masa itu kita ada terjemahannya? Most of the time mmg tak ada, dan kita taktau pun ayat surah apa yang tgh dibaca. Tapi hati akan tersentuh, hati akan tersenyum, hiba, sebak.. macam-macam perasaan timbul. Kalamullah akan membawa hati kita ingat padaNya, pada rahmatNya, pada peringatanNya, kasih sayangNya dan macam2 lagi. Magik kan?..

Haa.. Itulah dia, mukjizat dicombo dengan hidayah Allah dan hati kita yang terbuka menyambut fitrah. Al-Quranlah BFF kita yang paling hebat, BFF yang ini saja yang sudi nak teman kita dalam kubur (amalkan baca surah al-Mulk). Kawan2 lain mana ada yang sudi nak teman kita; depa pun pandai nak kata.. "I have my own tanah lot.."

So kawan2.. jangan malu jangan segan, marilah baca al-Quran. Bagi yang mahir, alhamdulillah, tinggi darjatnya. Yang kurang mahir pun alhamdulillah, double ganjarannya atas kesungguhan dan kepayahan. Tengok tu betapa yang Maha Pemurah, lagi Maha mengasihani Lagi Maha Mengetahui dan Bijaksana mengaturkan ganjaran bagi pembaca-pembaca al-Quran. Allahuakbar.

Maka rebutlah peluang, banyakkan bacaan. Dan seterusnya target untuk khatam & memperbaiki mutu penghayatan di masa akan datang.

Jadi panjang pula note ini. Oklah, saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah. selamat berpuasa, selamat tadarus. Semoga Ramadan ini kita mendapat keberkatan dariNya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhhh...

BFF saya kaler biru.. hehehe..

Tadarus al-Quran bulan puasa erat silaturahim

KETIKA khutbah Haji Perpisahan, Rasulullah SAW berucap: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian (satu peninggalan berharga), seandainya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.” (Hadis riwayat Al-Hakim)

Hadis itu memberi peringatan cukup jelas supaya umat Islam berpegang teguh dan menjadikan al-Quran panduan dalam kehidupan kerana Rasulullah SAW memberitahu al-Quran akan memberi syafaat kepada yang membacanya pada hari kiamat.

Sempena 17 Ramadan, mengingatkan kita kepada peristiwa Nuzul al-Quran yang terakam dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.

Seterusnya proses penurunan wahyu berlaku secara berperingkat hingga lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Al-Quran yang menjadi mukjizat besar Nabi Muhammad SAW seharusnya memberi makna besar dalam kehidupan umat Islam.

Malah, indahnya akhlak Rasulullah SAW digambarkan dalam hadis diriwayatkan Aisyah, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran. Bermakna apa yang dipraktikkan Baginda adalah ajaran al-Quran itu sendiri.

Memperingati Nuzul al-Quran setiap kali tiba 17 Ramadan bukan sekadar mengimbau peristiwa yang berlaku sebaliknya menilai apakah al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sudah berapa halaman kitab suci itu yang dibaca sepanjang Ramadan ini.

Bagi yang bertadarus atau berterusan membaca al-Quran sepanjang Ramadan ini, sudah mengikat silaturahim dengan mukjizat Rasulullah SAW dan kesungguhan itu menjanjikan ganjaran berlipat ganda selain menjadikan mereka golongan yang beruntung.
Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121)

Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan al-Quran seterusnya mendekatkan umat Islam kepada wahyu Allah yang penuh dengan syariat, pengajaran, penawar, rahmat serta pelindung daripada kesesatan.

Bermula Pertandingan membaca al-Quran di Kedah pada 1951, yang dicetuskan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, penganjuran tilawah al-Quran diteruskan di peringkat kebangsaan melalui Musabaqah Membaca al-Quran pertama diadakan pada 20 Ramadan 1379 (Mei 1960) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Seiring perubahan, pelbagai inisiatif dilakukan pihak yang ingin melihat al-Quran terus subur dalam jiwa umat Islam di negara ini termasuk dengan menubuhkan maahad tahfiz dan yang terkenal ialah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Darul Quran yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan pada 1966 sebagai satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, juga adalah hasrat Tunku Abdul Rahman untuk mewujudkan Institut Pengajian al-Quran di Malaysia.

Idea kreatif untuk mendekatkan al-Quran dengan masyarakat melalui televisyen berjaya mencapai hasrat apabila program realiti yang berjaya mencetuskan fenomena baru iaitu Akademi al-Quran mendapat sambutan hangat.

Kini, program itu mendapat perhatian dan daripadanya, lahir satu program Mari Mengaji yang mengajak kanak-kanak mempelajari al-Quran dalam suasana santai.

Saudara baru tidak dilupakan kerana dianjurkan program Tilawah al-Quran Saudara Baru yang memberi peluang kepada mereka yang memeluk Islam untuk mempelajari serta mendalami kaedah pembacaan al-Quran dengan tajwid dan lagu.

Begitu juga penghasilan teknologi dan inovasi antaranya al-Quran digital serta pen pintar memudahkan masyarakat belajar membaca al-Quran.

Sumber: Berita Harian

Wakaf al-Quran sempena Ramadan

NABI Muhammad bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama lamanya iaitu al-Quran dan sunnah.”

Al-Quran ialah mukjizat Allah bagi membuktikan keesaan-Nya mentadbir langit dan bumi selain memberitahu perkara ghaib yang tidak diketahui manusia.

Membaca al-Quran mendapat pahala, begitu juga jika disedekahkan kepada golongan miskin untuk dibaca dan diamalkan isi kandungannya.

Sempena Ramadan al Mubarak, HCDS Islamic Consultancy Services, yang terbabit dalam aktiviti berkaitan Islam menganjurkan Kempen Wakaf al-Quran Ramadhan 1432H.

Kempen itu bertujuan mengumpulkan 10,000 naskhah al-Quran untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan kitab suci itu.

Ketua programnya, Shaharul Ridzuan Shamsuddin, berkata ia adalah tahun ketiga program ini dijalankan.

Beliau berkata, tahun lalu pihaknya mengumpul lebih 4,000 naskhah al-Quran untuk diagihkan sekumpulan sukarelawan yang diketuai beliau.

“Alhamdulillah, kami mengagih-agihkan kitab suci itu kepada surau, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan beberapa sekolah agama di kawasan pedalaman di Selangor, Perak dan Pahang,” katanya.

Menurutnya, setiap tempat agihan al-Quran itu akan dimaklumkan kepada penderma bagi memberi kepuasan kepada mereka.

Beliau mengakui, bukan mudah memegang tanggungjawab menganjurkan kempen wakaf al-Quran itu kerana ia amanah besar untuk menyebarkan agama Islam.

“Kami memegang amanah penderma yang melakukan wakaf, justeru setiap wakaf al-Quran diuruskan dengan sempurna.

“Matlamat kami untuk melihat setiap umat Islam di negara ini memiliki senaskhah al-Quran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta, korporat, agensi kerajaan atau individu menderma bagi merealisasikan matlamat mengumpul wakaf 10,000 naskhah al-Quran sempena Ramadan ini.

Maklumat lanjut mengenai kempen wakaf al-Quran, hubungi talian 03-42955393 atau 010-3240051/010-8314727/010-8314729 atau layari blog, hcds2u.blogspot.com.

Sumber: myMetro

Al-Quran mukjizat teragung

BAGAIMANA dikatakan al-Quran berjaya ‘membekas’ di dalam jiwa seseorang? Pastinya, mereka yang benar-benar menghayati al-Quran akan merasai ia begitu hampir dengan mereka.

Apabila diperdengarkan ayat mengenai azab serta seksaan di neraka, hati mereka begitu takut untuk melakukan kemungkaran. Begitu juga al-Quran menceritakan ganjaran syurga jika beramal soleh, mereka sedaya upaya memperbaiki diri dengan harapan dapat menikmati ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

Itulah antara penghayatan yang perlu dimiliki setiap Muslim dalam memahami serta menghayati kalam suci al-Quran. Keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Mukjizat al-Quran berbeza dengan mukjizat Rasulullah s.a.w lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah kebenaran.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah s.w.t selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila al-Quran merubah kehidupan umat Arab ketika itu daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat dari Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Beliau berkeyakinan apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah yang tiada tolak bandingnya dan pada hari itu juga, Umar memeluk Islam.

Begitulah besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar sehingga menjadi insan yang beriman kepada Allah s.w.t
Allah berhak memelihara kesucian kitab al-Quran daripada dicemari daripada diubah suai oleh manusia. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah al-Hijr, ayat 9).

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding dengan al-Quran.

Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pastinya akan rasa bahagia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini menunjukkan (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan (amalan) yang soleh; sesungguhnya untuk mereka itu pahala yang besar.” (Surah al-Israk ayat 9).

Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini kita dituntut untuk bertadarus al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran. Sedangkan bahan bacaan santai lain boleh dihabiskan dalam tempoh tertentu tetapi kenapakah al-Quran dipinggirkan dan hanya menjadi perhiasan di rumah.

Manusia yang sering dibelenggu keresahan, gundah-gulana dan kesempitan perlu sentiasa mendampingi Al-Quran supaya mereka kembali mendapat kekuatan, semangat, kesenangan serta ketenangan di jiwa.

Itulah rahmat yang Allah diberikan kesan daripada beramal dengan mukjizat agung itu. Ibaratnya, semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran seluruh jiwa raganya semakin terpikat dan seronok kepada al-Quran.

Malah kesannya lebih terasa jika seseorang itu mampu menguasai al-Quran dengan alunan suara yang merdu serta fasih bacaannya. Orang lain juga pasti ‘terpikat’ jika seseorang dapat mempersembahkan bacaannya begitu baik sekali.

Dalam riwayat, banyak sekali diceritakan, pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang kafir selepas mendengar ayat Al-Quran sangat berkesan.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata perkataan mukjizat dalam bahasa Arab bermaksud perkara yang bercanggah dengan adat kebiasaan.

“Ia sesuatu perkara luar biasa yang ditentukan Allah s.w.t dan dikurniakan kepada seseorang yang bergelar rasul sebagai tanda kebenarannya di mana dakwahnya diiringi dengan cabaran dan tiada tandingan sama sekali.

“Allah mengurniakan Nabi Muhammad mukjizat kandungan al-Quran yang tidak mampu ditandingi manusia terutamanya di dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Antara mukjizat al-Quran ialah keindahan bahasanya yang tinggi dan halus, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta,” katanya.

Beliau berkata al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril a.s secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun.

“Di dalamnya mengandungi peristiwa umat terdahulu yang menyentuh aspek kehidupan manusia seperti cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Mukjizat al-Quran dipenuhi dengan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab lain. Ringkasnya, al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad sekali gus ia menjadi bukti bahawa al-Quran adalah firman Allah dan bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad sendiri,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata kandungan al-Quran penuh dengan ajaran bagi memandu manusia menjadi ummah bertamadun.

“Allah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud: “Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

“Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang kafir Quraisy sehingga mereka tidak mampu menghadapinya padahal mereka memiliki kemahiran tinggi dari segi fasahah dan balaghahnya,” katanya.

Beliau berkata al-Quran diturunkan bukan untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad dan umatnya semata-mata.

“Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat kepada seluruh umat.

“Justeru, Rasulullah menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

“Setiap huruf yang dibaca dikira sebagai 10 pahala sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. (Hadis riwayat Tirmizi).

“Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

“Begitu juga amalan tradisi yang dilakukan orang dahulu yang sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak mereka.

Anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan bacaan al-Quran pada setiap malam selepas Maghrib secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata walaupun perkara itu tiada dalam syariat, ia membuktikan mereka sangat mengambil berat pendidikan al-Quran.

“Namun pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup, asas pemikiran atau berfikir secara Qurani? Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

“Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir sesuatu kejadian dalam kehidupan. Berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur (jiwa mengkaji dan menyelidik).

“AyatAllah bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah yang dirakamkan al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu, tetapi berulang kembali pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata Rasulullah pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai, tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana lemah dan tidak berdaya saing.

“Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang melanda masyarakat masa kini.

“Jangan hanya merujuk al-Quran pada masa-masa tertentu seperti dalam kesusahan, ketika sakit atau saat menghadapi kematian saja. Ibu bapa perlu berperanan memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga mereka. Pastikan selepas setiap waktu solat mereka bersama anak-anak berpeluang membaca, mempelajari serta mentadabbur al-Quran.

“Selain itu, ulang kaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media elektronik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khamis, 11 Ogos 2011

Puasa makan masa

Semanis Kurma: 11 Ogos 2011
Tajuk: Puasa makan masa

Ayat doa:
Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; As-Shu'araa, Ayat 83

Kesimpulan:
1. Perbetulkan niat puasa kerana Allah.
2. Sentiasa beriman, beramal dan merendah diri kepadaNya
3. Hati akan tenang bila mengingati Allah
4. Istiqamah dalam melakukan amalan
5. Banyakkan beribadat, tinggalkan maksiat

Untuk koleksi doa-doa rancangan Semanis Kurma yang terdahulu, sila browse kategori rancangan TV.

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

BELIAU ialah seorang ulama yang banyak menghasilkan kitab Qiraat yang tinggi mutunya dan dijadikan modul dalam pembelajaran Qiraat, Rasm dan Ulum al-Quran di peringkat diploma dan universiti. Syeikh Abdul Fattah Ibn Abdul Ghani al-Qadhi lahir di kota Damanhur, Mesir pada 1325 Hijrah bersamaan 1907 Masihi.

Menghafaz al-Quran di kampungnya Damanhur melalui didikan gurunya Syeikh 'Iyad dan menekuni ilmu Qiraat daripada beberapa guru yang terkenal ketika itu seperti Syeikh Mahmud Muhammad Ghazal, Syeikh Mahmud Muhammad Nasaruddin, al-Allamah Syeikh Humam Qutb.

Di peringkat universiti, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkesempatan mendalami pelbagai ilmu Syariah daripada guru-guru yang hebat antaranya; mendalami ilmu Tafsir dari Syeikh Muhammad Tajuddin, ilmu Hadis daripada Syeikh Hasan al-Syarif, Tauhid daripada Syeikh Amin Mahmud Surur, Feqh Syafei daripada Syeikh Mahmud Abdul al-Daim. Beliau juga adalah murid kepada Syeikh Mahmud Syaltut yang merupakan Syeikh al-Azhar ketika itu.

Melihat kepada penguasaannya dalam banyak ilmu syariah terutamanya dalam bidang Qiraat, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi telah memegang beberapa jawatan penting di bawah penyeliaan Universiti al-Azhar. Beliau dilantik sebagai ketua lajnah tashih mushaf yang diselia Universiti al-Azhar.

Selain itu beliau juga adalah khatib di Masjid al-Arif billah al-Imam Abdul Wahab al-Sya'rani di Kaherah di samping ahli jawatankuasa perujian untuk memilih qari untuk bacaan di radio Mesir.
Permulaan 1970-an, di Madinah al-Munawwarah, Syeikh Ibrahim Akhdar yang memiliki suara menarik dan selalu dijemput membaca al-Quran di pembukaan majlis rasmi telah membaca al-Quran mengikut Qiraat Hamzah tanpa membaca basmalah antara dua surah.

Majlis tersebut yang dihadiri ramai ulama antaranya; Samahah Syeikh Ibnu Baz rahmatullah alaih telah membuat teguran secara terbuka supaya Syeikh Akhdar membaca basmalah.
Selepas bacaannya, Syeikh Ibrahim Akhdar menjelaskan bahawa beliau membaca dengan Qiraat Hamzah di mana manhajnya tidak membaca basmalah antara dua surah dan ia juga adalah Qiraat mutawatirah.

Ekoran daripada itu timbul pengesyoran kepada pihak Syeikh Ibnu Baz yang merupakan Rektor Universiti Islam Madinah ketika itu untuk menubuh Fakulti Quran.

Tindakan segera telah diambil Syeikh Ibnu Baz dengan mengarah supaya membawakan kepadanya orang yang paling alim dalam ilmu Qiraat di dunia ketika itu. Lalu dibawakan kepadanya al-Allamah Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah Qadhi telah menubuh Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau bertanggungjawab menyediakan modul pengajian Qiraat, Rasm, Dabt dan fawasil.
Beberapa penulisannya menjadi modul kepada pelajar antaranya kitab dalam ilmu fawasil yang dikarang dalam bentuk nadham al-Faraid al-Hisan, kitab al-Wafi yang merupakan syarah kepada matn Syatibiyyah.

Semasa penulis menuntut di Fakulti Quran di awal 1990-an, guru-guru yang mengajar Qiraat ketika itu kebanyakannya ulama dari Mesir, jika terdapat kekeliruan ketika sesi pengajaran qiraat amali, mereka akan merujuk kitab Budur al-Zahirah karangan Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi meninggal dunia pada tahun 1402 hijrah bersamaan 1982 Masihi di Mesir. Walaupun beliau telah berlalu pergi namun beliau meninggal sejumlah karya yang terus dijadikan rujukan sehingga ke hari ini.

Selain itu beliau juga meninggal sebilangan murid yang hebat antaranya; Syeikh Dr. Ali Huzaifi, imam Masjid Nabi, Syeikh Dr. Abdul Aziz al-Qari, mantan ketua lajnah Tashih Quran Percetakan Malik Fahd, Syeikh Qurra Masjid Nabi Syeikh Ibrahim Akhdar dan ramai lagi yang talaqqi Quran dan Qiraat di negerinya, Mesir seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad, Syeikh Mustafa Ismail.

Sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 7 Ogos 2011

Buletin Harian Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53

Bersempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53, Bahagian Penerbitan Jakim telah diberi tanggungjawab menerbitkan Buletin Harian Tilawah sebanyak sembilan keluaran sepanjang majlis berlangsung. Buletin yang mengandungi lapan halaman berwarna ini memuatkan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab. Antara kandungan yang dipaparkan ialah artikel berkaitan tilawah al-Quran, wawancara bersama hakim, peserta dan penonton, ruangan fatwa berkaitan al-Quran, rahsia al-Furqan dan sebagainya.

Buletin Tilawah ini diedarkan secara percuma kepada tetamu kehormat, para hakim tilawah, peserta, dan orang ramai. Buletin Tilawah boleh diakses dalam talian di alamat http://www.islam.gov.my/buletin-tilawah-2011.

Sumber: Jakim

Waspada bisikan khanas

MENURUT pendapat Abu Kuraib daripada Ibn Abbas, surah ini termasuk dalam surah Makiyyah. Sedangkan mengikut riwayat Abu Salih daripada Ibn Abbas, ia termasuk surah Madaniyah. Ia mengandungi enam ayat dan diturunkan selepas Surah al-Falaq.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia, sembahan manusia.

Kenapa dimulakan dengan Rabb yang disandarkan kepada manusia sedangkan Allah Tuhan sekalian makhluk. Jawapannya dua:

i. Kerana manusia yang mengagungkan Tuhan di samping mereka yang ditaklifkan.

ii. Kerana ia diperintahkan untuk memohon pertolongan kepada Allah daripada kejahatan manusia.

Berkenaan dengan Allah sebagai raja bertujuan mengingatkan bahawa sekalipun di kalangan manusia ada yang menjadi raja, tetapi raja yang sebenar ialah Allah. Inilah yang dinyatakan oleh al-Mawardi dalam kitabnya al-Nukat wa al-Uyun.

Sayid Qutub berkata: "Dalam surah ini, permohonan perlindungan dipanjatkan kepada Allah Tuhan yang memelihara manusia, yang memerintah manusia dan yang disembah manusia, dan perkara yang dipohon ialah perlindungan dari kejahatan syaitan yang datang dan menghilang untuk membisik kejahatan di dalam hati manusia iaitu syaitan jin dan syaitan manusia."

Memohon perlindungan kepada Tuhan yang memelihara dan menguasai manusia dan disembah manusia itu ialah dengan menghadirkan sifat-sifat Allah yang agung yang dapat menolak segala kejahatan umum dan khususnya kejahatan syaitan pembisik yang datang dan menghilang.

Al-Rabb ialah sifat Allah yang memelihara, membimbing, mengarah, menjaga dan melindung. Al-Mulk ialah sifat Allah yang memilik, memerintah dan mentadbir. Al-Ilah ialah sifat Allah yang menguasai segala-galanya. Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan daripada segala kejahatan yang meresap dalam hati manusia yang tidak mengetahui bagaimana hendak menolak segala kejahatan yang tersembunyi itu.

Allah adalah tuhan pemelihara dan pelindung segala makhluk, Pemerintah segala makhluk dan penguasa segala makhluk. Tetapi di sini Allah disebut secara khusus sebagai pemelihara dan pelindung manusia, pemerintah manusia dan tuhan yang disembah manusia.

Supaya manusia berasa begitu hampir kepada-Nya dalam detik-detik mencari perlindungan dan naungan.

Allah telah mengarahkan Rasul-Nya dan sekalian umat supaya mencari perlindungan dan naungan pada-Nya dengan menghadirkan pengertian-pengertian dari sifat-sifat tersebut itu semoga melindungi mereka daripada kejahatan yang sangat halus jejak langkahnya.

Yang tidak terdaya ditolak melainkan dengan pertolongan Allah. Kerana kejahatan yang halus itu menyerang mereka tanpa disedari dan mendatangi mereka dari arah yang tidak terfikir oleh mereka.

Firman Allah: Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi,

Perkataan khanas ialah syaitan dan dinamakan demikian kerana dua sebab:

i. Sifatnya banyak tersembunyi.

ii. Kerana dia akan kembali dari mengingati Allah.

Al-Maraghi berkata dalam Tafsirnya: "Aku kembali berlindung ke hadrat-Mu ya Allah, Tuhan Pemelihara seluruh makhluk, kiranya Engkau menyelamatkan kami daripada kejahatan syaitan yang membuat bisikan was-was yang banyak sekali muncul dan tersembunyi. Ini disebabkan syaitan itu datang dari arah kebatilan, sehingga ia tidak mampu menghalang kebenaran jika berhadapan. Hanya ia mempunyai jiwa kepada akibat yang buruk sekiranya jiwa itu mengikut arus bisikannya, terpikat dan terikat kepada apa yang terlintas dalam hatinya."

Bisikan-bisikan jiwa yang demikian ini akan tersembunyi dan menyelinap masuk apabila dikuasai oleh akal, kemudian orang yang menerima bisikan itu menjadi tenang.

Bisikan-bisikan untuk melakukan keburukan dan pelbagai usaha membuat orang itu derita akan pergi bersama angin jika jiwa manusia mengingati perintah-perintah syarak. Oleh sebab itu, apabila seseorang menggodamu dan mendorongmu untuk melakukan kejahatan, kemudian kamu teringat kepada perintah-perintah agama, maka bisikan akan tersembunyi dan tidak terucap.

Firman Allah: Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia. Dari (golongan) jin dan manusia.

Ibn Qutaibah berkata: "Dada-dada disini dengan makna hati."

Ibn Abbas berkata: "Syaitan selalu bergantung pada hati anak Adam apabila seseorang itu leka dan ia mewas-waskannya. Sebaliknya apabila seseorang menyebut Allah nescaya dia melarikan diri."

Al-Maraghi berkata: "Godaan yang biasa bersembunyi dan memberikan bisikan ke dalam dada manusia itu kadang-kadang berbentuk jin dan kadang-kadang dalam bentuk sebagaimana dijelaskan Allah SWT melalui firmannya yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin. (al-An'am: 112)"

Syaitan daripada jin kadangkala memberi bisikan dan kadangkala bersembunyi, demikian juga dengan syaitan manusia. Banyak sekali kita melihat orang yang memperlihatkan diri di hadapan kita selaku penasihat yang seolah-olah boleh dipercayai. Ketika kita mengherdiknya, lalu dia bersembunyi dan meninggalkan bisikan itu. Manakala jika kita perhatikan kata-katanya itu, lalu dia asyik dan menyimpang jauh pembicaraannya serta bersemangat dalam pembicaraannya.

Imam Muhammad Abduh mengatakan bahawa pemberi bisikan itu ada dua jenis:

Pertama bangsa jin, iaitu makhluk tersembunyi yang tidak kita ketahui. Kita hanya menemukan dalam diri kita suatu pengaruh atau kesan yang dinisbahkan kepada mereka. Pada setiap orang, terdapat syaitan ini iaitu satu potensi yang menarik kepada kejahatan dan memberi bisikan buruk pada hati manusia.

Kedua bangsa manusia, godaan dan bisikan mereka kita lihat dan kita saksikan dengan mata kepala dan telinga kita.

Dalam surah ini Allah memberi bimbingan agar manusia memohon pertolongan kepada-Nya. Sebagaimana Dia memberi bimbingan dalam Surah al-Fatihah untuk memberi isyarat bahawa yang dapat mengatasi semuanya ialah menghadapkan diri kepada-Nya semata-mata, ikhlas dalam berkata dan beramal, bertawakal mengembalikan segala sesuatu kepada-Nya dan bersabar menghadapi hal-hal yang kita tidak berkuasa untuk menghalangnya.

Ya Allah! Jadikanlah kami orang yang ikhlas dalam segala amal perbuatan kami, jauhkanlah kami daripada godaan syaitan, jin dan manusia. Jauhkanlah kami daripada kejahatan para pembisik dan penggoda, selamatkanlah kami daripada seksaan Neraka Jahanam.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Nabi Muhammad, keluarganya yang baik lagi suci, para sahabat pembela agama-Mu dengan menanamkan ketenangan dan keyakinan dalam hati meneguhkan hati dalam mencintai agama ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Hayati maksud sebenar tadarus

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 4 Ogos 2011

Pasangan menodai Ramadan

Semanis Kurma: 4 Ogos 2011
Tajuk: Pasangan menodai Ramadan

Ayat doa:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Al-Kahfi, Ayat 10

Rumusan
1. Bawa hati dan jasad dalam beribadah
2. Kembali ke jalan Allah, bertaubat
3. Banyakkan lakukan amal ibadah
4. Usahakan agar hati kembali kepada fitrah, menjadi hati yang sejahtera, mahmudah, qanaah dan ikhlas

Banyakkan berdoa di bulan Ramadan yang padanya terdapat banyak waktu-waktu mustajab.

Rabu, 3 Ogos 2011

Galakkan beribadat di malam hari

Firman Allah SWT yang bermaksud:

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. Al-Muzzammil, Ayat 7

Huraian
Allah SWT memberikan kita masa 24 jam sehari untuk kita bekerja bagi menyara kehidupan dan beribadat kepadaNya. Sungguhpun setiap yang kita lakukan dalam tempoh tersebut dikira sebagai ibadat, terdapat beberapa ibadat khusus yang memerlukan tumpuan yang lebih. Oleh itu Allah SWT menggalakkan kita beribadat di malam hari (qiamullail). Antara ibadat yang digalakkan ialah seperti solat tahajjud, solat hajat, solat tasbih, solat taubat, zikir dan membaca al-Quran.

Ibadat-ibadat khusus tersebut amat sesuai dengan kejadian malam yang penuh ketenangan dan bebas dari hiruk pikuk kesibukan. Pada waktu tersebut, terutama sepertiga malam, kita dapat menunaikan ibadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk. Kita juga dapat bermuhasabah (menilai diri sendiri) dan merenung amal perbuatan kita yang lalu hingga boleh mendatangkan rasa insaf dalam diri kita.

Kesan ibadat malam pada jiwa amatlah besar sekali. Ia memberi kita semangat baru dan motivasi ke arah menjadi insan yang lebih baik lagi. Ia dapat mendidik jiwa dengan sifat-sifat mulia seperti tulus ikhlas, rendah diri dan sebagainya. Ia dapat menjinakkan jiwa daripada bersifat pemarah, degil dan keras hati.

Kesimpulan
Ibadat malam patut dijadikan amalan dalam kehidupan seorang muslim. Jika di siang hari kita sibuk dengan kehidupan dunia, pada malam hari eloklah kita khaskan untuk kehidupan akhirat yang menanti kita dihadapan. Mudah-mudahan ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Sumber: Siri Tafsir, Jakim

Tafsir Ayat: Puasa tingkatkan kualiti kekuatan dalaman, jiwa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan yang bertakwa kepada Allah.

Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah ruah seluas samudera raya.

Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perutnya dan memimpin nafsunya ke arah darjat kesucian dan fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah telah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu ibadat puasa.

Puasa adalah senjata yang menyingkap segala tabir yang menghalang kita untuk memandang Nur Ilahi yang Maha Kudus. Ramadan juga bulan yang dimulakan dengan gerakan membasmi kemusyrikan di muka bumi, menghapuskan kedengkian, melawan kebatilan, mengekang hawa nafsu dan kesombongan manusia.

Puasa Ramadan adalah asas pembinaan iman, Islam dan ihsan bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim demi menjunjung titah dan perintah Ilahi yang Maha Agung, meraih keampunan Ilahi yang tiada terhingga dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka. Jelas di sini bahawa ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kekejian akibat tarikan hawa nafsu yang bergelora. Pengendalian diri itu pada hakikatnya suatu cetusan keinsafan yang terpancar dari sudut jiwa mengenai pentingnya ketundukan yang penuh kudus kepada Allah pada setiap detik dan ketika.

Lebih penting dari itu, keupayaan mengendalikan diri akan menjadi semakin utuh menghiasi peribadi Muslim kerana ibadat puasa secara khususnya, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya mahupun menilainya melainkan Allah saja. Puasa itu adalah qiyam bila ‘amal yang bermaksud ‘beribadat tanpa bekerja’.

Dikatakan ‘tanpa bekerja’ kerana ibadat puasa yang dilakukan itu bebas daripada gerakan.
Pengertian inilah yang menjadi garis pemisah atau titik perbezaan antara puasa dengan amal ibadat yang lain. Apapun amal ibadat yang dilaksanakan seseorang Muslim, pasti ia akan dapat diketahui dari aspek lahiriahnya seperti solat, zakat, haji dan sebagainya.

Dari sini jelaslah hikmah sebenar mengapa Allah saja yang layak memberikan ganjaran pahala kepada orang yang berpuasa kerana ibadat puasa saja adalah satu-satunya ibadat yang tidak bisa dicampuri dengan sifat riak. Firman Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Setiap amalan kebajikan anak Adam akan diberikan balasan dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali ibadat puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah saja yang akan memberikan ganjaran kepadanya.”

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa di antara ibadat yang lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Berpuasa itu separuh daripada sabar, dan juga maksud hadis Rasulullah yang lain sabar itu separuh daripada iman.

Selanjutnya, puasa Ramadan adalah kesempatan terbaik bagi umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti tiga dimensi kesedaran batin dan penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian; iaitu:

Pertama, penghayatan keagamaan yang mendalam dalam konteks hubungan menegak antara seseorang Muslim dengan Allah sehingga menyuburkan sifat luhur dalam jiwa sanubarinya. Dari sini, Muslim bersedia dengan tulus ikhlas untuk melaksanakan ibadat sepanjang Ramadan untuk memantapkan jiwanya demi meraih kemuliaan Ramadan sehingga terserlah dalam peribadinya satu format kehidupan yang lebih baik.

Bulan Ramadan dijadikannya sebagai momentum proses kesedaran rohani dan penyucian diri ke arah martabat insan yang bertakwa.

Kedua, keprihatinan sosial yang menjalinkan hubungan mendatar antara Muslim dengan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran rohani dan penghayatan keagamaan tidak hanya terhad dalam skop aspek ritual dan hubungan suci dengan Allah saja, malah ia juga turut merangkumi aspek sosial atau kemasyarakatan sejagat. Pelaksanaan ibadat puasa dengan ikhlas akan menggambarkan suatu kesedaran rohani dan keprihatinan sosial terhadap keadaan masyarakat sekelilingnya yang sama-sama menghuni bumi Allah ini seperti bersedekah dan menderma kepada golongan fakir miskin, menyantuni anak yatim.

Ketiga, ibadat puasa berupaya memperkukuhkan integriti diri dengan ketahanan mental, rohani dan fizikalnya dalam mendepani segala bentuk cubaan, ancaman, godaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.

Sumber: Berita Harian

Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan tiba lagi

Assalammualaikum,

Alhamdulillah. Ramadhan menjengah kita lagi. Dialah penghulu segala bulan yang penuh keberkatan dan rahmat. Pada bulan yang special ini terdapat ganjaran pahala ibadah yang berganda. ^_^

Kepada semua, saya ingin mengucapkan Selamat berpuasa dan raikanlah Ramadhan dengan ibadah. Semoga senantiasa dilindungi, diredhai dan diberkatiNya. Selamat tadarus al-Quran ye. Semoga selamat sampai ke surah an-Nas. Amin ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...